Monday, December 29, 2008

Hudud Bukan Tanggungjawab PAS Sahaja

Pada saya Hudud bukan suatu yang perlu dijadikan modal untuk menyerang lawan politik. Ia merupakan suatu kemestian yang tidak dapat tidak perlu diangkat dan dimaktubkan sebagai undang-undang yang boleh menjamin kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Mengapa perlu Hudud dipolitikkan, sedangkan menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk sama-sama mempastikan perlaksanaannya.

Apa yang jelas, manusia apabila bercakap dengan berselindung di sebalik kepentingan politik akan berbau hanyir, tidak matang dan menampakkan ketidak cerdikannya. Semua orang maklum, negeri dibatasi oleh Perkara 75, Perlembagaan Persekutuan;

"Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu."

Dewasa ini, sekali lagi kedengaran suara yang tidak cukup asam garamnya di sana-sini memperlekeh malah mempermainkan Hudud. Bahkan mencabar Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan Hudud, juga turut mempertikaikan Kerajaan Negeri Kelantan yang menurutnya tidak mengotakan janji untuk melaksanakan Hudud. Suara-suara ini adalah suara daripada golongan pemimpin parti politik yang mereka menganggap seorang yang intelek. Padahal mereka tidak sedar bahawa mereka merendahkan maruah mereka sendiri, seperti menurut Datuk Haji Ismail Kamus apabila seseorang itu diam, orang mengagak sahaja mungkin orang itu bodoh tetapi apabila seseorang itu bersuara masayarakat akan mengesahkan yang memang orang bersuara itu bodoh.

Monday, December 22, 2008

Wujudkan Suruhanjaya Bagi Hudud

Orang Islam biarlah ada keinginan walaupun sekadar 'sekutil semut' untuk sama-sama mendaulatkan Undang-undang yang telah disyariatkan Allah. Hudud telah disyariatkan oleh Allah maka sewajarnya setiapnya umat Islam menyokong dan bukannya melatah dengan macam-cama nada.

Jikalau Hudud yang disediakan oleh Kerajaan Kelantan itu tidak tepat maka baikilah ia setepat mungkin berpandukan al-Quran, al-hadis, qias dan ijma' ulama'. Kalau kita boleh sediakan pelbagai suruhanjaya bagi menggubal sesuatu akta maka kenapa tidak boleh tubuh satu suruhanjaya bagi menambah baik atau memperbetulkan mana yang difikirkan tidak betul tentang Hudud yang telah diluluskan oleh Kerajaan Kelantan itu. Ketepikan anutan politik demi memartabatkan agama yang menjamin kesejahteraan bukan sahaja manusia sejagat tetapi seluruh maya ini. Apa yang penting Hudud adalah wajib dilaksanakan.

Sunday, December 21, 2008

Jangan Hanya Mendongak Ke Langit

Pas merupakan sebuah wadah yang mengembling tenaga manusia dari berbagai lapisan sama ada peringkat umur, status sosial, bangsa ataupun jantina. Selain daripada sumber tenaga, ianya juga merupakan tempat manusia berkongsi ilmu pengetahuan dan akal fikiran bagi membangunkan manusia berlandaskan syariat. Itulah pandangan peribadi Pok Muda yang mula melibatkan diri dalam perjuangan Pas pada tahun 1986 dan sama-sama kepimpinan Pas di peringkat cawangan. Walaupun sumbangan tenaga Pok Muda teramat kecil dan telah lama berlalu, yang kini hanya sebagai penyokong namun komitmennya masih ada . Pok Muda juga berpendirian semacam Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, "Bukan taksub kepada parti politik tetapi sayangkan kepada Islam. Memandangkan pada masa sekarang, hanya Pas yang memperjuangkan Islam maka saya dengan Pas".

Harapan saya, para pemimpin dan penyokong Pas tidak mudah goyah dengan berbagai ujian sama ada dalam bentuk wang ringgit, pangkat, jawatan ataupun apa-apa sahaja. Fokus kita memartabatkan Islam dan menjulang undang-undang yang disyariatkan mengikut kemampuan masing-masing. Kemampuan kita hanya terbatas sebagai pengundi maka laksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa cintakan agama, ummah dan negara. Jikalau kemampuan dalam wang ringgit maka rencanakannya dengan penuh keredhaan, seandainya kemampuan kita menyumbang kepakaran dalam berbagai bidang maka laksanakannya dengan penuh komitmen dan ikhlas. Bagi para pemimpin baik di peringkat cawangan, kawasan, negeri mahupun di peringkat pusat iltizam dalam perjuangan amatlah dituntut. Setiap tindakan kita biarlah ikhlas dan tiada mengeruhkan hati sesama kita. Janganlah kita tinggalkan tanggapan buruk atau prasangka di kalangan kita.

Pok Muda luahkan rasa hati ini ekoran daripada mendengar luahan hati seorang veteran Pas Cawangan dan Kawasan tempat kelahiran Pok Muda yang juga pernah memegang jawatan YDP Cawangan semasa Pok Muda bersama-sama menggerakkannya dahulu. Di sini, bukanlah tempat Pok Muda hendak berkongsi luahan itu secara mendalam. Walaupun, Pok muda cuma pacal sahaja namun ianya juga sebahagian daripada anggota badan. Sakitnya juga turut dirasai.

Saturday, December 20, 2008

Akar Di Bukit Daunnya Di Dalam Air


Ketika saya berkhidmat di Kuantan dahulu, dalam perjalanan pulang dari Melaka , pemandu kenderaan pejabat kami pernah mengajukan suatu soalan teka-teki bagi menghilangkan rasa mengantuknya.

"Pokok apa akar di bukit dan daunnya berada di dalam air?"

Tragedi di Bukit Antarabangsa mengingatkan saya pada soalan teka-teki ini. Begitu juga dengan ulasan seorang wartawan senior melalui satu kolum di sebuah Akhbar Harian tentang kerenah mangsa Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa.


"Akarnya di bukit", memanglah yang berada di bukit itu golongan yang tebal poketnya. Kos bagi mendapat dan menyediakan tapak, lebih-lebih lagi membina kediaman mewah di bukit terlalu tinggi. Lantaran itu, orang di Bukit merasakan mereka tidak sama dengan orang di sungai. Maka timbullah kemelut tentang mempertikaikan layanan petugas-petugas keselamatan terhadap mereka.


"Daunnya berada di dalam air" boleh kita kaitkan kepada golongan marhain, sebenarnya kalau berpandukan kepada jawapan teka-teki ini yang merujuk "pokok teh", daunnya yang yang membuka selera dengan aroma dan rasa yang menyegarkan itulah yang perlu demand. Tetapi disebabkan daun teh tadi telah banyak melalui pengalaman pahit manis, ujian demi ujian, cabaran demi cabaran seperti dicuci,dikering, dimesin dan berbagai lagi sehingga dipekkan dan dihantar ke pasaran maka segala mehnah dirasakan ujian Illahi dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan diperolehi. Lainlah dengan"akar" yang sentiasa dibajai, disirami. Wallahu 'alam.

JANGAN TIPU TAU!

Kemalrin (20 Disember 2008), saya mendaftarkan anak ketiga ke TASKI Al-Huda. Apabila dapat resit bayaran, saya tengok ada catatan yuran November 2009. Saya tanya cikgunya dan bila dijelaskan baharulah saya faham. Rupa-rupanya sudah lama pihak TASKI menghadapi masalah ibu bapa yang tidak menjelaskan bayaran persekolahan anak-anaknya bagi bulan November. Jadi, sebagai langkah proaktif, pihak TASKI terus mengutipnya semasa pendaftaran dibuka. Hai dalam hal pendidikan anak-anakpun masih ada yang cilok? Ini belum tengok prasekolah yang di bawah Jabatan Pelajaran, yang bertempat di sekolah-sekolah rendah. Bukan 100% golongan sasaran, tetapi ibu bapa yang berkemampuan juga turut mencuri peluang orang-orang yang layak. Jangan Tipu Tau!

Wednesday, December 17, 2008

Bangla?

Semasa selesai solat sunat lepas zohor di surau, saya bersembang dengan seorang makmum. Seorang pemuda Bangladesh yang baru selesai solat sunat menghampiri kami;
"Bangla?" sambil menunjukkan ke arah saya.
Saya tersengih "No!" sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"I'm Malay"
Abang di sebelah saya menyampuk, "Dia baru datang, tak pandai cakap melayu"
"Do you speak English?" Tanya saya padanya.
Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Tergelak saya dibuatnya, "Hai bangla ni nak cari waris ke?" getus hati kecil saya. Terfikir juga saya, hitam macam bangla ke saya ni!

Ini pertama kali bangla keliru dengan keturunan saya, tetapi bukan pertama kali orang melayu kita keliru tentang saya. Semasa saya berkhidmat di Kuantan dalam tahun 1995-2004, ada juga klien yang menyangka saya mamak Pulau Pinang. Dan, semasa masih belajar secara PJJ di UUM 1999-2004, kawan saya turut silap mengecam saya di dalam sesi Kuliah yang telah saya ambil pada Semester sebelumnya. Apabila di terpandang saya di Bilik Kuliah lain, terus dia menegur;
"Kawe ingat demo tadi, rupanya ore lain"
Kawan di sebelahnya turut menyokong dan kebetulan pemuda yang disangkanya saya itu berjalan melintas kami.
"Hah! tupun ore tadi"
Saya lihat pemuda itu macam keturunan mamak. Ayah saya melayu bukan campuran dan begitu juga dengan emak saya. Jadi dari mana nasab ni.....

Mana Nilai Kita Sebagai Seorang Muslim?

Gambar seorang pelakon baru perempuan yang masih remaja (14 tahun) sedang bercium dengan seorang pemuda dilaporkan telah dimanipulasikan dan disebarkan melalui internet. Di dalam akhbar hari ini (18 Disember 2008), pelakon tersebut menjelaskan bahawa gambar itu sebenarnya suatu permainan yang di adakan di rumahnya pada Hari Raya Haji lepas. Permainan memegang kad dengan menggunakan mulut dan ianya selain ditonton oleh kedua ibu bapanya juga ditonton oleh saudara maranya yang lain.

Pelakon muda itu mendakwa ibu bapanya tidak marah dan tidak tegahpun tentang permainan itu dan itu cuma sekadar permainan sahaja. Begitulah rapuhnya keimanan umat kini, walaupun dilapik dengan kad kecil di antara kedua mulut remaja perempuan dan lelaki namun bayangkanlah sendiri betapa rapatnya kedua tubuh pasangan tersebut. Kita orang Islam, jadi hukum halal haram bukan berpandukan kepada ibu bapa marah atau tidak.

Orang muda dengan fiil orang muda, tidak terkecuali dengan orang yang sudah berumur. Seorang pelakon senior perempuan ini pula tidak bercakap benar dan dalam masa yang sama seolah-olah memperlekeh dan membuat masyarakat merasa pegawai agama yang menikahkannya itu bercakap bohong. Ini berikutan penafian yang beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki muda. Islam menyuruh kita menghebahkan perkahwinan tetapi sebaliknya bagi aktres ini.

Monday, December 15, 2008

Sikap Yang Tidak Membantu

Minggu lepas saya pulang ke kampung isteri saya dan sesuatu yang luar daripada kebiasaan masyarakat di sini. Rata-rata daripada mereka leka dan gemar memancing tanpa diskriminasi terhadap gender. Di setiap jambatan dan di tepi-tepi sungai, bersusun kaki-kaki pancing yang entah datangnya dari mana dan bila minat memancing itu timbul.
"Asyik memancing, banyak ke dapat ikan?" tanya saya pada seorang pemuda, jiran mentua saya.
" Dapat juga dua ekor" sahutnya.
"Ramai juga orang memancing atas jambatan tadi ye?" sambung saya, cuba memancingnya.
"Sekarang ni, ramai orang memancing. Terutamanya di tepi-tepi sungai tu. Penuh dengan lelaki dan perempuan" pemuda itu mula memakan pancing saya.
"Hai! kenapa ye? Dulu tak macam ni pun?" balas saya, seolah-olah melepaskan tali pancing.
"Kolam ikan di sebelah sana tu tenggelam banjir, banyak ikan besar-besar terlepas bebas" terangnya jujur.

Fuh! patut pun minat ini timbul. Teringat saya satu peristiwa yang berlaku di Terengganu beberapa tahun dahulu yang mana lori membawa hasil laut terbalik dan berselerak udang,ikan dan lain-lain hasilan di atas jalan raya. Apa yang mendukacitakan, sikap orang ramai yang mengambil kesempatan memungut udang dan ikan untuk dijadikan sarapan keluarga masing-masing. Bahkan barangkali ada yang lebih dari itu.

Senario kedua peristiwa ini tentulah berbeza, yang mana di sini mereka terpaksa membeli jaring atau pancing. Kemudian terpaksa berpanas dan bersabar menunggu hasilannya. Apa yang seolah-olah ada miripnya ialah "daya tarikan" itu. Tarikan kepada sesuatu yang menjadi usaha orang lain dan seolah-olah "menangguk di air yang keruh". Suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain, seperti yang dilaporkan terjadi di Bukit Antarabangsa sekarang, yang mana terdapat aduan tentang kecurian harta benda.

