Tuesday, December 29, 2009

Carilah keredhaan-Nya


Sememangnya, cinta tidak mengenal usia,darjat keturunan dan entah apa-apa lagi yang sering diperkatakan. Kalau begitu,cinta itu buta dan bukan cinta hakiki. Umum mengetahui, cinta yang sejati itu adalah cinta pada Pencipta yang mencipta segala yang ada di antara bumi dan langit serta alam buana ini. Kalau cinta ini wujud maka tiadalah masalah kahwin tanpa wali mujbir. Malah ada yang sudah lanjut usia tetapi masih berusaha memintas sempadan demi untuk 'memasang' lebih dari satu (na'uzubillah).
Bukan soal kahwin lebih daripada satu dipersoalkan tetapi cara yang diambil itu yang menjadi persoalannya. Wallahu 'alam.

Monday, December 21, 2009

Hilang...?


Tak tahu nak cakap macam mana lagi,dulu senjata api dicuri oleh puak yang digelar al-maunah. Bukan selaras dua malah lebih dari itu. Sekarang, dilaporkan mulai pada tahun 2007 lagi enjin pesawat TUDM pula yang dikatakan bernilai 5 juta dilarikan. Itu harta kerajaan yang dikawal ketat, harta yang tidak ketat kawalannya macam mana?
Lagi yang hilang bukan sahaja aset dalam bentuk benda tapi aset kerajaan dalam bentuk tubuh badan manusia. Heboh pula ramai di kalangan ahli parlimen yang hilang semasa pengundian bajet PM. Yang depa marah sangatnya kerana menang 3 undi. MP ke ADUN ke diamanah oleh rakyat dan dibayar elaun serta segala kemudahan dengan wang rakyat jadi mereka sepatutnya peka dengan kesusahan dan keperluan rakyat yang diwakili mereka. Kalau haiwan ternakan dipegang pada talinya, mereka wajib berpegang pada janji semasa mengangkat sumpah sebagai YB. Wallahu 'alam.

Saturday, December 19, 2009

Sibuk...Menyibuk


Penghujung tahun sememangnya suatu saat yang amat menyibukkan. Berbondong-bondong manusia menyelesaikan keperluan sendiri. Pakaian seragam sekolah anak-anak perlu dibeli,mengemas-gemas peralatan rumah kerana 'air naik lagi' dan bermacam-macam aktiviti yang perlu disegerakan.
Petang Khamis 30 Zulhijjah 1430H(17 Disember 2009)ramai muslim yang sibuk menyambut 1Muharam 1431H dengan pengisian membaca yaasin dan doa akhir tahun selepas solat asar serta doa awal tahun sebelum maghrib. Namun lebih ramai yang 'koma' di hadapan televisyen menonton bola sepak perlawanan di antara Malaysia dengan Vietnam. Sambut tahun baru dengan perlawanan akhir... wallahu 'alam.

Wednesday, December 9, 2009

Betul-betul...B


Teringat saya kepada suatu ceramah Datuk Ismail Kamus suatu masa dahulu,yang kata-katanya lebih kurang "...dalam satu mesyuarat kalau seseorang itu hanya berdiam diri tidak menyampuk atau tidak memberi cadangan, orang hanya agak-agak yang dia itu b**** barangkali, tapi apabila dia buka mulut bercakap orang akan confirm yang dia betul-betul b****"

Tuesday, December 8, 2009

Tadbir Syarikat ke?


Bidang pendidikan ini sudah hendak dijadikan syarikat sendirian berhad ke? Pada masa hampir menjelang hari PRK DUN Manek Urai dahulu kempen guru-guru supaya mengundi calon BN. Sekarang hendak beri kuasa kepada pengetua dan guru besar memecat para guru. Hebat bunyinya, nanti ramailah guru yang terpaksa menjadi guru yang setia kepada pengetua dan guru besar (Dalam hati menyampah). Mungkin pengetua dan guru besar semakin menjadi tuan dan berbisa kerana mempunyai kuasa keramat ini. Betul ke tindakan mamat ni?

Saturday, December 5, 2009

Doa Senjata Orang Mukmin


Kenapalah agaknya heboh sangat pasal Kelantan, selepas satu datang satu lagi isu yang sengaja dilontar. Saya teringat satu perumpamaan TG Nik Aziz dalam satu ceramahnya yang membandingkan Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa diasak ini bagai sebatang pokok yang dibuat tiang pagar. Apabila sentiasa dikapak,dicantuk dengan parang, akhirnya akan kematu dan semakin kuat. Harap-harap begitulah Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan.Apa yang penting memimpin ke arah keredhaan Allah ta'ala. Setelah segala ikhtiar dilakukan maka doalah sebagai bungkusannya.
Semua orang akan membungkus ikhtiarnya dengan doa kerana Dia sahaja yang berhak dan maha mengetahui segala sesuatu. Doa senjata orang mukmin. Jika ada yang tidak senang dengan doa seseorang maka berdoalah balik sebagai balasannya. Jadi mengapa kita takut pada doa jikalau segala amalan kita selari dengan suruhan Allah? Wallahu 'alam.