Beginilah sikap yang sering digambarkan melalui tingkah laku, baik di peringkat bawahan mahupun di peringkat atasan. Semuanya lebih bersikap "selfish", hatta pertolongan yang diberikan juga ada agenda.

Saturday, December 13, 2008

Sorong Papan Tarik Papan

Sorong papan tarik papan,

buah keranji dalam perahu;

suruh makan saya makan,

suruh mengaji saya tak mahu.



Asalnya royalti tetapi apabila pemerintahan negeri bertukar tangan kepada pihak parti lawan maka ditukar kepada wang ehsan, dengan kaedah agihan kepada rakyat secara yang berlainan. Sekarang, pemerintahan negeri balik kepada parti yang sama dengan pusat maka berubah pula wang ehsan kepada royalti. Seandainya pada PRU13 nanti pemerintahan bertukar tangan, adakah royalti akan berubah menjadi wang ehsan?



Sebanyak RM408.6 juta royalti minyak diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu dan RM10 bilion sebagai permulaan bagi cadangan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum menjelangnya Pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Selepas ini, yang pasti sebelum Pilihanraya kecil mungkin banyak manfaat yang akan diterima oleh penduduk Kuala Terengganu. Pada masa para pemimpin UMNO berjuang untuk memerangi politik wang dalam proses pemilihan parti, sekonyong-konyong sebelum tibanya hari penamaan calon bagi proses PRK Kuala Terengganu, bedebuk! wang dihumban ke Terengganu.



Pitih atau wang hasilan minyak ini telah kembali dalam bentuk asalnya, jadi rakyat Terengganu tidak perlu lagi beratur panjang di Balai-balai raya bagi mengambil wang ehsan. Wang ini akan diuruskan oleh kerajaan negeri Terengganu dan kita lihatlah nanti ke mana alirannya. Papan sudah tersorong dan buah keranji sudah berada dalam perahu. Maka sampailah saat untuk dimakan tetapi selepas ini apabila disuruh mengaji jangan kata tidak mahu atau tidak tahu. Apa yang dimakan itu mesti tahu halal haramnya.

Saturday, December 6, 2008

Sehelai Kain Pelikat

Dua hari sebelum Pertandingan Pidato Anjuran PAS pada tahun 1986 atau 1987(tak berapa confirm) Pok Muda diamanahkan oleh PAS Cawangan Guchil Tengah mewakilinya. Secara kelam kabut Pok Muda mencari bahan yang tak berapa ada dan cuba menghafal ayat-ayat quran yang berkaitan.

Menjelang hari pertandingan di Markas PAS Sg. Durian, Pok Muda melangkah naik ke pentas yang dipenuhi ramai yang berkupiah dan berserban dengan sedikit gementar dan terasa kelam pemandangan. Nasib Pok Muda tidak terlanggar alat pembesar suara. Pun begitu, suara Pok Muda masih mampu keluar dengan lenggok nada seperti yang dirancang. Namun begitu, gaya tangan tetap kaku tidak seperti yang Pok Muda rancang.

Akhirnya, Pok Muda dicanangkan sebagai naib juara dalam pertandingan itu, dapat hadiah kain pelikat sehelai. Kata seorang teman Pok Muda ramai yang bersungut Pok Muda tidak tampilkan gaya berpidato maka sebab itu tidak dapat jadi juara. Balas Pok Muda, itupun kira nasib baik suara keluar. Lagipun kalau juara terpaksa pula berpidato mewakili Kawasan.

Semuanya Mehnah Allah

Innalillahi wainna ilaihi raajiun! Pagi ini (7 Disember 2008) Pok muda tawakkal memandu meredah air banjir yang merentasi jalan raya sedalam (agak-agaknya) separas lutut semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Banyak kenderaan yang tersadai di tepi jalan dan rata-rata tempat berlaku kesesakan berikutan banyak kenderaan dari luar terkandas perjalanan untuk pulang berhari raya di kampung. Inilah senario hari ini yang dapat Pok Muda lihat awal pagi tadi.

Kita juga dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh yang meranapkan beberapa buah banglo di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa yang mengorbankan beberapa nyawa dan memusnahkan harta benda.
Bagi penduduk yang menghuni di kawasan rendah apabila tibanya penghujung tahun akan berhadapan dengan banjir. Mereka ini kebanyakannya sudah ada pengalaman getir apabila terpaksa berpindah dan menyelamatkan diri dan keluarga. Sementara itu, bagi penghuni di kawasan berbukit, terutamanya yang mendiami cerun-cerun bukit, tragedi tanah runtuh ini memang tidak dijangka. Apa yang terdaya untuk kita hanyalah berserah kepada ketentuan Allah ta'ala. Namun, sudah menjadi budaya orang kita barangkali, apabila sudah berlakunya sesuatu musibah masing-masing mula menuding jari.

Pun begitu, nasib yang menimpa para pekerja Astana Kelab Golf di Kuantan, Pahang juga turut menyedihkan hati. Siapa yang akan muncul sebagai wiranya nanti? Apa yang penting keikhlasan.

Wednesday, November 26, 2008

Haji Di Papan

Pada masa umat Islam berlumba-lumba ingin menunai fardhu haji di Makkah, terdapat segelintir umat Islam yang khusyuk mengerjakan haji di sebuah warung kopi. Teringat saya akan filem melayu 'DOREMI' , arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bilamana isterinya mengamuk membawa parang dan menetak papan haji (dam).

Realitinya, bila bermain haji (dam) hilang dunia lain, terbengkalai segala urusan lain. Mana tidak mengamuk isteri apabila disuruh membeli ikan memakan masa berjam-jam. Malahan satu kerjapun tidak menjadi. Seorang peniaga muda di sebuah warung dengan berseloroh bersuara;

"Semua pemain haji tu isteri dia sayang, manakan tidak isterinya tak payah lagi melayan kerenah mereka di rumah"

Dia bersuara lagi, "Kalau yang kaki solat tu, akan balik solat zohor apabila hendak masuknya waktu solat asar. Bakinya tu kantoi je..."

Fenomena ketaksuban masyarakat kita kepada bermain haji ini begitu ketara pada tahun 70-an lagi, apabila di setiap kedai gunting rambut disediakan dengan papan haji. Sekarang, kebanyakannya menyediakan akhbar-akhbar harian. Pun begitu, masih terdapat insan-insan yang mewarisi permainan ini. Pada masa saya bertugas di Kuala Terengganu dahulu, di bawah sebatang pokok besar di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu disediakan papan haji ini. Saya lihat sudah ada perlawanan haji belumpun matahari keluar. Begitu sekali komitmen yang ditunjukkan oleh penggemar permainan ini. Saya tidak kata permainan ini salah tapi sekiranya kita sebagai pemainnya tidak bijak mengatur masa untuk kita, agama dan keluarga di mana manfaatnya.

Saya pernah dengar seorang ustaz menyindir di dalam kuliahnya, "Main haji ini apabila kita sudah dapat taraf haji maka lagi buruk fiil perangainya. Bayangkan, apabila dah jadi haji, kiri, kanan, belakang dan depan semua boleh kita makan. Tidak kiri halal haram lagi."

Manfaat haji ini barangkali boleh dijadikan sebagai platform untuk bapa mentua dan menantu yang sama-sama 'kaki haji' menegur sesama mereka.

Kebetulan suatu masa mereka bertarung di papan haji yang sama, kata mentua apabila menantunya asyik memakan biji damnya, "Kau ni asyik makannn...je... kerja malas".
Mentua sindir sebab menantunya itu malas kerja kerana asyik di papan haji sahaja.
Bila tiba giliran mentuanya naik haji, sindir menantunya pula, " Hai ayah ni kerap naik haji... sembahyang dan puasa tak nak..."
Menantunya menyindir sebab ayahnya itu tidak pernah dilihat bersolat dan puasa.

Seandainya papan haji dijadikan platform sedemikian, itulah manfaatnya. Walaupun begitu berpada-padalah.

Tuesday, November 25, 2008

Biarlah Ikhlas...

Seorang menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam dilaporkan menempelak tindakan Raja Petra Kamarudin (RPK) berhubung dengan isu RPK mempertikai prosedur penahanan ISA yang tidak membenarkan tahanan beragama Islam melakukan solat Jumaat. Menteri berkenaan dilaporkan berkata;

"Saya bukan nak menuduh tapi saya nak bertanya, berapa kali beliau (RPK) bersolat Jumaat selama ini," (Hal. N8,Sinar Harian, 20 November 2008).

Pada saya, kita perlu lihat tujuan tahanan itu ditahan. Jika kita mahu tahanan itu berubah, berubah ke arah mana? Kalau ke arah kebaikan maka perlukan penyucian dari dalam diri dahulu. Maknanya, melalui ibadat kepada Allah. Tidak perlulah kita mempertikaikan kekerapan amalan dan ibadat tahanan kerana semua itu perlu disediakan oleh pihak berwajib. Takkan hendak sediakan kemudahan ibadatpun mesti mengikut ukuran ibadat tahanan tersebut. Berapakali sehari dia beribadat? Juga tidak perlulah kita membandingkan amalan ibadat kita dengan orang lain, kerana yang menilai itu bukan kita tetapi Allah S.W.T.

Monday, November 24, 2008

Sekadar menungan

Sudah menjadi kebiasaan di penghujung tahun dan musim cuti sekolah, ramai mengambil kesempatan melangsungkan perkahwinan. Sesungguhnya, perkahwinan itu merupakan satu perkongsian hidup yang memerlukan tempoh masa bagi menyesuaikan diri di antara dua jiwa yang bergelar suami dan isteri. Walaupun bercinta bagai nak rak bertahun-tahun lamanya, apabila menjalani kehidupan sebagai suami isteri juga memerlukan proses penyesuaian. Kesabaran dan saling tolak ansur merupakan tunjang utama dalam rumah tangga.

Di sini saya sekadar berkongsi pandangan secara ringkas tentang keharmonian rumah tangga tanggungjawab bersama di antara suami dan isteri. Walaupun begitu, suami sebagai pemimpin keluarga perlu memantapkan diri dengan keimanan yang utuh serta disematkan dengan kesabaran yang tinggi. Bahtera rumahtangga sentiasa berbadai dan berombak yang kekadang boleh menyebabkan bahtera tersadai dan ranap walaupun dibina atas cinta-mencintai.

Sudah lumrah manusia, semua perkara yang masih bertaraf haram itu ramai yang menggemarinya walaupun yang halal itu lebih cantik dan lebih berkualiti. Sememangnya syaitan itu akan menyesatkan manusia sehingga akhir hayatnya.

Panahan syaitan tidak mengenal mangsa, tua, muda, lelaki, perempuan dan sebagainya lagi. Lantaran itu, jalan terbaik dalam mengekalkan rumah tangga bergantung kepada dua insan yang telah diijab qabulkan itu. Orang lain hanya melihat kepada luaran sahaja dan memberi nasihat serta cadangan bersandarkan kepada apa yang dilihatnya sahaja. Manakala kedua pasangan itu yang mengetahui masalah masing-masing. Pun begitu, keikhlasan bersandarkan keimanan yang jitu dalam membuat keputusan adalah jalan terbaik.

Sunday, November 23, 2008

Yoga Atau Solat


Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dibantah buat kali kedua selepas membuat keputusan tentang haramnya pengkid. Kali ini membabitkan pengharaman bagi umat Islam mengikuti yoga, iaitu sejenis senaman orang-orang hindu. Apa yang mendukacitakan kita ialah bantahan daripada kalangan orang-orang Islam sendiri.

Seorang artis wanita mendakwa penyakit asma dan sakit tulang belakang beliau telah sembuh apabila mengikuti yoga selama 4 tahun. Menurut beliau tiada mentera dan unsur-unsur yang boleh memesongkan akidah dalam yoga yang beliau lakukan dan beliau sentiasa berhati-hati tentang akidahnya.

Sementara itu, Sisters in Islam (SIS) juga menyanggah keputusan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu. Menurut mereka tiada kes lagi yang melibatkan pengamal yoga terpesong akidahnya dan yoga itu cuma sejenis senaman.

Sewajibnya, kita sebagai umat Islam menghormati keputusan yang telah dibuat itu. Pada saya, Majlis Fatwa Kebangsaan menjalankan tanggungjawabnya menjaga umat Islam daripada terpesong akidahnya. Jikalau kita tunggu terpesong akidah baru hendak bertindak, itu sudah terlambat. Lagipun, ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan bukan calang-calang orang dan mereka tidak akan membuat sesuatu keputusan hanya bersandarkan kepada agak-agak sahaja. Keputusan dibuat bersandarkan kepada kajian yang terperinci, jadi kalau kita selaku umat Islam tidak boleh menerima keputusan cendikiawan kita sendiri, maka kepada siapa lagi kita hendak harapkan? Inilah seperti yang pernah disabdakan Rasulullah yang mana umat islam akhir zaman ramai tetapi seperti buih di laut.