Tuesday, December 1, 2009

Itulah Tanggungjawabnya


Dua tiga hari ini, langit kembali mendung sebagaimana mendungnya politik dan ekonomi kita. Kita masih menanti simbahan sinaran mentari yang dapat merungkaikan bermacam fenomena yang melanda. Ramai insan yang mendoakan semoga hari menjadi cerah agar para penoreh dapat melakarkan hasil seninya di batang-batang getah yang tentunya menghasilkan manfaat untuk anak-anak,khususnya persediaan ke sekolah. Para tukang rumah mengharapkan hari cerah agar dapat melompat ke bumbung, mencurah kepakaran bagi memberi manfaat untuk anak-anak dan isteri.
Bagi rakyat Kelantan walaupun tidak diungkapkan melalui kata-kata tetap mengharapkan royalti yang terlalu lama dinanti. Manfaatnya terlalu banyak,lantaran itu seorang MB yang tahu peranannya sebagai ayah kepada rakyat sanggup dipulas telinga,diterajang,dimaki dan berbagai 'di' lagi bagi memastikan rakyatnya dibela yang mana manfaatnya bukan diperolehi oleh sekelompok rakyat yang menyokongnya sahaja tetapi untuk semua rakyat termasuk yang mendesak MB meletak jawatan. Itulah luhurnya pekerti seorang ayah, rezeki yang dicari untuk semua anak bukan memilih. Wallahu 'alam.

Sunday, November 22, 2009

Kampungku Udah Naik Air








Pagi tadi aku terpaksa meredah air yang melimpah di jalan raya demi menghantar anak ke Kelas Agama. Dalam hati kumat-kumit berdoa agar Allah lindungi kami. Rumah emak pula air mula merayap perlahan, menelan anak tangga dan bila ia mula menjengok ke lantai kami mula bertungkus lumus memindahkan apa yang patut.
Pagi ini, aku terpaksa menghantar anak ke Kelas Agama dengan motorsikal apabila kereta ku tinggalkan di rumah adik. Apa yang tak syoknya, pagi-pagi kami melalui jalan raya yang masih ada air, melintas sebuah kereta yang pemandunya tidak tahu perlahan lalu air yang diredahnya menyimbah seluarku. Hai...basah...marahku rasanya.

Wednesday, November 18, 2009

Cuti Yang Perlu Berhati


Tiga hari lepas, Pak Muda ke sekolah anak-anak untuk tanda tangan Buku Adab Belajar. Sebelum itu, ada majlis taklimat Pengerusi PIBG dan Guru Besar. Panjang lebar Guru Besar berceramah mengambil peluang jarang-jarang bertemu ibu bapa/penjaga. Sememangnya, pihak sekolah memerlukan kerjasama pihak ibu bapa/penjaga dalam apa-apa perkara yang berhubung dengan pendidikan anak-anak.
Sepanjang cuti sekolah akhir tahun ini, pihak sekolah menyediakan berbagai kerja rumah untuk anak-anak selesaikan semasa cuti sekolah. Jadi, menjadi tanggungjawab ibu bapa/penjaga pula memantau pelajaran anak-anak mereka.
TERIMA KASIH CIKGU...
Cuma, apa yang perlu diberi perhatian, musim ini musim tengkujuh. Anak-anak jangan terlampau diberi kebebasan sangat. Pak Muda sekadar mengingat kerana teringat zaman Pak Muda di Darjah 5 dahulu (1977). Sekarang orang sebut Tahun 5. Dalam musim inilah Pak Muda dan rakan-rakan sebaya ke sungai, mandi-manda. Air sungai deras dan besar dan Pak Muda semasa itu lemas dan dibawa arus deras. Mujur, salah seorang rakan Pak Muda melemparkan pelampung tiub tayar kereta. Pak Muda pantas mencapai dan meniarap di atasnya lalu dibawa arus ke seberang di bawah jambatan yang menghubungkan jalan raya. Itu kira umur Pak Muda masih panjang lagi. Jadi, sama-samalah kita berwaspada. Wallahu 'alam.

Wednesday, November 11, 2009

Inikah UjianNya?


Tahun ini agaknya tahun 'bekkohey'dalam PAS. Tak habis-habis, ada-ada aje...Yang pening dan kalutnya golongan penyokong dan pendokong yang tiada kepentingan peribadi. Apa nak jadi...?Belajarlah dari kesilapan masa lalu, lebih 50 tahun PAS berkembang daripada ahli-ahli agama sehingga kepada golongan profesional. maka bertindaklah secara profesional namun asasnya tetap tidak boleh lari dari Islam.
Perbezaan pendapat dan pandangan, itu perkara biasa tetapi janganlah sampai menjahamkan perjuangan parti.Cuba bikin sepertimana yang selalu kita hujah dan cakap. Jangan mencari silap orang sahaja dan membiarkan silap kita. Biar apa yang kita cakap dan hujahkan itu adalah yang kita telah laksanakan. Jangan menang sorak tapi kampung tergadai. Saya teringat kata-kata Datuk Ismail Kamus dalam satu ceramah, lebih kurang begini, "...pokok kayu akan ditumbang oleh kayu juga, kapak ulunya kayu...macam orang agama akan diserang dan dijatuhkan oleh orang agama juga" Tidak mustahil, manusia di dalam PAS akan cuba dijatuhkan oleh manusia yang sama, yang boleh dijual beli dan hanya menyelinap bagi menghancurkan perjuangan dari dalam.Wallahu 'alam.Cuma, berhati-hati.

Tuesday, November 10, 2009

Teruskan Siasatan Tapi Jangan Lama Sangat



'Seperti orang mengantuk disorongkan bantal' bagi orang yang sentiasa mencari peluru untuk menyerang. Teruskanlah siasat wahai para pemimpin PAS. Cari kebenarannya dan jika dapat individu yang bermasalah ini, "bersihkannya" biar betul-betul bersih jangan buat sampah dalam wadah yang dibina bersandarkan rasa takut pada Allah. Teringat saya kata-kata TG Nik Aziz suatu waktu dahulu lebih kurang begini, PAS cuma satu wadah atau bekas yang menghimpun semua individu yang ingin memperjuangkan Islam.Pada masa sekarang hanya ada PAS yang memperjuangkan Islam jadi TG masuk PAS. Seandainya suatu masa ada wadah yang memperjuangkan Islam yang lebih baik daripada PAS maka wadah itu menjadi pilihan beliau.
Jadi, mengapa kita bertindaklah dari sekarang.

Sunday, November 8, 2009

Bola


Saya bukanlah peminat fanatik bola dan bukanlah hobi saya melihat pertandingan perlawanan bola sepak. Saya bermain bola semasa di bangku sekolah rendah yang mana kaki saya selalu terseliuh kerananya. Apabila saya bersekolah menengah, saya kurang bermain bola, apatah lagi diusia lebih 40-an ini.Bola sepak memang mempunyai para peminat yang terlalu ramai.
Berhantunya bola sepak ini boleh membuatkan manusia hilang pertimbangan dan pemikiran. Si pemain kerap bergaduh dan si penyokong pula bertindak di luar kemanusiaan. Masing-masing mencari kesalahan dan kesilapan.
Terbaru, MP Pasir Mas kata malu apabila ditanya tentang insiden yang berlaku di Stadium Bukit Jalil padahal jolokan Serambi Makkah sudah lama diberikan kepada Kelantan.
Di mana-manapun boleh berlaku insiden sedemikian. Kawalan tingkah laku dan pekerti manusia adalah iman bukan pada nama,keturunan dan sebagainya. Ada yang nama indah-indah di dalam Islam namun kecundang peri laku dan sikapnya. Sering pecah amanah,menipu,mengkhianati amanah yang diberikan dan sebagainya. Jadi,apa yang perlu difikirkan bersama oleh seluruh warga Malaysia ialah mengapa sikap sedemikian berlaku? Bagaimanakah cara yang sesuai dilakukan bagi membendung insiden sebegini daripada berulang lagi? Adakah dengan silibus 1Malaysia yang dicadangkan bagi mengganti Pendidikan Moral itu satu keputusan yang menepati 'Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan'?
Bagi saya, semua pihak perlu berganding bahu bagi membendung gejala samseng ini baik di pihak kerajaan mahupun di pihak NGO. Nilai-nilai murni makin terhakis baik di jalan raya,balai raya,stadium,Dewan Undangan Negeri,Parlimen dan lain-lain lagi.Jangan salahkan Kelantan sahaja tetapi lihatlah ia secara menyeluruh. Wallahu 'alam.

Sunday, November 1, 2009

Persimpangan


Sememangnya,setiap perkara yang berlaku perlu kepada keputusan.Sama ada keputusan yang diambil itu tepat ataupun tidak bergantung kepada individu itu sendiri.Keputusan itu baik untuk kepentingan diri kita sendiri mahupun untuk kepentingan masyarakat umum,bergantung kepada niat kumpulan atau individu yang membuat keputusan itu.
Inilah hakikat kehidupan,kita sering di persimpangan dan adakalanya kita gembira melihat orang lain di persimpangan dan membuat keputusannya. Kita bersorak tatkala keputusan yang dibuat orang itu memusnah dan mengorbankan dirinya. Namun, pernahkah kita bersorak ketika kita di persimpangan dan keputusan kita gagal. Lalu menjerat dan menjerut diri kita? Bertepuk tangankah kita apabila orang lain terbahak-bahak ketawa di atas kegagalan dan kemelut yang melanda kita?