Kita tidak nafikan keperluan berikhtiar bagi mengubati penyakit, tetapi ikhtiar itu mestilah tidak melanggar syariat yang telah digariskan oleh Islam. Kalau hendak letakkan sembuh sebagai ukuran kebenaran hujah maka ramai orang yang berdukun,jumpa pawang yang menggunakan ilmu hitam juga ada yang sembuh penyakitnya. Apa yang kita cari adalah keredhaan Allah ta'ala.

Cuba kita renung, mengapa di dalam yoga kita boleh fokus dan kusyuk tetapi tidak di dalam solat? Di sinilah terletaknya kualiti solat kita, jikalau solat itu berkualiti ianya akan dapat membunuh sifat-sifat mazmumah, bahkan penyakit yang kronik sebagaimana ubat-ubatan yang berkualiti dan mahal harganya. Begitulah juga harga solat yang berkualiti akan melambung tinggi melepasi harga siling dan menjadi penawar berbagai penyakit kerana itu janji Allah, yang mana solat itu boleh mencegah segala kejahatan dan kemaksiatan. Seandainya kita hendak memadam kebakaran, kita diajar memadamkan pada punca kebakaran itu. Begitu juga dengan penyakit, cari puncanya. Jikalau kita tidak ada hasad dengki, khianat dan sebagainya maka kita tidak perlu banyak berfikir bagi menghadapinya dan tiada orang yang sakit hati pada kita. Masyarakat yang solatnya berkualiti juga akan menyediakan makanan secara halal dan suci, tiada tipu timbangan,tiada campuran bahan yang tidak dibenarkan, tiada pembunuhan, tiada rompakan dan berbagai jenayah lainnya lagi. Apa yang penting, carilah keredhaan Allah.

...bila nak balutnya?


Anak saudara saya yang ini memang banyak celotehnya. Apabila bercakap tidak pernah hendak jatuhnya, dan dia cuba menyakinkan orang lain akan hujahnya. Sikapnya ini lebih kurang ayahnya yang juga 'orang politik', bila bercakap kita sudah kenal parti mana duduk dia. Walaupun komitmennya menebal terhadap partinya tetapi cita-citanya tidak tinggi, hanya sekadar setahun sekali dapat menginap di hotel menjelang pemilihan kelompoknya sudah memadai.

Berbalik kepada anak lelakinya ini, katanya berkhatan ini tidak sakit hanya terasa semacam semut gigit di kaki sahaja. Tiada apa-apapun. Dia begitu bersemangat untuk berkhatan, menurut ibunya sehari sebelum khatan, dia main basikal puas-puas, nak makan itu ini puas-puas kerana bila khatan terpaksa berpantang sedikit katanya. Pada malamnya pula, dia tidak lena tidur, seronok hendak berkhatan. Semasa belum masuk khatan, ada seorang bertanya, "adik tidak gementar ke?" Jawabnya selamba, " Kat rumah tadi tak, tapi kat sini rasa juga sikit".

Yang lucunya, baru sahaja baring sudah tutup muka dengan kedua tangan sambil memekik, "eeeiii", terpaksalah dipujuk dari mula hingga selesai khatan. Yang bagusnya, mulutnya tidak putus berselawat dan berisytighfar. Kerapkali pula bertanya, "Sudah dah ke?" "Jahit dah ke?" "Bila nak balutnya?". Tubuh kecilnya mengigil dan sejuk. Semasa mudim sedang menjahit, perlahan dia bersuara, " rasa hendak kencing pula ni...". Semua gelak besar dan bersuara, "jangan buat hal...". Akhirnya berjaya juga dia melalui saat getir berkhatan. Umurnya baru 9 tahun, jadi kira berani juga le dia.

Saturday, November 22, 2008

Lebih Baik Diam Daripada Bercakap

Pengerusi Tetap UMNO melepaskan geram dan mempertikaikan kelayakan seorang pemimpin pembangkang yang mencadangkan supaya setiap pemimpin UMNO memboikot pemilihan pucuk pimpinan pada Mac tahun hadapan. "Jangan jaga tepi kain orang lain" antara kata-katanya yang berang dengan sikap ambil tahu pemimpin pembangkang itu.

Saya bersetuju dengan alasan pemimpin pembangkang itu, pada masa sekarang UMNO yang merupakan salah satu daripada parti komponen BN yang memerintah negara dan semestinya di antara pemimpin mereka akan dilantik menjadi menteri dan berbagai jawatan penting yang berhubung dengan pemerintahan negara. Jikalau pemimpin yang korupsi dan berbagai penyakit mazmumah yang lain sebati dengan jiwa dan menjadi gaya hidup mereka, mana layak mereka memimpin negara. Rakyat termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang yang merupakan rakyat Malaysia sudah selayaknya campur tangan. Mengapa setiap kali Perhimpunan UMNO diberi liputan meluas oleh media massa? Ini menunjukkan banyak dasar negara dibuat melalui perhimpunan ini kerana mereka memegang tampuk pemerintahan negara.

Bercakap itu biarlah menggunakan akal dan jangan menggunakan sentimen serta nafsu semata-mata. Bersikap profesionallah dalam setiap perkara dan jika ini diamalkan, saya percaya tiada JPP di setiap negeri yang diperintah oleh pihak pembangkang.

Wednesday, November 19, 2008

Gula-gula Getah


Selalunya, apabila seseorang itu sedang melayan gula-gula getah (chewing gum) di dalam mulutnya maka susah kita hendak menjangka bila akan berhenti kunyahannya itu. Asyik bergerak-gerak, berceriuk dan menelan liur. Senaman muka kononnya. Suka saya hendak kongsikan pengamatan saya kepada satu tabiat manusia seolah-olah tabiat gula-gula getah.


Gula-gula getah yang hadir dengan berbagai perisa dan berbagai bentuk menarik ramai penggemarnya. Begitulah juga dengan sesetengah orang yang hadir dengan berbagai profesion baik melalui politik, akademik, undang-undang, kemasyarakatan mahupun lain-lain bentuk penampilannya. Jikalau gula-gula getah yang berada di dalam mulut tidak pernah diam, begitulah manusia jenis ini sering ada strategi dan jalan, khususnya manusia politik yang bercita-cita tinggi melampaui kemampuannya. Semasa di dalam kumpulan inilah sering mengambil peluang walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan pemanis yang besar sebagaimana gula-gula getah yang masih di dalam mulut ligat dimamah dan disepahkan manisan.


Apabila dihumban keluar, masih mencari idea bagi mendapatkan pengaruh dan merosakkan alam sebagaimana gula-gula getah yang masih mampu melekat di setiap objek yang merapatinya seperti sepatu, seluar, baju, kaki dan sebagainya. Manusia seperti ini amat ramai kita temui, dengan alasan yang berbagai terus memburu populariti demi meraih sokongan untuk kepentingan diri dan duniawi.

Tuesday, November 18, 2008

Hayatilah Falsafah Di Sebalik Sarang Labah-labah


"Umpama orang yang mengambil wali-wali selain daripada Allah, adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Sesungguhnya selemah-lemah rumah ialah rumah labah-labah, jika mereka mengetahui"


(Ayat 42, Surah Al-Ankabut)


Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang meletakkan kepercayaan atau keyakinan seratus peratus kepada selain daripada Allah seperti sarang labah-labah yang mudah rosak dan tidak kukuh.


Kita lihat bagaimana sesuatu undang-undang yang dibentuk selain daripada yang termaktub di dalam al-Quran seumpamanya sarang labah-labah. Apabila melintas serangga yang kecil maka melekatlah ia tetapi apabila melintas makhluk atau benda-benda kasar dan besar maka pecahlah ia. Jelasnya, undang-undang seumpama ini hanya terpakai dan boleh dikuatkuasakan ke atas manusia yang lemah dan golongan marhain sahaja. Sedangkan manusia atau golongan yang tebal pengaruh, tinggi nasab keturunan dan tebal wang ringgitnya bermungkinan akan dapat merobekkan undang-undang yang rapuh ini.

Monday, November 17, 2008

5-2

Semasa bersembang di depan Pejabat Pentadbiran, Madrasah Ar-Rahman, seorang ustaz mengemukakan soalan kepada anak saudara saya yang sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Katanya, "5-2 berapa?"

"3" Jawab anak saudara tanpa berfikir panjang.

Sambil tersenyum, ustaz tadi menyambung;

"3 jawapan orang sekarang ye."

Kemudian dia bersuara dalam nada jenaka;

" Tapi kalau 5 dah tolak 2 tentulah yang 2 tu jatuh. Bila 2 dah jatuh tentulah 3 takut dan cabut lari... jadi yang tinggal, tentulah 2"

Ustaz tadi ketawa terkekeh-kekeh. Saya ikut senyum... ambil hati orang tua.

Apa yang bermain di minda saya apa motif sebenar ustaz tadi. Yang pasti anak saudara saya memberi jawapan secara hukum matematik dan ustaz tadi memberi jawapan secara subjektif. Apa-apapun, setiap benda yang khilaf itu manfaat untuk umat Islam. Wallahu 'alam.

Sunday, November 16, 2008

Dari Buaian Hingga Liang Lahad


Kagum saya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh salah seorang pakcik yang sudah bongkok dan berjalanpun terlalu perlahan. Agak-agak saya mungkin usianya sudah menjangkau lebih 90 tahun tapi semangat menuntut ilmunya mengalahkan orang-orang muda. Dia tekun menyimpan kitab-kitab yang baru habis di pelajari dan mencapai kitab yang akan dibaca dan disyarahkan sebentar lagi. Rata-rata pengunjung Masjid Pusat Pengajian Pondok ini menjadi 'orang yang kedua',iaitu orang yang menadah kitab (belajar). Sesi kuliah di sini saya lihat begitu padat, setiap lepas waktu solat ada kuliah dan di sini kita patut 'strikes while the iron is hot' .



Berbeza sewaktu saya menjadi 'mahasitua' di UUM dahulu, walaupun ada di kalangan kami yang sudah lanjut usianya tetapi mungkin matlamat menuntut ilmu itu jauh berbeza. Di sini, kebanyakan penuntut yang lanjut usia ikhlas dan 'targetnya' mendapat keredhaan Allah.



Pada awal tahun 80-an dahulu saya pernah mengunjungi Masjid ini, tetapi pada masa itu masjidnya tidaklah sehebat hari ini. Saya pernah mendengar kuliah yang disampaikan oleh pengasas pusat pengajian ini, iaitu Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Sulaiman. Hari ini, saya cukup gembira apabila anak saudara saya yang sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menyuarakan keinginannya untuk menghabiskan cuti sekolahnya dengan menuntut ilmu di sini. Sekurang-kurangnya, hasrat itu lahir dari keinginannya sendiri.



Keinginan saya kini timbul bagi menyambung semula jejak-jejak lampau untuk menuntut ilmu. Musoli, Hidayatu Sabiyan, Hikam, Baquratul Amani, Faridah, Aqidatul Najin, Minhajul Abidin, Riadhus Salihin dan lainnya, insya-Allah akan saya jelajahi. Ilmu perlu dicari dan digali bukan dia mencari. Teringat saya satu kisah di dalam buku Sejarah Melayu, yang mana Sultan Mahmud diminta supaya datang sendiri kepada seorang maulana apabila baginda ingin mengaji.

Saturday, November 15, 2008

Berhati-hati Atau ...

Setiap kali isu berhubung dengan kahwin cerai didakwa di mahkamah maka timbul pasal perkahwinan di Yala, Thailand. Bermula daripada individu yang berada di peringkat bawahan sehinggalah kepada individu yang berada di peringkat atasan. Mengapa orang Islam kita lebih cenderung berkahwin di Thailand? Tentu jawapan yang diterima, "mudah".

Sukarkah urusan perkahwinan yang akan dilangsungkan di negara kita sendiri? Masing-masing sudah ada jawapan dan alasan-alasan sendiri. Apa-apapun pihak yang bertanggungjawab dalam urusan ini tentulah Majlis Agama Islam. Saya tidak ada pengalaman dalam urusan perkahwinan di Selatan Thailand ini tetapi saya musykil mengapa ramai orang kita berkahwin di sana. Terdetik di fikiran saya, mungkinkah urusannya terlalu mudah dan penerimaan untuk mendaftarkan perkahwinan itu semula di pejabat-pejabat agama di Tanahair juga mudah? Saya bukan apa, sekadar turut simpati dengan nasib kaum wanita yang sering dieksploitasi dan dijadikan timba bagi mendapatkan air di perigi.

Terbaru, kita baca kisah seorang wanita yang dikatakan bersuami dua yang berlaku di Kampung Bukit Rawa, Sedim, Baling. Wanita ini dilaporkan oleh sebuah akhbar tertekan apabila hakim Syarie memerintahkannya supaya berpisah dengan suami kedua, yang mana mereka telah mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Perkara ini berbangkit apabila Mahkamah menerima Permohonan Rayuan bagi Mufaraqah daripada suami pertamanya, yang mana mereka mempunyai enam orang anak. Mereka dilaporkan telah bercerai sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1996 dan 1997. Wanita ini dilaporkan berkata dia tidak setuju untuk rujuk semula pada kali kedua. Setelah digantung tidak bertali selama lapan tahun, dan setelah dia berurusan di Pejabat Agama Baling dan dilaporkan diberitahu oleh pihak Pejabat Agama Baling yang dokumennya hilang semasa banjir, dia mengambil keputusan berkahwin di Yala, Thailand. Akibatnya, kini dia didakwa mempunyai dua suami.

Kisah seumpama ini bukan kali ini kita dengar tetapi sudah lebih dari satu. Apa yang Pok Muda ingin utarakan adalah peranan pihak berwajib, khususnya yang bersangkutan dengan agama. Mengapa kerap kali apabila bersangkutan dengan agama ianya terlalu perlahan. Adakah kerana terlalu berhati-hati dalam setiap tindakan? Umpamanya, kisah Arifin Mohamad (Ayah Pin) yang sesat lagi menyesatkan tidak dapat ditangkap kerana menurut pihak Polis, mereka tidak boleh bertindak tanpa arahan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama islam Terengganu (JHEAT). Kelewatan bertindak itu telah membuka peluang yang luas kepada kemungkaran. Wallahu 'alam.

Wednesday, November 12, 2008

Bulan Debaran

Bulan ini banyak debarannya buat manusia, apa tidaknya; yang akan menempuh alam remaja akan melalui satu 'check point' penting dan tentu mengigilkan segala sendi, iaitu berkhatan. Bagi yang remaja debaran kerana memasuki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Manakala debaran orang-orang muda menunggu hari untuk diijab kabulkan.

Bagi penghuni-penghuni kediaman yang sering dilanda banjir juga tidak berapa lena tidurnya. Dan, ada lagi satu debaran, iaitu bagi pemimpin-pemimpin politik yang bertarung menjelang pemilihan pucuk pimpinan mereka. Habis pelbagai strategi diatur dan disimbah. Sungguhpun debaran ini frekuensinya berlainan namun hakikatnya itulah fitrah manusia takut pada masa hadapan yang belum pasti.

Tuesday, November 11, 2008

Virus 3 Serangkai

Seorang ustaz berkuliah, katanya; Imam Ghazali mengenalpasti 3 perkara penyakit hati yang kronik, iaitu hasad dengki, 'ujud dan takabur.

Umum mengetahui, ketiga-tiga penyakit ini sememangnya membawa virus yang berbahaya. Rata-rata manusia apabila dihinggapi virus ini akan 'koma' yang berpanjangan (lupa diri). Perasaan hasad dengki akan mengundang bahana yang besar. Apa tidaknya, perasaan cemburu, dengki, khianat yang bersarang di hati tidak akan senang apabila melihat orang lain senang, mewah, gembira, berjaya dan sebagainya. Perasaan yang bersarang di dalam hati seseorang insan yang berkedudukan rendah sehinggalah ke kedudukan yang tertinggi dalam masyarakat ini akan memakan sifat-sifat mahmudah. Virus inilah yang menyebabkan berlakunya penyakit sosial seperti samun, rogol,bunuh,curi,ragut,rompak dan sebagainya. Bahkan fenomena ini juga dapat dilihat dari perbezaan fahaman politik yang membawa kepada sekat projek dan sekat peruntukan dengan pelbagai cara. Bagi yang di dalam wadah yang sama pula, wujud perasaan hasad dengki kerana merebut jawatan demi kemewahan hidup maka berlakulah fenomena baling membaling, kata-mengata dan seumpamanya lagi.

Begitu juga dengan virus 'ujud, iaitu perasaan tinggi diri yang mana timbul perasaan 'aku sahajalah yang layak kerana kebijaksanaanku'. Kita lihat, masing-masing mengaku dialah yang layak dengan membawa berbagai visi bagi mengubah kelompoknya. Situasi ini sehingga membawa kepada saranan diwujudkan satu slot "Debat Terbuka" di kalangan calon yang akan bertanding merebut jawatan. Inilah akibatnya apabila perjuangan bermatlamatkan kemewahan dan lupa tentang 'Hari Kebangkitan'.

Wujud rasa bangga diri atau disebut takabur kerana kejayaannya mengadakan atau membuat sesuatu perkara atau projek. Pendek kata, semua unsur mazmumah berada di sini.

Tegasnya, perjuangan yang berlandaskan syariat demi mendaulatkan agama Allah akan menjamin keharmonian hidup baik di dunia mahupun di akhirat. Perjuangan yang berlandaskan nafsu semata-mata akan membawa kepada kehancuran. Keterbukaan Tuan Guru Y.A.B MB Kelantan kepada semua kaum perlu diteladani. Saya masih ingat kata-kata tok guru semasa baru-baru memerintah Kelantan dahulu, lebih kurang begini; "Bercakap atau berceramah agama berlatar belakangkan masjid atau mimbar tidak sama dengan berceramah berlatar belakangkan negeri atau negara". hayatilah kata-kata Tuan Guru itu.

Rujuklah Kepada Manualnya

Pagi ini semasa memandu ke pejabat, radio IKIM fm membuka ruang kepada pendengar bagi membicarakan tentang topik "keselamatan di tempat kerja" ekoran kes pembunuhan seorang Pembantu Penguatkuasa Hal Ehwal Agama Islam yang bekerja sambilan di stesen minyak. Takziah kepada keluarga Allaharyam dan kita turut bersimpati yang mana anak-anak arwah seramai enam orang masih kecil lagi.

Sudah menjadi trend pemimpin dan masyarakat kita barangkali, sekali tragedi menyayat hati, sekali membuat mesyuarat, memberi cadangan peraturan, meminta cadangan dan berbakul-bakul cadangan serta rungutan dikutip dan disimpan. Selepas itu, kembali kepada biasa. Begitulah selanjutnya, bak kata pepatah melayu "hangat-hangat tahi ayam".

Apa-apapun, perkara pokok yang wajib dilakukan oleh kepemimpinan negara ialah kembalilah kepada Undang-undang Allah. Sesebuah syarikat pengeluar kereta tidak akan mengeluarkan kereta tanpa manual mengenai cara-cara penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraannya. Begitulah juga dengan manusia dan makhluk lainnya diciptakan Allah dengan manualnya sekali, iaitu Al-Quran. Jadi, jika makhluk itu rosak sama ada aqidahnya, otaknya, sikapnya ataupun apa-apa yang mendorongnya kepada kemaksiatan maka rujuklah kepada manual yang telah diturunkan itu.

Monday, November 10, 2008

Di mana ingin ku mulakan...

Hampir setahun setengah Pok Mudo bertukar ke Jajahan (istilah 'Kerajaan Tempatan' Kelantan) kelahiran. Namun, rasanya tiada yang teristimewa. Cuma apa yang menggembirakan, tiap-tiap hari dapat jumpa bonda tercinta. Sakit pening bonda dapat dipikul bersama. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada tapi sekadar berkongsi rasa.

Teringin rasanya hendak aktif seperti remaja dahulu, berpersatuan dan bersukan. Namun, rasanya hanyalah fantasi yang bermain di gusi dan gigi.

Semua rakan sudah berkeluarga dan kebanyakannya berada di luar Kelantan. Apabila sudah berkeluarga, di fikiran masing-masing hanya ghairah bercerita tentang pulangan yang menguntungkan.

Kini, apa yang Pok Mudo fikirkan, apa yang hendak dimulakan? Di mana hendak mulakan?

Lagi Ceritera Masjidku (yang kini digelar An-Nur)

An-Nur Tidak Setinggi Dahulu

Masih terbayang di padang lapangmu
waktu kanak-kanak dan remajaku
kami berlari-lari dengan berbagai ragam mainan
bola sepak, hoki, luncur papan, combat, bola pukul
dan ... kayanya riadah masa kanak-kanak

Di situlah kami...
bertemu dan bertukar cerita
Bahkan...
jarang-jarang tempat beradu fizikal
bila hati diluka...

Rebah bangun kami di sini
hanya An-Nur yang mengerti
kerana ia telah banyak menyaksikan
melalui CCTV nostalgia di minda kami

An-Nur kini telah ranap
Dek Pembangunan Modal Insan yang diharap
Walau diganti An-Nur yang gemerlap
An-Nur dahulu di hati tetap.

Saturday, November 8, 2008

Masjid Guchil @ An-Nur


Inilah koleksi Masijid Guchil yang Pok Mudo ada, tu pun pintu masuk utama yang asal tanpa tambahan lagi. Nostalgia di sini terlalu banyak.

Salam Buat Jemaah Haji

Labbaikallahu malabbaik, labbaikalaa syariikala kalabbaik;

Selamat menunaikan ibadat haji kepada semua jemaah haji dari seluruh pelosok dunia. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan para jemaah dan semoga para jemaah mencapai haji mabrur, insya-Allah.

Alangkah bertuah dan indahnya menjadi tetamu Allah! Tambahan pula berada di tanah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan penuh keberkatan. Pasti para jemaah hilang rasa 'stress' dan kekalutan yang saban tahun meruntun jiwa. Apa yang pasti, peluang yang amat jarang boleh dinikmat oleh para muslim lain ini manfaatkanlah. Ada muslim yang dikekang oleh masalah kewangan, kesihatan, kuota dan berbagai lagi walaupun hati meronta-ronta untuk bersama muslim dari berbagai negara bagi menunaikan ibadat haji. Ekoran itu, ketaqwaan itu asas utama dalam ibadat dan hargailah 'Jemputan Illahi' ini. Allahu Akbar!

Tuesday, November 4, 2008

Islam itu Indah

Kalut, heboh, menyibuk dan bermacam-macam ungkapan seumpamanya lagi yang boleh diutarakan bagi menceritakan situasi sekarang. Isunya apa? Isu yang memang sensitif, iaitu "Ketuanan Melayu". Sememangnya, ramai yang sedar tentang "kontrak sosial", bagaimana orang-orang melayu menerima kerakyatan orang-orang bukan melayu dan sebagai imbangannya orang-orang melayu diberi "Hak Keistimewaan Orang-orang Melayu".

Pok Mudo bukan tidak sensitif tentang isu ini tetapi Pok Mudo lebih sensitif jikalau agama Islam dipersendakan oleh orang-orang yang beragama Islam sendiri, khususnya isu murtad. Itu isu yang amat besar tetapi sendaan yang kecil-kecil yang lama-kelamaan boleh menjadi barah dalam masyarakat islam seperti hidup ala barat yang tiada batasan 'jantan' dan 'betina', lelaki berantai leher, bersubang telinga, minum arak dan sebagainya lagi.

Apa yang penting undang-undang Islam itu sendiri dipersendakan. Jikalau diamalkan takut tidak maju, orang-orang Islam ramai cacat, kudung tangan kaki, takut pelabur lari dan bermacam lagi. Inilah isu yang sememangnya amat sensitif dan perlu dibincangkan untuk diamal dan didaulatkan.

Monday, November 3, 2008

Wasiat Suci

Nabi berpesan agar kita teguh berpegang pada al-quranul karim dan hadis baginda. Para ulama turut berpesan agar kita teguh berpegang pada kedua-duanya dan ijma' ulama' serta qias.

Mengapa wasiat junjungan mulia dan para ulama ini tidak diulang tayang di media massa supaya diingati dan diamali sebagaimana faedah-faedah dan insentif-insentif dari Bajet 2009?

Di mana keikhlasan kita?

Minggu lalu, semasa khutbah jumaat, khatib menyentuh tentang kecenderungan masyarakat kini, khususnya para pemimpin dan para cendikiawan memperkatakan tentang halal dan thayyibah.

Rata-rata masyarakat kini mementingkan kalimah "halal" tetapi sayangnya hanya terhad kepada makanan sahaja. Macam mana dengan cara berpakaian? Bergaul? Bersukan? Bekerja ? Berurus niaga ? Berpolitik ? dan sebagainya lagi.

Sunday, November 2, 2008

Kuala Krai Bandar Burung Layang-layang

Seingat saya, semasa saya kecil bandar Kuala Krai sudahpun dihuni oleh beribu-ribu burung layang-layang. Kalau kita dongak pada waktu malam berbaris-baris burung layang-layang bertenggek di atas wayar elektrik dan bangunan-bangunan kedai. Sudah menjadi kebiasaan setiap kereta yang diparkir di bawahnya akan mandikan dengan najisnya. Lantaran itulah maka dewasa ini banyak dilihat bangunan yang mula diubahsuai bagi menarik burung layang-layang ini bersarang di dalamnya. Ini mungkin dapat memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha. Maka, cadang saya pada pihak yang berwajib, apa salahnya jika kita tambah nama pada bandar ini kepada "KUALA KRAI BANDAR BURUNG LAYANG-LAYANG".

Lain pula dengan Kuala Lumpur yang banyak terdapat burung gagak, yang mana semasa saya bertugas di sana sudah kerap saya diberaknya. Habis najisnya mengotori kepala dan baju saya. Satu kali tu semasa saya pulang dari solat jumaat di Masjid Negara.