Wednesday, October 28, 2009

Berkokok Berderai-derai...


Swing Tok Guru nampaknya menjadi.Ramai di kalangan pemimpin UMNO memberi respon beraneka warna,merah,merah darah ikan,biru,biru air laut,kuning, oren dan berbagai lagi.Cerita Ibrahim Alipun terkambus,cerita bajet 2010pun malap.Semua tertumpu kepada cerita yang diistilahkan oleh media sebagai krisis kepimpinan PAS, betul atau tidak wallahu 'alam.
Sememangnya TG telah memilih platform yang salah apabila menulis dan berbicara tentang pemimpin-pemimpin Atasan PAS. Sepatutnya, teguran sedemikian dibisikkan dalam perjumpaan yang sama ada rasmi ataupun tidak rasmi sesama mereka. Saya percaya para pemimpin PAS di kalangan individu yang boleh menerima teguran. Tambahan pula teguran dari seorang yang amat berpengalaman dan perwatakan serta peribadi yang cemerlang.
Namun begitu, lihatlah ia dari sudut yang positif dan anggaplah ia sebagai suatu amalan yang telus.Usah hiraukan kokokan-kokokan nakal yang selalu mengintai-intai peluang bagi merebah dan menghancurkan lawan.

Sunday, October 25, 2009

Teguran Untuk Kebaikan


Tiada seorangpun manusia sempurna, jadi mengapa melatah dan membiarkan pihak lawan mengambil peluang menghentam serta meracun pemikiran penyokong-penyokong, khusus 'orang di atas pagar' daripada mendekati PAS. Kata PAS sebuah wadah yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup, jadi apabila diberi pandangan yang tidak memihak kepada individu-individu tetapi demi mendaulatkan penubuhan wadah Islam terimalah dengan lapang dada. Ketepikan kepentingan diri sebagaimana Saidina Abu Bakar As-Siddiq sanggup digigit binatang berbisa demi mempertahankan Nabi Muhammad S.A.W semasa bersembunyi dari kaum musyirikin Quraisy.
Cuba kita sama-sama soroti kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990, siapa yang mula-mula isytiharkan emolumen dan segala faedah saraan yang layak diperolehinya dipotong 45%. Untuk faedah apa tindakan sedemikian dibuat kalau tidak untuk mengasuh hatinya supaya tidak temae (tamak) kepada habuan dunia. Cuba kita geledah dan pantau di serata alam dan lihat para pemimpin daripada peringkat bawah sehingga menjulang ke atas, pemimpin mana yang sanggup hidup dalam rumah papan kekampungan? Itu yang saya nampak, saya kenal Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui kuliahnya,ceramahnya,catatan dan bahan-bahan bercetak lain yang ada hubungan dengan beliau. TG tidak kenal saya walaupun kami pernah bersalaman di beberapa majlis TG. Jadi, tiada manfaat untuk diri saya jikalau saya mempertahankan tindakan TG.
Namun, jauh di sudut hati, saya melihat apa yang ingin disuarakan oleh TG adalah demi untuk 'membuang karat' yang hinggap di bejana wadah Islam ini. Tarbiah mesti dimulakan kembali dan kembalikan roh jihad yang menuntut setiap hamba-Nya mendaulatkan Islam walaupun diBENCI oleh orang-orang kafir. Buat apa sokongan mereka, jika kita masih tidak boleh mendaulatkan suruhan Allah yang sudah muktamad?
Bertitik tolak dari situlah, saya rasa TG mengambil tindakan yang mendedahkan dirinya dan wadah yang diperjuangkannya kepada asakan liar. Saya tidak hairan dengan ulasan para pemimpin parti lawan tetapi bagi para pemimpin PAS,cuba ketepikan kepentingan lain tetapi fokus kepada matlamat asal yang selaras dengan Islam.
Saya hanyalah ahli dan penyokong PAS dan selama hidup 43 tahun ini tidak pernah lagi mengundi selain daripada PAS. Semasa PAS menang besar pada tahun 1990, saya di Kuala Lumpur tetapi pulang ke Kelantan untuk sama-sama mengundi. Walaupun semasa perjalanan pulang ke KL, bas yang saya naiki rosak dan menyebabkan saya dan penumpang lain terkandas di dalam Negeri Pahang dari jam 12.00 tengah malam sehingga jam 7.00 pagi. Kemudian, saya terlepas beberapa kertas Peperiksaan akhir semester, namun saya reda dan lega... wadah yang memperjuangkan Islam menang.
Bukan sahaja sebagai Mursyidul Am PAS tetapi tanggungjawab menegur ini juga menjadi kewajipan para ahli PAS. Ibu bapa tegur anak-anak kerana sayang dan tidak mahu memusnahkan anak-anak. Jadi, pada saya kerana rasa sayang pada PASlah maka teguran dan tindakan membetul dan memperkasakan PAS wajib diambil. Bukankah "Islam Untuk Semua"? Jadi, lapangkanlah dada dan jika kita rasa kita tidak disukai makmun sebagai imam mereka, maka bersopan dan beradab selaras dengan disiplin yang digariskan oleh agama Islam seperti yang pernah kita ajar dan tarbiahkan kepada anak-anak atau murid-murid kita, jika perlu kita undur dan letak jawatan maka lakukanlah tetapi perjuangan kita jangan pudar. Komitmenkan sokongan dan kerja keras walaupun sebagai ahli biasa atau sekadar penyokong. Apa yang penting, demi mendaulatkan Islam. Wallahu a'lam.