Saturday, November 1, 2008

Masuk Bakul Angkat Sendiri

Kita sering mendengar ungkapan-ungkapan begini;

1. Cerita seorang mekanik:
"Dulu kereta dia tu teruk, dia dah bawa ke macam-macam bengkel tapi macam tu juga. Lepas dia bawa pada saya , saya tengok dan saya baiki. Sampai sekarang keretanya ok. Tak pernah meragam"

2. Seorang dukun/bomoh memerihal kebolehannya:
"Pesakit tu dah teruk dan dah ramai bomoh cuba ubatinya tapi tak sembuh. Akhirnya, dia jumpa saya dan saya ubatinya, sekarang dia dah sihat"

3. Seorang Tukang turut bercerita tentang kelebihannya mengatasi kepakaran tukang lain dan berbagai lagi.

4. Seorang ### ghairah bercerita setelah dia mendapat percalonan yang banyak :
"Sekarang 'akar umbi' mahukan perubahan dan hanya memilih ### yang dirasakan mampu membawa ### hala tuju yang lebih cemerlang."

5. Seorang +++ juga berhujah:
"Hanya @@@ sahaja yang dapat membela dan membangunkan ###"

Kata-kata kita kekadang bukan sekadar masuk bakul angkat sendiri, tetapi boleh membawa kepada syirik. Nauzibillah!

Monday, October 27, 2008

Umat Islam Bagai Satu Badan


Sudah hampir seminggu pergerakan tubuhku hampir sama macam robot. Peritnya, Allah sahaja yang tahu. Pada mulanya, aku sangka semacam kata orang lainnya "salah bantal" yang ada berseloroh bukan "salah bantal" tapi "salah leher" kerana leher yang sakit. Tapi bila sakitnya tidak sembuh sampai ke beberapa hari dan sehingga hari ini sudah lima orang telah mengurut bahu dan leherku.


Orang pertama yang mengurut tentulah isteriku yang sentiasa perihatin tentang kesihatanku. Selepas diurut makin tidak boleh bergerak, berpusing dan jauh sekali memandang lantai. Semasa solat, Allahu Akbar! peritnya.


Semasa menunggu isteri di Pasar Pagi, seorang hamba Allah yang berada di situ ringan tangan tolong mengurutku setelah kesian melihat gerak laku robotku. Peritnya... sampai ke merata tubuhku.


Semasa aku pulang ke rumah mentuaku, aku disaran supaya pergi berurut dengan seorang foreman motorsikal, jirannya. Inilah satu-satunya tukang urut berbayar yang mengurutku. Setelah diurut, aku beberapa kali diminta supaya berpusing ke kiri dan ke kanan. Hai macam uji motorsikal pulak! getus hati kecilku. Setelah itu aku diminta supaya meminum air yang dibaca dengan jampinya. Katanya, ini bukan "salah bantal" tapi urat dan dia tidak pernah jumpa seperti ini kerana menurutnya yang ini "panas dalam" bukan "panas luar". Aku sebenarnya tidak faham maksudnya, tapi aku diam aje.


Selesai solat subuh di kampung isteriku, bilal masjid pula tolong urutku dan menurutnya perlu diurut mulai dari hujung jari-jemari tangan membawa ke bahu. Dia mempelawa aku ke rumahnya untuk dirawatnya tapi aku kesuntukan masa kerana perlu mengikuti rombongan anak saudara isteriku untuk meminang.


Di rumah mentua, abang iparku pula minta untuk mengurutku. Minyak masak campur bawang putih. Akhirnya, aku ke Klinik Kesihatan dan diberi krim sapu dan ubat tahan sakit.


Hari ini, bahuku masih sakit dan aku hanya makan ubat tahan sakit. Peritnya tidaklah sehebat pada permulaan sakit. Aku berdoa semoga Allah mengurniakan aku kesihatan yang baik dan membuang sakit ini. Amin... Teringat penderitaan umat Islam di seluruh dunia yang ditindas...

Tuesday, October 21, 2008

Jangan Berseloroh Dengan Orang yang Tidak Boleh Menerimanya

Pernah semasa saya belajar dahulu, rakan sebilik saya seorang pemuda dari Negeri Sembilan terlalu kuat merokok. Sekali beli berkotak-kotak dan bila merokok asyik "sambung punting" je.

Suatu hari, saya berseloroh dengannya;

"Orang yang merokok ni, dekat hendak mati, panas!"

Tak sangka saya, seloroh saya tu membuatnya berang dan dengan nada tinggi dia menyergah;

"Tak merokok pun kalau tidak beramal baik, panas semasa hendak mati. Jangan mudah sangat menghukum orang".

Saya hanya tersenyum dan cuba mengendurkan amarahnya;

"Maksud aku rokok tu, bila dekat nak mati apinya tentu dah sampai ke punting rokok dan hampir dengan kepitan jari kau tu. Jadi tentu jari kau terasa panasnya"

Rakanku itu sambil tersengih-sengih, malu alah agaknya bersuara untuk menutup malu;

"Tak pun...tak panas pun", sambil mengangkat rokok di bibirnya.

Sunday, October 19, 2008

Menghargai yang sedikit

Sememangnya sikap manusia, apabila mewah atau ada apa-apa lebih dari keperluan mulalah membazir. Mulai daripada makan-minum yang sentiasa berbaki (bersisa) sehinggalah kepada babak-babak lain yang lebih menonjol.
Pada masa aku kecil dahulu, selalunya apabila aku atau rakan-rakanku terjumpa wang syiling 5,10 atau 20 sen yang sudah berkarat kami akan letak di atas tanah. Kemudian kami akan letakkan tumit kaki di atas syiling tadi dan pusing-pusingkannya supaya ia menjadi cerah dan tidak banyak soalan yang diterima daripada penjual apabila kita menghulurkannya semasa berurusniaga. Apa yang wujud di sini ialah sikap menghargai nilai wang kerana pada masa itu kami tiada wang.
Pada masa sekarang, bekalan air yang sentiasa terputus kadangkala memaksa suri rumah berjimat dan cuba menghargai baki yang ada. Tambahan pula keperluan yang banyak dengan pinggan mangkuk berselerak tidak dapat dibasuh, anak-anak kecil untuk makan, minum, bersuci dan sebagainya.
Adakalanya, selepas Hari raya Puasa ramai orang yang makan gaji kering dan menunggu gaji berikutnya maka terkial-kial mencari baki duit raya.
Begitulah beberapa fenomena yang melanda kita apabila yang berlambak itu mula susut. Sedangkan nasihat ini telah diberikan oleh Allah sebagaimana yang telah diceritakan dalam al-Quran dalam surah Yusuf melalui takbiran mimpi oleh Nabi Yusuf.

Saturday, October 18, 2008

Musim

Sebut sahaja pasal musim, mungkin ada di antara kita akan terbayang empat musim dan orang-orang di Malaysia akan terbayang pada musim panas serta musim hujan (tengkujuh) yang semakin hampir. Tetapi sebenarnya banyak lagi yang dikategorikan dalam sebutan musim di Malaysia ini seperti musim Cuti Sekolah, Musim Buah, Musim Haji, musim penyu bertelur,musim menyandat sotong dan mungkin ada beberapa perkara yang sinonim dengan istilah musim.
Pada penghujung tahun kebiasaannya dalam musim Cuti Sekolah anak-anak lelaki yang akan meningkat remaja menanti saat mendebarkan, iaitu berkhatan (bersunat). Sementara itu, bagi anak-anak yang telah aqil baligh pula turut menunggu saat mendebarkan, iaitu perkahwinan. Itulah lumrah kehidupan insan yang penuh dengan warna-warni musim-musiman.
Tahun ini, musim apa yang paling mengembirakan kita?

Wednesday, October 15, 2008

Tunaikan Tanggungjawab Kita

Kejadian menceroboh di dalam siling sebuah sekolah baru-baru ini mengejutkan ramai pihak. Bayangkan sudah berapa lama ianya dihuni dan digunakan oleh penagih tanpa disedari oleh pihak sekolah. Modus operandi para penagih ini sungguh licik tetapi tidak menguntungkan diri mereka. Malah mereka sebenarnya merosak serta menjahamkan diri mereka sendiri.

Dilaporkan, di dalam siling tersebut dijumpai sebuah peti televisyen kepunyaan sekolah yang dihidupkan melalui sambungan terus dari dawai elektrik yang berada di dalam siling, plastik-plastik yang mengandungi gam serta najis-najis para penagih. Mereka menggunakan tempat ini sebagai tempat mereka melepaskan gian.

Begitulah senario yang berlaku di sebuah sekolah menengah yang diceroboh oleh sekumpulan penagih. Mereka tekad dan berani sebagaimana mereka berani memusnahkan diri mereka sendiri. Jikalau pengebom berani mati tekad memusnahkan diri demi perjuangan mereka, maka para penagih ini pula berani memusnahkan diri demi keseronokan diri yang sementara.

Entah di mana silapnya maka mereka terjerumus ke dalam kehidupan yang sudah tentu menjahamkan diri mereka. Bukan itu sahaja, malahan mereka turut menyusahkan masyarakat keliling apabila berlaku jenayah seperti pecah rumah, ragut, rogol dan sebagainya yang berpunca dari ketagihan mereka. Mereka juga turut membebankan kerajaan apabila terpaksa menyediakan peruntukan bagi menjalankan operasi mengesan, menangkap dan memulihkan mereka. Mengapa mereka tidak sayangkan diri mereka sendiri dan hanya membiarkan individu lain yang berusaha memulihkan mereka.

Sudah terlalu banyak usaha dan wang yang dikeluarkan untuk membanteras penyakit sosial ini. Sudah banyak kempen-kempen kesedaran yang disiarkan, ceramah-ceramah yang disampaikan di merata-merata tempat dan pembinaan tempat-tempat pemulihan. Namun, kecenderungan untuk berubah di kalangan penagih agak lembab. Fenomena ini lebih parah lagi apabila berleluasanya para pengedar yang suka membina kemewahan di atas kemelaratan dan kehinaan orang lain.

Apa yang pasti, persekitaran merupakan faktor penting dalam mempengaruhi manusia ke arah sesuatu perkara. Persekitaran yang didominasi oleh undang-undang,masyarakat, keluarga dan rakan-taulan. Justeru itu, persekitaran yang sejahtera dan harmoni yang berasaskan al-quran wajib diwujudkan. Kuat kuasakanlah undang-undang Islam dan biarlah Islam yang mencorakkan alam ini. Tanggungjawabnya berada di setiap bahu kita sebagai hamba-Nya. Salurannya melalui peti undi.

Sunday, October 12, 2008

Kayuhan Tinggal Kawan


Pada tahun 1979,semasa aku di Tingkatan Satu,seorang kawan yang juga anak jiranku mencadangkan supaya kami berbasikal ke suatu bandar yang terletak kira-kira 26km dari kampung kami. Kami bertiga sepakat dan memulakan kayuhan seawal kira-kira pukul 7.30 pagi. Aku bersama basikal miniku penuh semangat meluncur di jalan raya persis seorang jaguh lumba basikal negara. Kami mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai ke destinasi.

Semasa berada di bandar itu,aku hanya melihat sahaja kedua kawanku mengalas perut dengan makanan dan minuman. Sememangnya aku tidak berduit dan tiada bekalan yang dibawa walaupun sekadar air kosong. Setelah berehat hampir setengah jam,kami memulakan kayuhan untuk kembali ke daerah kami. Kedua rakanku tadi dengan kayuhan yang ligat maklumlah perut pun telah sendat bagaikan motorsikal yang penuh minyak jauh meninggalkan aku.

Kayuhanku makin lama semakin longlai dan akhirnya aku terpaksa berhenti dan berhenti beberapakali kerana kerongkongku terasa perit, kering dan aku lemah kehausan. Kedua kawanku tadi entah di mana. Lebih kurang 4km sebelum sampai di daerahku, aku tersadai di tepi jalan raya dan berbaring di atas semak kecil. Terasa olehku kesejukan tubuhku yang berpeluh dan perut kosong. Aku merasa mual, namun demi semangat aku gagahkan diri dan cuba mengayuh walaupun kayuhan itu tersangat lemah. Apabila aku melewati satu kawasan estet getah tempat ibuku menoreh, aku cuba mendapatkan seteguk air dari penghuni rumah estet kerana pada waktu itu ibuku telah pulang. Alhamdulillah, dengan tegukan air sejuk itu aku gagahkan kayuhanku sehingga ke garisan penamat. Walaupun aku hanya memperolehi tempat ketiga daripada tiga pelumba, namun pengalaman dan pengajaran aku rasa aku berada di tempat pertama.

Daripada pengalaman ini, aku kira aku silap memlilih kawan yang hanya mengejar gelaran juara dan ingin cepat sampai. Ketika aku tercapai-capai di jalanan, di mana mereka? Ketika mereka laju mengalas perut dan aku hanya terkebil-kebil,bagaimana perasaan mereka? Aku kira pada usia kami 13 tahun pada masa itu sudah matang bagi memikirkan erti kawan.

Apabila teringatkan peristiwa ini, terdetik hatiku alangkah singkatnya pemikiran remaja seusia itu. Bertindak secara melulu tanpa berfikir tentang risiko yang berkemungkinan akan dihadapi. Aku bersyukur pada Allah kerana memeliharaku daripada segala musibah. Andaikata,basikalku mengalami masalah apa yang akan aku lakukan?

Terfikir juga di hatiku,sekiranya aku asahkan bakatku itu mungkinkah aku kini menjadi ‘Wira Lumba Basikal Negara’?

Saturday, October 11, 2008

Ehh! Datuk tu...

Sebagai rakyat Malaysia, saya tidaklah mahu pertikaikan hak Kerajaan Melaka menganugerahkan gelaran Datuk kepada aktor Bollywood Shah Rukh Khan. Tapi apa kriteria yang melayakkannya berbanding dengan aktor Malaysia yang lain. Luar biasakah sumbangannya kepada Malaysia, khususnya kepada Negeri Melaka?

Wednesday, October 8, 2008

Budaya berjabat tangan di Malaysia

Menurut seorang Ahli Agama, nabi kita rela kepala dicucuk dengan besi daripada bersalaman dengan kaum perempuan ajnabi. Kenyataan ini menunjukkan bahawa bersalaman di antara lelaki dan perempuan ajnabi itu haram dan tidak disukai Allah. Tetapi di negara kita yang tercinta ini, ianya menjadi satu budaya. Malah pemimpin yang dahulunya merupakan seorang pendakwah Islam yang dikenali ramai dan banyak mengutarakan berbagai ulasan agama yang hebat seperti telah hilang taring agamanya. Setelah dilantik menjadi pemimpin turut menghulurkan salam kepada kaum yang bukan sejenis. Mana perginya ilmu yang dipelajari dan diajarkan dahulu. Adakah ianya tidak terpakai kepada para pemimpin?

Ketika bersalam banyak adatnya, di antaranya mata hendaklah bertentangan dan tangan genggam biarlah erat-erat agar timbul rasa persaudaraan di antara kita. Aduh! apa akan jadi sekiranya adat ini dipraktikkan apabila bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang ajnabi?

Persoalannya, siapa yang berani memecahkan tradisi bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang ajnabi ini. Mengapa tiada individu yang bangkit menyuarakan ketidak wajaran budaya ini. Saya bantah dalam hati, itu yang saya mampu.

Bos Perempuan Cerewet?

Sewaktu saya sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan bagi anak saya di sebuah Klinik Kesihatan Kerajaan, saya terdengara perbualan sekumpulan jururawat. Kata seorang di antara mereka;
"Hai kalut kita kalau yang datang ni perempuan", sambil merujuk kepada orang atasan mereka yang akan bertukar ke sana.
" Ya le, perempuan ni cerewet" sampuk yang lain.
Mereka nampaknya sepakat.

Fikir saya dalam hati, ye ke perempuan ni cerewet? Sampaikan staf perempuan sendiri fobia.
Saya pernah bekerja di bawah 4 orang bos perempuan, pada saya biasa sahaja. anda bagaimana?

Monday, October 6, 2008

Kasut

Masihku ingat semasa adik lelakiku di bangku sekolah dia pernah menulis cerpen bertajuk "Mat Bally". Ceritanya mengisahkan seorang lelaki yang cuba berselindung dari perbuatan jahatnya tetapi akhirnya terperangkap disebabkan oleh terdapatnya kesan tapak kasut Bally yang dipakainya semasa mencuri. Semua orang tahu itu tapak kasutnya kerana hanya dia yang mampu memakai kasut Bally di kampungnya.

Pada masa kami adik-beradik masih kecil, apabila menjelangnya hari raya, arwah ayahanda selalu membeli kasut raya yang 'dua dalam satu'. Maknanya, kasut itu selepas dipakai semasa raya boleh dipakai pula apabila ke sekolah. Senang cerita, kasut sekolah la tu. Menurut Kak Longku nasib baik pakaian raya bukan pakaian sekolah. Begitulah kehidupan orang susah, harus berjimat dan utamakan yang mustahak.

Namun kini, semuanya tinggal kenangan. Kasut anak-anakku bukan dua dalam satu lagi. Tapi kasut si bapa pula yang seolah-olah dua dalam satu. Sebagai bapa kiniku dapat menyelami perasaan arwah ayahanda yang sering berhadapan dengan 'kos melepas' (pinjam istilah ekonomi) setiapkali membuat keputusan bagi memenuhi tuntutan anak-anak.

Sunday, October 5, 2008

Walimatul Urus Di Musim Perayaan

Setiap kali musim perayaan, setiap kali itulah juga rata-rata masyarakat kita berebut-rebut mengadakan majlis perkahwinan. Katanya, masa inilah sesuai semua saudara-mara balik kampung. Boleh berjumpa dalam majlis itu.

Alahai, yang lemas dan terhimpitnya para jemputan. Berhempas-pulas, berbuih-buih sumpah-serakah semasa bersesak-sesak di jalan raya. Perjalanan yang biasa mengambil masa setengah jam boleh menjadi tiga jam. Apa tidaknya apabila kenderaan tersadai di tengah-tengah jalan raya. Semua orang mahu cepat sampai, bahkan ada rombongan pengantin yang kehilangan tiga waktu solat fardhu. Salah siapa itu? Ada yang tidak mahu mengambil risiko, tidak memenuhi undangan itu. Rasanya, tidak sampai juga matlamat hendak mengumpul semua saudara-mara. Seeloknya, rancanglah majlis pada cuti persekolahan tidak pada cuti Hari Raya. Banyak implikasinya. Bahkan semua stesen minyak dibanjiri kenderaan dan jalan-jalan susah hendak diseberangi. Itulah orang kita.

Tepuk Dada Tanya Iman

Malu saya apabila membaca kenyataan seorang ahli politik di Perak yang juga sebelum ini merupakan Anggota Majlis Daerah Perak Tengah. Malu kerana beliau seorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu. Malu kerana tidak tahu bahasanya yang menyamakan istilah sedekah dengan zina yang telah dilakukannya. Sebagai seorang muslim, beliau sepatutnya tidak menyalahkan orang lain dalam perkara ini. Jikalau beliau tidak mahu dan bencikan penyakit sosial itu pasti ianya tidak akan berlaku kerana beliau seorang lelaki, lainlah perempuan yang selalu dieksploitasi serta dizalimi dengan pelbagai kekerasan dan ugutan.

Nabi Allah Yusuf pernah diperangkap dengan penyakit sosial ini tetapi kerana kekuatan iman atau apa yang penting kerana baginda bencikan kemungkaran maka ianya tidak berlaku. Peristiwa ini menjadi pedoman kepada kita, sebab itu kita diingatkan tentang golongan pemuda yang dijamin syurga Allah, iaitu seorang pemuda yang digoda oleh seorang perawan yang cantik dan berharta untuk melakukan zina tetapi ditolak oleh pemuda dengan menyatakan yang ianya takut kepada Allah. Sudahlah dengan dosa zina malah ingin menegakkan kesalahan dengan menggunakan istilah sedekah. Tindakan ini bukan sahaja menjatuhkan air muka ahli keluarga malah yang lebih teruk menjatuhkan maruah umat Islam. Tambahan pula Kerajaan Negeri Perak diterajui oleh seorang Menteri Besar dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), ini sudah tentu mencalar kredibiliti beliau. Moga-moga Allah memberi kekuatan kepada YAB MB Perak dalam menjalankan tugas-tugas beliau.

Jikalau dahulu heboh tentang skandal seks seorang menteri, apa yang nyata menteri itu bukan beragama Islam. Salah tetap salah dan tidak selayaknya ia diangkat menjadi pemimpin. Namun ini melibatkan seorang yang beragama Islam dan sudah beristeri. Lebih sedih melibatkan Pakatan Rakyat (PR). Utamakanlah syiar Islam kerana Islam itu memerintah bukan diperintah. Sesiapapun di kalangan manusia jikalau ikhlas berjuang sama ada ianya muslim ataupun non muslim akan mengetepikan kepentingan diri dan menegakkan apa yang diperjuangkan.

Sebagai saudara Islam, nasihat saya agar kita kembali kepada Allah. Daulatkan amanah yang Allah telah diberikan sehingga mengundang rasa iri syaitan. Lantas, berazam untuk memesongkan fitrah manusia serta komitmen terhadap perjuangannya bagi membawa umat manusia ke arah kemungkaran dan lebih parah lagi ke arah kemurtadan. Nauzubillah!

Saturday, October 4, 2008

Tarbiah Ramadhan: Berjaya atau gagal?

Ramadhan telah berlalu, kini umat Islam yang selesa dengan tarbiah Ramadhan ada yang sedang berpuasa enam, ada yang berazam akan berpuasa enam di dalam bulan Syawal yang mulia ini. Malah ada yang tidak sedar diri masih tidak mahu berhenti-henti berhari raya.

Semua orang tahu, Islam sentiasa mentarbiah umatnya supaya sentiasa segar tentang nilai-nlai murni dan ketinggian keimanan. Di sini , memandangkan kita baru sahaja tamat melalui bulan Ramadhan, ingin saya kongsikan tentang tarbiah Ramadhan. Terlalu banyak tarbiah yang diberikan Allah kepada kita di dalam bulan Ramadhan. Namun di ruangan ini, hanya sedikit sahaja yang ingin saya utarakan sebagai bahan renungan kita bersama.

Pernah saya dengar kata para pendakwah Islam, kalau kita hendak tahu ibadat haji kita mendapat haji mabrur atau tidak maka kita lihat pembawaan kita setelah selesai ibadat tersebut. Kalau kita kembali ke tanah air dalam suasana yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu kalau sebelumnya kita payah atau liat beribadat, bersedekah dan seumpamanya lagi maka selepas menunaikan ibadat haji kita berubah dan komitmen kita berpanjangan bukan 'hangat-hangat tahi ayam' kepada lebih gemar dan cenderung kepada beribadat, bersedekah dan lain-lain amalan mulia maka itu tandanya kita mencapai haji mabrur. Wallahu 'allam. Kalau kita selepas menunaikan ibadat haji masih berperwatakan lama malah lebih teruk seperti masih berseluar pendek, malas beribadat dan seumpamanya maka kita gagal.

Pada saya, begitulah juga tarbiah Ramadhan. Implikasi daripada tarbiah Ramadhan itu semestinya meninggalkan tanda-tanda yang jelas pada setiap hati umat Islam. Jikalau komitmen yang positif seperti gemar beribadat, bersedekah lain-lain amalan mulia maka jelas kejayaan tarbiah Ramadhan pada hati kita. Seandainya kita berada di takuk lama atau lebih teruk maka gagallah kita. Apa yang perlu kita ingat, pada bulan Ramadhan kita bertarung dengan nafsu kita yang mana pengasuh atau bibinya telah dikuarantin atau dipasungkan. Maknanya, tiada pihak ketiga tetapi asuhannya yang teramat lama itu sudah sebati dengan nafsu kita. Situasi inilah yang telah kita berdepan sepanjang bulan Ramadhan untuk mengembalikan diri kita kepada fitrah.

Sunday, September 28, 2008

Kembali Kepada Allah

Besok hari terakhir umat Islam berada di dalam bulan puasa. Bulan yang penuh dengan pelbagai keberkatan. Sesungguhnya, berbahagialah orang yang berjaya mengharungi segala pancaroba dan mendapat redha, kemaafan dari-Nya. Bagi yang terasa kekurangan, pohon keampunan Allah dan semoga panjang umur dan berusaha di Ramadhan akan datang. Apa yang penting kita ada usaha ke arah kebaikan dan ke arah maghfirah Allah.

Rata-rata apabila menjelangnya Hari Lebaran ini, maka kedengaran bermacam-macam jenis rompakan, ragut,kecurian dan seumpamanya. Mereka rakus menghidu, memerhati telatah individu mengeluarkan wang dari bank-bank untuk bayaran gaji para pekerja dan keperluan sendiri. Apakah jenis mamalia ini, yang gemar mengambil peluang dari kesibukan orang lain menguruskan keperluan keluarga dan para pekerja bagi menyambut lebaran untuk memenuhi keperluan hawa nafsunya sendiri. Awas! kita ada satu mahkamah yang solid keadilannya walaupun sebesar biji zarah. Itulah Mahkamah Allah.

Suatu Masa Dahulu

Dahulu, sewaktu arwah ayahanda masih ada, aku pernah mengikutinya mencari gondang di sebatang sungai. Daging gondang memang lazat digoreng bersama-sama lada kering dan beberapa perasa. Maaf, aku bukan tukang masak jadi tidak tahu resepinya, tapi yang nyata memang lazat.

Ayahanda menyelam mencari gondang di dasar sungai, bila dia timbul di permukaan, seketul najis manusia berkeliaran di hadapan hidungnya.

"His! Telur gondang sapa ni!" Jerkahnya sambil menepuk-nepuk permukaan air. Wajah ceria dan ketawa terbahak-bahak. Melihatkan telatahnya itu akupun turut ketawa bersama-sama rakannya. Itulah ayahandaku kekadang lucu menghiburkan kami sekeluarga dan kekadang serius mendisiplinkan kami.