Saturday, October 24, 2009

Abah,Kakak Dapat Hamper...


Semalam, Sabtu (24 Oktober 2009) saya membawa anak-anak ke Perpustakaan Awam. Itulah permintaan mereka apabila hujung minggu. Sedang asyik mereka membelek buku, tiba-tiba datang seorang wanita yang sudah tentu pegawai perpustakaan memanggil beberapa orang kanak-kanak termasuk salah seorang anak saya supaya menjawab ujian yang mereka sediakan.

Alhamdulillah! anak perempuan saya berjaya menjawab kedua-dua kertas soalan itu dengan tepat. Maka dia dihadiahkan sebuah hamper. Sememangnya, pelbagai kaedah disediakan oleh pihak perpustakaan bagi menarik minat kanak-kanak dan pembaca. Cuma apa yang saya lihat masih banyak kekurangan bahan bacaan yang terkini. Satu lagi, ruang bagi meletakkan kenderaan perlu disediakan untuk keselesaan pengguna. Jelasnya, satu lokasi yang sesuai perlu diikhtiarkan. Wallahu 'alam.

Thursday, October 22, 2009

Manisnya Iman...


Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih... komitmen Pakcik Derani Yaakub, 76 tahun dari Gerik,Perak bersama isterinya, Siti Zulaikha Abdul Latif, 66 tahun menabung wang hasil menoreh getah selama 20 tahun amat menyentuh hati. Matlamatnya, hendak menyahut seruan Allah s.w.t. Allahu akbar.

Monday, October 19, 2009

Mana Penguatkuasa?


Setiapkali saya melalui jalan Kuala Krai -Kota Bharu, maka mata sentiasa disemak-samun oleh para penunggang motorsikal yang secara bebas tidak memakai topi keledar baik lelaki mahupun perempuan, sama ada masih muda remaja ataupun yang sudah berumur hampir senja yang bergelewatan mencelah deretan kereta. Mereka seringkali menunggang motorsikal secara bahaya dan kekadang memboncengkan kanak-kanak di belakang meredah kesibukan jalan raya, mengetepi keselamatan dengan menunggang mengikut peraturan jalan raya buatan sendiri.

Persoalannya, tiada penguatkuasaan undang-undang ke di daerah ini? Rasanya, sudah menjadi suatu pemandangan seperti di negara jiran, bebas di jalan raya utama tanpa memakai topi keledar.

Wednesday, October 14, 2009

Ikhlas Walaupun Sedikit


Sudah menjadi budaya peraih orang Kelantan barangkali setiapkali kita membeli sayur-mayur atau lauk-pauk maka diberikan kita lebih sedikit. Walaupun sekadar sebiji cili besar atau seekor ikan selar kuning namun nilai murni tetap ada. Mungkin keuntungan hasil titik peluh mereka tidaklah seberapa tetapi denyut nadi mereka masih berbaur perasaan syukur kepada Allah.

Semasa saya kecil dahulu, seringkali saya ditugaskan oleh mak ke kedai menjual sebeg guni kecil getah 'segerap' yang dikumpul dari bekuan alur torehan pisau menoreh. Selalunya sebeg itu dapatlah RM1 dan taukeh getah berbangsa Melayu itu akan memberi saya lebih sebanyak 20 sen untuk gula-gula katanya. Bukan 'menggula-gulakan saya' rasanya.

Itulah salah satu nilai murni tradisi masyarakat Melayu Kelantan yang pernah saya alami dan belum pernah saya alami di lain-lain negeri di luar Kelantan. Nilai sebeginilah perlu dicerapkan dan ianya rasa saya sudah sebati dengan individu berkenaan sedari kecil lagi hasil asuhan ibubapa.