Saturday, September 27, 2008

Suatu Renungan

Umat Islam dahulu menangis apabila Ramadhan mengatur langkah terakhir untuk meninggalkannya. Mereka khuatir pada tahun hadapan tiada kesempatan pada mereka untuk berjumpa kembali. Lambaian Syawal yang mula menggamit penuh bermakna bagi mereka yang memperolehi kemenangan.
Namun, masyarakat Islam sekarang lebih selesa dan tiada apa-apa kesan dengan peninggalan Ramadhan. Malahan golongan yang paling berbahagia ialah golongan artis. Sambil tersenyum melentuk ke sana-sini, geleng kiri-kanan, melaung-laung dengan diiringi muzik, menyanyi kegembiraan. Apakah mereka golongan yang berjaya pada Ramadhan lalu?

Zakat

Semasa berkhutbah pada Jumaat lepas (26 September), Dr. Hj. Abdul Basit Hj. Abdul Rahman, Penasihat Pondok Haji Abdul Rahman, Sg. Durian turut menjawab soalan yang diutarakan kepada beliau melalui SMS.

1. Bagaimana Zakat Pendapatan dikira?
Katanya, pengiraannya ada dua cara, iaitu;
i. Jumlahkan semua pendapatan bulanan dan darab dengan dua belas (setahun) maka ambil 2.5% daripadanya dan berikan kepada orang yang layak menerima zakat.

ii. Jumlahkan semua pendapatan bulanan dan tolak dengan perbelanjaan bulanan, kemudian darab dengan dua belas (setahun) maka ambil 2.5% daripadanya dan berikan kepada orang yang layak menerima zakat.

2. Bolehkah zakat diberikan kepada saudara terdekat?
Katanya,saudara terdekat ini boleh dikategorikan kepada dua, iaitu;
i. ASAL yang merujuk kepada ibu bapa, datuk nenek, anak dan cucu. Golongan ini tidak boleh diberi zakat kerana sudah menjadi tanggungjawab sipengeluar zakat terhadap mereka.

ii. CABANG yang merujuk adik-beradik, bapa saudara, anak saudara dan seumpamanya. Golongan ini boleh diberikan zakat. Bahkan dengan pemberian zakat akan mengeratkan silaturrahim di antara meraka.

Sunday, September 21, 2008

Rokok oh! rokok


Semasa remaja aku dahulu, semasa sedang santai di beranda masjid, seorang teman mengajukan pertanyaan kepada semua. Macamana ya orang yang mula-mula menghisap rokok tu dapat ilham mencipta rokok dan mula merokok ni? Kalau jenis makanan tu ye le, mudah je... rasa sedap... ye! tercipta. Tapi kalau rokok bagaimana tu? tokoknya.

Maka macam-macam le kupasan, komentar, teori dan falsafah tapi satupun tiada yang menarik. Kalau anda juga mempunyai apa-apa maklumat, silalah kemukakan.

Di Antara Kuantiti Dan Kualiti


Minggu lalu, ketika aku sedang menunggu anak pulang dari sekolah, seorang surirumah yang juga sedang menunggu anak berbual sesama mereka. Katanya;

“Dua hari lepas, mak kawe singgah di Pasar Ramadhan, dia beli ‘butir nangka’ (sejenis manisan) 4 plastik, RM8.00. Lepas balik terus simpan dalam peti sejuk, bila masa berbuka semuanya sudah masam (basi) sudah tidak boleh makan.”

Tentu kecewa mak surirumah tersebut, apatah tidak manisan yang dibeli untuk dimakan bersama anak cucu itu bila tiba masa untuknya dimakan sudah rosak, tidak boleh dimakan lagi. Begitulah hakikat kehidupan, manusia lebih gemar mengejar kuantiti daripada kualiti. Bukan dalam hal dunia sahaja tetapi juga dalam hal ibadat.

Berbagai andaian telah dibuat oleh surirumah dan rakan-rakannya mengenai manisan tersebut. Tetapi apa yang penting, manisan itu tiada kualiti. Ianya dibuat dalam kuantiti yang banyak dan sudah tentu bermatlamatkan keuntungan yang berganda. Malangnya, peranannya sebagai pemanis mulut tidak kesampaian, rosak kerana kealpaan sipembuatnya. Mungkin objektif sipembuat dan sipenjual dapat dicapai tetapi bagaimanapula dengan objektif sipembeli. Sedangkan keberkatan itu akan wujud sekiranya semua pihak yang terlibat itu redha dan tiada unsur penginiayaan serta terdapatnya redha Allah di situ.

Apa yang pasti, keikhlasan dalam semua urusan memerlukan banyak mujahadah.

Daulatkan Masjid

Tahun ini kujangka masjid kampungku tidak dapat menampung kebanjiran anak mukim bersolat, lebih-lebih lagi solat sunat aidil fitri. Bukan pertambahan penduduk secara mendadak lebih daripada tahun-tahun lepas tapi masjid yang banyak menyimpan kenanganku itu telah dihancurkan. Tapaknya juga sudah diratakan dan akan dibangunkan masjid yang baru. Entah bila akan siap... setahun, 2 tahun ...? Hancur sudah hancur, doaku semoga masjid yang dalam proses pembinaan ini akan menarik lebih ramai jemaah, lebih giat aktiviti kemasyarakatan, lebih cantik, lebih kukuh dan lebih segala-galanya. Bukannya lebih banyak menarik pelancong datang meneliti, memerhatinya.
Kata orang, masjid ini lokasinya terlalu tinggi, di puncak bukit tidak larat orang tua hendak mendaki tangganya. Jelasnya, masjid ini telah wujud pada tahun 1967 lagi kenapa generasi sekarang baru terasa tidak larat mendakinya.
Cuba kita lihat masjid kebanggaan Negeri Terengganu yang baru siap dibina di Pulau Wan Man. Dibina di tengah-tengah pulau yang tiada penghuni. Apa motif pembinaannya? Walahu 'alam.
Apa yang jelas, masjid mestilah mampu menarik para jemaah bukannya para pelancong.

Saturday, September 20, 2008

Motivator dan Kaunselor

Hari ini saya diberikan kuliah subuh oleh isteri saya kerana terlewat bangun daripada kelmarin. Katanya;
"Sudah 11 bulan kita diberi kerehatan seperti tidur cukup . Hai tak kan dalam bulan puasa ni pun nak buat macam bulan lainnya?"

"Ustazah! saya nak tanya satu soal..." belum sempat saya habiskan soalan saya, isteri saya sudah ketawa sambil membalas;

"Orang cakap betul-betul, dia perli pulak".

Pada saya, di dalam rumah tangga pasangan suami isteri memang ada kedua peranan motivator dan kaunselor. Sama ada si suami sebagai kaunselor dan si isteri sebagai motivator ataupun sebaliknya. Sebagai pakar motivasi, seseorang itu akan menjadi seorang yang akan merangsang minda, naluri dan membakar semangat ke arah kehidupan yang baik dan sejahtera. Dalam pada itu, sebagai seorang pakar kaunseling seseorang itu akan menjadi seorang pendengar yang baik. Kebanyakannya, seorang isteri itu lebih kepada motivator kerana mereka yang lebih banyak memberikan pandangan,fakta-fakta dan ulasan terhadap perihal anak-anak waima kepada perihal suaminya. Apa-apapun isteri itu pendinding suami daripada neraka. Terima kasih isteriku.

Wednesday, September 17, 2008

Segamat Bukan Sikamat: Peritnya Menggunakan Pengangkutan Awam

Setiap kali tibanya musim perayaan, maka sibuklah segala media massa melaporkan tentang kegiatan ulat tiket. Malahan Laporan Khas tentang kegiatannya turut dipaparkan.

Semasa saya di perantauan, banyak pengalaman balik kampung semasa musim perayaan telah saya rasai. Saya akui ianya memang menyulitkan bagi kita yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam. Di sini ingin saya kongsikan satu daripada pengalaman-pengalaman saya.

Kisah ini berlaku dalam tahun 1990 semasa saya di Kuala Lumpur, peritnya masih terasa. Memandangkan tiket untuk ke Kelantan telah habis dijual, maka saya berpakat dengan adik saya yang pada masa itu sedang mengikut Kursus Intensif Bahasa Inggeris di Kolej Negeri dan beliau tinggal di Asramanya di Bukit Chedang, Negeri Sembilan untuk bersama-sama beraya di rumah kakak saya di Keratong 1.

Awal-awal pagi lagi saya keluar ke Hentian Puduraya dan bertolak ke Seremban dengan menaiki bas (SKS) yang pada masa itu tiket bas dibeli terus daripada konduktor di atas bas tersebut. Kemudian dari Stesen Bas Seremban saya menaiki bas ke Asrama adik saya di Bukit Chedang. Memikirkan yang seakan saya sudah melampaui tempat adik saya jadi saya menekan loceng untuk berhenti. Malangnya, apabila saya turun bas dan bertanya orang di bahu jalan, asrama adik saya masih jauh ke hadapan lebih kurang 2 KM. Lantaran itu, terpaksalah saya menapak ke sana dan keluarlah segala peluh jantan.

“Kita hanya merancang tapi Tuhan menentukan” itulah yang terjadi pada saya. Adik saya tidak dapat bersama-sama beraya mengikut rancangan asal kerana tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan Kolejnya. Saya kemudiannya ke Stesen keretapi tetapi tiket ke Segamat telah habis dijual. Masih tidak berputus asa, saya ke Stesen Bas Seremban kembali dan bertanyakan kepada seorang konduktor bas mengenai bas ke Segamat. Konduktor bas perempuan itu menunjukkan kepada saya ke arah sebuah bas yang berada tidak jauh daripada tempat saya duduk. Saya merenung ke arah bas tersebut seakan tidak percaya bas itu bas yang akan ke Segamat disebabkan keadaan fizikalnya yang agak sudah teruk. Disebabkan oleh orang yang memberitahu saya itu orang yang bekerja di syarikat bas tersebut maka saya percaya dan terus menaiki bas tersebut.

Apabila bas mula hendak berjalan, saya lihat konduktor perempuan yang memberitahu saya tadi naik dan dialah konduktor bas itu. Apabila dia menghampiri, saya menghulur wang sepuluh ringgit sambil bersuara”Segamat!” Konduktor itu hanya diam dan menghulurkan baki. Terkejut saya apabila melihat wang baki RM9.50 dan lihat harga tiket RM0.50. Perasaan saya mula menggelabah, sepanjang jalan saya asyik memerhati papan tanda kedai-kedai bagi memastikan nama tempat yang bas lewati. Semua penumpang telah habis turun kecuali saya, konduktor itu hanya memandang ke arah saya dan saya buat-buat tidak nampak. Akhirnya, bas berpatah balik dan alangkah terkejutnya saya apabila terpandang satu papan tanda sebuah kedai runcit yang tertera nama tempat, iaitu ‘SIKAMAT’. Memang sahlah konduktor itu telah salah dengar pertanyaan saya tadi.
Saya tiada pilihan lain, jadi saya terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur saya ke Stesen Keretapi dan pada masa itu tiket kelas ketiga tiada ditentukan tempat duduk. Saya menaiki keretapi hingga ke Gemas dan melalui pengumuman pihak keretapi, saya terpaksa kosongkan gerabak yang saya duduk kerana ianya akan ke Singapura. Apabila saya turun di Stesen Gemas, semua pintu gerabak ke Pantai Timur ditutup rapat, dilimpahi lautan manusia. Saya lihat seorang nyonya gemuk cuba memasukki ikut tingkap dan punggungnya tersangkut-sangkut yang akhirnya ditolak masuk oleh orang yang lalu-lalang.

Saya hanya termangu di kerusi menunggu Stesen Keretapi Gemas mulai pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 7.00 pagi. Dari Gemas saya bertolak ke Mentakab menaiki ‘Rail Bus’ dan dari Mentakab menaiki keretapi ‘local’ hingga ke Gua Musang dan tiada lagi pengangkutan keretapi ke Kuala Krai pada hari itu. Jadi terpaksalah saya menaiki van sapu hingga ke Kuala Krai. Oh! Alangkah peritnya perjalanan saya.

Monday, September 15, 2008

Yang 'Wahidnya' Orang Politik

Dewasa ini, penerimaan kebanyakan individu di dalam masyarakat terhadap sesuatu pendapat adalah berasaskan kepada tahap pendidikan yang dilabelkan dengan ‘title’. Pendapat Pak Mat, Abang Lah, Pak Soh, Mak Nab dan Mek Som sukar diterima apatah lagi untuk dipraktikkan. Mereka lebih mudah menerima pendapat yang diberikan oleh Prof. Dr. Mat, Dr. Lah, Prof. Madya. Ir. Soh, Prof. Emeritus Dr. Nab dan Dr. Som.