Saturday, October 10, 2009

Pohon Kebaikan Di Dunia Dan Kebaikan Di Akhirat











Tahun lepas, semasa Pok Mudo terkial-kial masuk kampung keluar kampung, masuk reban keluar reban, assalamu 'alaikum sana, assalamu 'alaikum sini mencari dua ekor kambing untuk 'akikah anak saudara Pok Mudo bukan main payah lagi. Akhirnya, dapat seekor kambing jantan dan seekor biri-biri yang cukup syarat untuk akikah. Syukurlah. Pada masa itu, terfikir macam-macam, kenapa tiada seorangpun yang sanggup mengusahakan perternakan kambing dan biri-biri untuk tujuan akikah. Bukan sahaja dapat hasilnya tetapi turut mendapat pahala jikalau niat lillahi ta'ala kerana akikah itukan ibadat.
Minggu lepas, Pok Muda dengan adik ipar Pok Mudo mudah sahaja mencari dua ekor kambing untuk akikah anaknya. Apa yang Pok Mudo bebelkan tahun lepas telah diusahakan seorang ahli korporat anak tempatan. Apa yang menarik, beliau bukan sahaja mengusahakan perternakan kambing tetapi juga ternakan lembu malah beliau turut mengusahakan pusat pengajian tahfiz al-quran yang akan dilaksanakan 'pecah tanah' pada 11 Oktober 2009 (Ahad), hari ini bersebelahan tapak perusahaan kambingnya. Kita sama-sama doakan kejayaannya. Amin!

Sunday, October 4, 2009

Ada Petua Juga


Semalam, saya berborak-borak dengan seorang sepupu yang sekarang berkecimpung dalam bidang pembinaan. Bercerita tentang langkah-langkah yang akan diambil nanti dalam menyiapkan projek rumah adik hensemku (dahulu diceritakannya kepada anak-anaknya hensem tetapi selepas demam semasa sekolah rendah jadilah rupa semacho yang ada ini). Kataku, oleh kerana ruang kiri kanan rumah terlalu sempat dan jenkaut tidak dapat masuk maka kenalah tukang-tukang menggunakan tulang empat kerat untuk menggali lubang bagi membuat tapak menara tangki air.
Di sini, sepupuku mula membuka cerita; katanya memggali lubang ni ada petuanya supaya sang katak tidak bersarang di dalam sana. Pengalaman pertamanya menggali lubang, penuh dengan katak dan akhirnya lubang itu dijadikan tempat membuang sampah-sarap sahaja.
Apa petuanya, katanya semasa berada di dalam lubang yang digali tadi jangan melepaskan bom...(berkentut le...). Tergelak saya mendengarnya, apa-apapun itu petuanya... secara kebetulan atau tidak wallahu 'alam. 'Seekor katakpun udah bengit dibuatnya' apatah lagi kalau udah berkawan-kawan.

Saturday, October 3, 2009

Pongahnya...


Cerita bab pongah ni, memang indah. Arwah bapa pernah cerita tentang seorang suami yang pongah. Suatu hari, si suami dengan isterinya naik bas untuk ke bandar KK. Tiba masa konduktor bas minta duit tambang, si suami bertanya;

"Berapa harga tambang?"

"Seringgit seorang, pakcik"

"Dua orang ni, takkan tak boleh kurang sikit, bagi seringgit lima puluh sen boleh?"

Sambil tersenyum, konduktor bas tadi bersuara;

"Tambang harganya tetap dah pakcik"

Pakcik tadi diam terus sambil menghulurkan wang sebanyak dua ringgit.

Apabila bas telah sampai di Pasar Besar KK, isterinya hendak turun, lalu disergah oleh suaminya;

"Tunggu dulu, jangan turun...mintak kurang sikitpun tak bagi...biar kita turun di stesen bas" gerutu sang suami lagi.

Padahal harga tambang ke KK sama sahaja sama ada turun di Pasar Besar ataupun di stesen bas yang jauhnya di antara 5 hingga 10 minit berjalan kaki mengikut luas langkah masing-masing. Disebabkan pongahnya, maka mereka sanggup berpatah balik dari stesen bas ke Pasar Besar dengan berjalan kaki.


Wednesday, September 16, 2009

Pengalas Kaki Besar Jasanya


Alahai kenapa tersohor benar pakaian di kaki ni. Bekas Presiden Amerika pernah dibaling dengan kasut oleh seorang wartawan. Kini, gambar mantan PM kita pula hendak dikalungkan dengan selipar. Maka berpinar dan berdesinglah bekas anak-anak buahnya. Jangan hunus keris telanjang sekali lagi udah le.

Biasanya, kaum India ni bila terlalu hormat seseorang akan sujud menyembah dan sanggup cium hingga ke kaki... Wallahu 'alam.

Tuesday, September 15, 2009

Amuk Sang Nafsu


Anehnya, setiap kali Ramadhan masyarakat kita sering mereka cipta pelbagai juadah yang kononnya untuk berbuka puasa. Sedangkan sedari kecil kita diasuh dan diingatkan tentang para syaitan sirantai pada bulan yang mulia ini. Maka bergerak sendirianlah sang nafsu yang entah berapa Phd dianugerahkan oleh para syaitan.

Implikasinya, berlumba-lumbalah kita menyedia juadah yang berlambak-lambak, pelbagai rupa,rasa,warna dan berbagai macam lagi. Semua itu untuk dipersembahkan kepada sang nafsu. Wallahu 'alam.

Saturday, September 12, 2009

Kembalikan Roh Ramadhan


Alhamdulillah! kita sekarang berada di dalam 10 terakhir Ramadhan. Kita tidak sehebat umat Islam terdahulu yang berada dalam kesedihan apabila Ramadhan akan meninggalkan. Kita tidak sehebat mereka yang berpuasa pada siang hari dan beramal pada malam hari. Namun, setidak-tidaknya kita cuba mengikut jejak mereka semampu dan sedaya upaya kita. Dalam pada itu, lebih malang lagi segelintir umat Islam kini yang lebih mementing makanan jasmani daripada 'makanan' rohani. Bertunjangkan alasan kerja berat dan perlu tenaga lebih maka mereka tanpa segan silu melahap pada siang hari dalam bulan mulia ini.

Apa yang lebih ketara lagi peranan media yang berlumba-lumba mengatur program-program masakan dengan berbagai nama dan berbagai populariti dengan menampilkan artis-artis walaupun cuma memasak cekodok kurma dan pisang bungkus kulit popia. Inikah identiti bulan mulia ini pada mata umat Islam kini?

Apa yang penting,roh Ramadhan terletak di dalam jiwa kita umat Islam. Jikalau hanya segelintir sahaja yang berusaha menghidupkan dan yang lain dicemari budaya-budaya menyesatkan dengan bakaran bunga api,pameran juadah dan ciptaan masakan yang akan menjadi pemuas nafsu makan kita...rasanya hanya sekadar itulah pengertian puasa bagi kita, walaupun ungkapan mulut memang hebat seperti kata iklan mee segera "mulut boleh bohong... " Wallahu 'alam

Saturday, September 5, 2009

Ngundi Lagi...


Allahu Akbar! sekali lagi akan berlaku PRK di DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan. Selepas ini agak-agaknya ada lagi ke? Wallahu 'alam, yang pasti majoriti yang terlalu tipis dalam membentuk kerajaan negeri mungkin merasa bahangnya.

Wednesday, September 2, 2009

Apabila Hanya Mengejar Kepuasan Dunia


Menurut seorang pengkaji, dewasa ini semakin bertambah kaum lelaki menunaikan solat. Pertambahan ini disebabkan oleh laporan kajian yang dikeluarkan oleh para pengkaji sebuah IPTA tempatan tentang manfaat solat terhadap seorang lelaki yang 'mati pucuk'. Kumpulan ini telah menjalankan kajian terhadap solat bagi orang biasa dan mendapati penyakit ini boleh diubati dengan bersolat.

Nampaknya, nawaitu bersolat golongan ini telah berubah dan mereka lebih yakin dan percaya kepada golongan profesional seperti santis ini daripada kata-kata seorang ustaz yang berpandukan kitab-kitab. Tidak tercabarkah para agamawan? Justeru itu, kembalikanlah kegemilangan ulama' silam jangan hanya mahir satu bidang sahaja. Tingkatkan diri, biarlah kita seorang doktor, jurutera,arkitek, saintis dan apa-apa sahaja kemahiran profesional, dalam pada itu kita juga seorang ilmuwan Islam yang hafal al-Quran, ahli tafsir, tasauf, fekah dan sebagainya.

Satu lagi, elok kiranya ada pasukan saintis yang cuba mengkaji puasa dan manfaat kepada kesihatan. Setidak-tidaknya, dapat mengurangkan manusia malang yang terjejas dan tersengaja ponteng puasa. Wallahu 'alam.

Tuesday, September 1, 2009

Macam Puyuh Bersembunyi


Negara kita sudah 52 tahun merdeka dan pihak BN tidak jemu-jemu menghitung jasa-jasa mereka kepada rakyat. Tut...tut... tersiar di stesen televisyen kedhaifan rakyat di satu daerah di Sarawak. Rumahnya amat dhaif dan teramat uzur, namun yang menariknya penuh dengan poster BN. Tidak malukah BN dengan membiarkan penghuni rumah ini (penyokong setia mereka)dalam kemelaratan?

Sunday, August 23, 2009

Hargailah Ibadat Puasa










Alhamdulillah! Tak sangka, anak lelaki Pok Muda yang berada di Tahun Satu sudah berpuasa tanpa merengek. Pada mulanya risau juga apabila Umminya sering merungut risau, "Hai! macam mana nak suruh lekat puasa Abang Ngah ni? Asyik-asyik minta air".
Pada hari pertama, dia hanya bersahur segelas Milo Susu. Tetapi alhamdulillah berjaya dia bertahan sampai waktu berbuka walaupun asyik tidur aje. Semalam dan hari ini sudah mula aktif, menolong Umminya membasuh gebar. Pada waktu malamnya pula, masing-masing sibuk ingin berterawih di masjid~ suatu perubahan yang positif.
Inilah meriahnya puasa, kanak-kanak sudah turut mewarnai kenikmatan ibadat puasa. Apa yang difardukan Allah itu adalah yang terbaik untuk hamba-Nya. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk menutup setiap kelemahan kita. Wallahu 'alam.