Walaupun begitu, jika dilihat dalam penerimaan pengesahan sesuatu dokumen untuk dikemukakan kepada agensi-agensi kerajaan, seperti memohon biasiswa,pinjaman, wang KWAP, memohon sambung belajar,memohon pekerjaan dan seumpamanya, kerajaan lebih percayakan orang politik daripada pegawai kerajaan sendiri. Pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan tidak layak mengesahkan dokumen-dokumen berikut walaupun berada dalam Kumpulan ‘B’. Sebaliknya, orang politik walaupun berjawatan Ketua Kampung, JKKK, Penyelia Mukim dan seumpamanya lagi yang rata-ratanya berada dalam kumpulan ‘C’ masih layak mengesahkan dokumen-dokumen berikut. Inilah hebatnya orang politik berbanding pegawai-pegawai kerajaan. Dan inilah juga ‘bersih’nya orang politik berbanding pegawai dan kakitangan kerajaan.

Orang politik tidak payah bersandarkan pada kelulusan akademik untuk mendaki jawatan memadailah dengan mendapat majoriti undi para penyokongnya. Berbeza dengan pegawai dan kakitangan kerajaan yang bersandarkan pada kelulusan akademik, peperiksaan-peperiksaan jabatan, PTK, Laporan Nilaian Prestasi Tahunan dan seumpamanya lagi.

Hidup Di Dunia Tidak Berpanjangan

Innalillahi wainna ilahi rajiun! hari ini (16 September 2008), aku menerima berita yang sepupuku (Sulaiman) meninggal dunia. Itulah tempat asal kita. 'Di sana' tiada apa yang dapat menolong kita kecuali amal soleh kita.
Apabila tiba kematian kita, terdapat tiga sahabat yang akan menghantar kita, iaitu harta akan menghantar kita sampai pintu rumah sahaja, sahabat handai atau sanak saudara hanya menghantar kita ke Tanah Perkuburan sahaja dan yang ketiga, amalan soleh kita yang akan menghantar kita ke alam baqa' dan seterusnya akan membela kita di sana.
Di alam 'sana' mata wangnya bukan lagi RM, Dolar, Rupiah, Yen, Peso atau apa-apa lagi tetapi mata wang 'Pahala'. Jadi sementara kita masih hidup lipat gandakanlah pahala, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan.
Hidup kita di dunia tidak berpanjangan, dari itu banyakkan bertaubat dan beramal. Rutin kita seharian dikira ibadat sekiranya niat kita kerana Allah. Contohnya, kita pakai kasut, sebelum memakai kita hentak-hentak kasut dengan niat mengikut sunnah Rasulullah supaya jikalau ada serangga berbisa di dalam kasut ianya akan jatuh dan tidak mencederakan kaki kita. Begitulah dengan amalan yang lainnya.
"Daripada tanah kita datang, kepada tanah kita kembali, dan daripada tanah juga kita akan dibangkitkan kembali"

Saturday, September 13, 2008

Ramadhan Al-Maghfirah

Segala puji-pujian bagi Allah, kita sekarang dalam zon sepuluh pertengahan Ramadhan atau dipanggil Ramadhan al- maghfirah. Jikalau pada masa lainnya kita berisytighfar kurang seratus kali sehari, sebaliknya dalam bulan Ramadhan ini kita gandakan lagi.
Gedung-gedung membeli-belah pada masa sekarang berlumba-lumba menawarkan harga runtuh sempena dengan musim perayaan. Semestinya berpusu-pusu orang ramai memanfaatkannya. Tapi mengapa tidak dengan amalan di bulan Ramadhan? Allah Ta'ala membuat tawaran yang sangat lumayan, namun sambutannya tidak sehebat sambutan yang diterima oleh gedung-gedung membeli-belah.
Sebagai hamba-Nya, kita sering melakukan perkara-perkara yang maksiat walaupun seberat zarah. Terus, Allah telah menyediakan saluran komunikasi yang dipanggil "al-maghfirah", iaitu memohon keampunan atau bagi kesalahan yang besar "taubat".
Jika bertepatan, saya selalu membandingkan manusia ini seperti "tahanan berkediaman terhad". Tahanan ini diwajibkan setiap beberapa tempoh tertentu melapor diri ke balai-balai polis berdekatan, begitu juga dengan kita wajib melapor diri kepada Allah lima kali sehari (solat). Tambahan pula solat ini sebenarnya ingin membentuk diri kita supaya sentiasa mendisiplinkan diri dan berakhlak mulia.

Wednesday, September 10, 2008

Secebis Memori Bersama Ayah


Teringatku semasa arwah bapa masih bersama keluarga kami. Beliau seorang bapa yang ada cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Beliau garang tapi susah hendak marah pada anak-anak. Sewaktu hayatnya, beliau telah banyak berusaha untuk membesarkan anak-anaknya dengan sempurna. Beliau tidak banyak cakap dan tidak cerewet dalam memlilih makanan. Pernah kulihat pada suatu tengah hari, beliau makan nasi hanya berkuahkan air sejuk yang dicampur garam. Waktu itu agak-agaknya, aku baru dalam tingkatan satu (1979). Arwah bapa seorang penarik beca.
Pernah suatu masa dalam tahun 70-an, bapa menyelamatkan seorang gadis di stesen keretapi daripada gangguan pemuda-pemuda nakal. bapa menumpangkan gadis tersebut di rumah. Padaku, biarpun kita miskin wang ringgit tapi kaya budi bahasa. Banyak lagi yang ingin ku ceritakan tentang arwah bapa, tapi pada masa ini aku belum bersedia.
Bapa kembali ke rahmatullah pada tanggal 26 Julai 2002. Ketika itu aku berkhidmat di Kuantan. Namun, alhamdulillah aku dan adik lelakiku yang juga berkhidmat di Kuantan awal seminggu pulang. Jadi kami sempat bersama bapa pada akhir hayat beliau.
Bapa, kami rindu padamu dan inginku ceritakan tentang kejayaan anak-anak bapa yang pernah mengenepikan kepentingan diri demi anak-anak. Al-fatihah untuk bapa!
Kini kami masih mempunyai ibu yang mithali, yang sentiasa mengutamakan kepentingan anak-anak daripada kepentingan diri sendiri. Bahkan sekarang ibu menjadi nenek yang utamakan cucunya. Kami bersyukur pada-Mu, ya Allah.

Tuesday, September 9, 2008

Manfaat Perayaan Islam


Jika disingkap dalam dua perayaan Islam, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha banyak manfaatnya.


Secara ringkasnya, dalam menuju kepada Aidil Fitri, "Zakat Fitrah" adalah perkara wajib yang dikenakan ke atas setiap ummahnya. Manfaatnya akan dirasai oleh semua golongan fakir miskin dan yang termasuk dalam 8 golongan seperti yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan orang yang mengeluarkannya, jika zakat harta benda diwajibkan ke atas orang yang berharta dan cukup syarat-syaratnya sahaja tetapi zakat fitrah diwajibkan ke atas setiap individu muslim. Ini bagi memberi peluang ke atas ummah Islam mencapai konsep zakat itu sendiri yang mana ianya dapat membersihkan dan menyuburkan harta yang kita cari selama ini selari dengan kehendak Islam. Allahu Akbar!


Manakala semasa Aidil Adha, kita disunatkan berqurban. Manfaatnya kan turut dirasai oleh fakir miskin yang jarang-jarang berlaukkan daging segar. Orang yang berqurban akan merasai kemanisan ibadat ini jika diiringi dengan hati yang ikhlas dan rasa bertanggungjawab terhadap fakir miskin.


Umum mengetahui, perayaan ini akan turut menjalin suatu ukhuwwah yang padu dan harmoni sesama kaum keluarga, jiran tertangga, sahabat handai dan berbagai pertalian lainnya lagi.

Sunday, September 7, 2008

Hargailah Amanah Yang Diberi

Setiap tahun apabila menjelangnya perayaan umat Islam, maka setiapkali itu juga ada sahaja laporan mengenai komitmen pihak-pihak berkuasa bagi menguatkuasakan pengharaman mercun. Masing-masing bertekad akan bertindak tegas terhadap pengedaran dan penjualannya. Dalam Sinar Harian kelmarin melaporkan satu pihak berkuasa akan menjalankan penguatkuasaan di setiap premis jualan termasuk pasar-pasar malam. Setiapkali itu juga terdapatnya laporan tentang kecederaan akibat daripada permainan mercun.

Apa yang menjadi persoalan, mengapa setiapkali menjelang musim perayaan umat Islam maka wujudnya mercun dan bunga api? Dan perkara yang sama berulang kembali. Apakah perhubungan di antara perayaan umat Islam dengan permainan bunga api dan mercun? Malah kerajaan setiap tahun terpaksa menyediakan peruntukan bagi menjalankan urusan penguatkuasaannya. Sukarkah untuk membanteraskannya? Persoalan ini biarlah pihak berkuasa yang menjawabnya.

Seingat penulis, sekitar tahun 70-an dan awal 80-an terdapat satu lagi permainan yang berunsur judi setiapkali menjelang perayaan umat Islam. Permainan ini di kalangan masyarat kampung penulis dikenali sebagai 'tikam' atau 'nikam'. Syukurlah permainan ini telahpun dihapuskan. Tapi mengapa pula mercun sukar dihapuskan walaupun berbagai langkah pencegahan telah diambil oleh pihak berkuasa?

Penguatkuasaan terhadap pengedaran, penjualan dan pembakaran mercun perlu telus. Apa yang mendukacitakan kita ialah terhadap sikap individu yang menjalankan amanah penguatkuasaan itu. Terdapat di antara mereka yang bertindak merampas mercun-mercun itu dan membawa pulang ke rumah dan ke kampung halaman masing-masing. Kemudian, diagih-agihkan kepada anak-anak, saudara mara dan rakan taulan. Malah mereka membakar mercun di halaman rumah, maka berdentumlah mercun yang entah dari berbagai jenis itu mengegarkan kampung, membengitkan telinga, menyentakkan bayi di dalam buaian dan membakar amarah orang dewasa. Bau belerangnya pula menyumbat lubang hidung dan asapnya memedihkan mata serta menyesakkan nafas. Peristiwa ini berulangkali pada setiap tahun apabila tiba musim perayaan umat Islam. Orang yang membawa dan membakarnya pula merupakan orang yang diamanahkan untuk menguatkuasakan peraturan dan larangan ini.

Harapan penulis, semoga tahun ini tiada lagi dentuman mercun seperti ini. Jangan kita dianggap seperti ' Harapkan pagar, pagar makan padi'. Juga jangan kita biarkan dosa-dosa kita yang dibakar dalam bulan Ramadhan ini, kembali disemai oleh baja-baja bakaran mercun ini.

Saturday, September 6, 2008

Telus atau fulus

Dewasa ini, gegak gempita politik negara persis telah dihipnosis 16 September 2008. Rata-rata individu bercakap tentangnya dan rata-rata yang cuba memberikan komen-komen bagi menunjukkan keintelektualan masing-masing. Isu-isu dan masalah-masalah lain mula hambar. Kesedihan keluarga yang kehilangan ahli keluarga mula terpinggir. Keselamatan anak-anak dijalanan terlupa difikir.
Mengapa sekonyong-konyong 16 September mula diberi perhatian malah menggusarkan segelintir umat manusia? Jawabnya, kerana ia merupakan sasaran Ketua Pembangkang baru di Parlimen yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh yang menang bergaya dan yang penting mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia bagi mengambil alih teraju kepemimpinan negara.
Sasaran tidak semesti dapat dicapai, jadi mengapa kebanyakan individu politik dan bukan politik kelihatan ada yang cemas dan ada yang ghairah? Bagi pejuang yang ikhlas kerana Allah, mereka melihat diri mereka sebagai orang perantaraan yang benar-benar ingin membawa kesejahteraan ummah, mendaulatkan Islam di Persada Negara. Justeru itu, mereka yakin dan percaya dengan janji serta hukum Allah sahajalah yang mampu membela dan mampu mentadbir alam ini. Bagaimana pula dengan para pejuang yang lain? Apa matlamat dan perjuangan mereka? Wallahu alam.
Bagi saya, ketelusan pemerintahan dapat dilihat dari sikap para pemimpin itu sendiri. Bagaimana kehidupan, pergaulan, amalan dan lain-lain aktiviti seharian mereka. Ada pemimpin yang suka hidup mewah, bergaul dengan yang setaraf sahaja dan bermegah dengan amalan baik yang mereka lakukan. Dalam pada itu, terdapat juga pemimpin yang suka mendidik diri mereka dengan kesederhanaan dan sentiasa bersedekah walaupun dalam kekurangan serta menjaga tutur bicaranya.
Jadi, mengapa begitu ramai yang berebut untuk mendaki dan mencapai jawatan yang berbagai dalam sesebuah parti politik. Khususnya, parti pemerintah? Jawapannya ada pada individu-individu itu sendiri.
Seandainya, jawatan nombor satu di dalam negara menghidangkan tanggungjawab dan komitmen yang besar tetapi menyediakan kemudahan dan ganjaran (gaji+elaun+dsb) yang kecil, masih ramaikah individu yang cuba menggapainya? Jawapan ada dalam diri setiap pejuang.
Justeru itu, mengapa cemas dan ghairah pada tanggal 16 September? Tanggungjawab itu amanah dan amanah itu akan dipersoalkan dalam Parlimen Allah. Parlimen yang betul-betul telus yang tiada bersandar pada fulus.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...