Saturday, August 22, 2009

Rakyat Perlu Tahu


Ibu bapa calon BN bagi DUN Permatang Pasir mempertikaikan dakwaan terhadap anaknya. Beliau tidak puas hati dan mempersoalkan mengapa sebelum diisytiharkan sebagai calon DUN Permatang Pasir, isu-isu berikut tidak ditimbulkan? Kita tidak salahkan ibu bapanya, begitulah fitrah ibu bapa yang sayangkan anaknya seperti ibu bapa Kartika Sari. Cuma caranya berbeza. Apa yang penting dan pakcik mesti tahu, anak pakcik sekarang menjadi calon wakil rakyat, jadi rakyat berhak mengetahui ciri-ciri, keperibadian calon bagi mewakilkan mereka. Macam kita hendak temuduga bagi sesuatu jawatan, ada sesetengah jawatan yang memerlukan kita berseluar dalam sahaja semasa ujian fizikal, jadi bolehkan ibu bapa si anak yang menjalani ujian mempertikaikannya? Langkah terbaik, jangan layan sangat media yang cuba mencari sesuatu untuk bagi meng'clorox'kan kesan kotoran. Wallahu 'alam.

Monday, August 17, 2009

Anak Apa Pulak ye?


Apabila calon BN bagi DUN Permatang Pasir diberitakan lesen guamannya disekat maka berbagai-bagai helah dan cara dihujah dan dimanipulasikan bagi memperlihatkan 'bersih'nya calon mereka. Cuba kalau di pihak PAS, PKR atau DAP. Rasa-rasanya meletup dibakar dan dicanangnya. Ditambahkan pula dengan isu Kg. Buah Pala. Kalau di Manek Urai diisytiharkan Anak Emas, takkan di Permatang Pasir setakat anak angkat sahaja. Biarlah kita tunggu dan lihat.

Teringat saya pada sikap segelintir insan yang bergelar 'tukang', tidak kiralah tukang urut,tukang motor (mekanik la tu),tukang rumah, tukang lobi,tukang umpat dan berbagai tukang lagi. Selalunya hasil kerja dialah yang terbaik dan yang orang lain tidak menepati piawaian ...entah ...piawaian siapa... dialah kot. Begitulah standardnya... wallahu 'alam.

Sunday, August 2, 2009

Antara Dua Darjat


Semalam semasa saya bergunting rambut, seorang pelanggan kedai gunting melontarkan satu soalan kepada pakcik tukang gunting;

"Demo rasa ISA ni zalim ke?"

"Zalim benar nah..." spontan pakcik tukang memberikan responnya.

Beliau menyambung kembali;

"Tak zalim guano? kurung tanpa ccara... kalu betul-betul salah, dakwalah di mahkamah"

Saya teringat semasa saya belajar di salah sebuah IPTA dulu, seorang pensyarah yang kini bergelar profesor memberikan komennya tentang ISA, katanya;

"Kadangkala jika anak kita degil kita kurung dia, jadi pada saya ISA tak salah sebab untuk menyedarkannya".

Saya pada masa itu mendengarnya dengan cuak dan langsung tidak menghormati pandangannya yang tidak layak keluar daripada mulut seorang terpelajar sepertinya. Sepatutnya, apa-apapun pandangan biarlah menampakkan keilmiahannya. Walaupun umum telah mengetahui yang beliau sering diundang oleh stesen TV untuk memberikan komentar politiknya.

Dua pandangan ini semacam cerita seorang profesor yang merasa diri terlalu bijak masuk kampung dan diuji kecerdasan akalnya oleh seorang tua yang menghuni di kampung tersebut.

Selepas penat berceramah dan bersyarah, profesor tersebut cuba mengambil hati penduduk kampung dengan berborak-borak. Tiba-tiba datang seorang tua menegurnya;

"Tuan! saya dengar tuan ni seorang yang hebat..."

Kembang hidung profesor tersebut dan cuba tersengih.

"Boleh kita bermain satu teka-teki?" Soal pakcik tersebut.

Profesor tersebut terus mengangguk, "Boleh!boleh!"

"Kalau macam tu kita buat ketetapan" balas pakcik itu.

"Ketetapan apa?" Tanya profesor.

"Begini..." pakcik itu tersenyum lagi.

"Mula-mula biarlah saya beri teka-teki dan tuan hendaklah jawab. Jikalau tuan gagal menjawab dengan betul maka tuan perlu hadiahkan saya RM100. Kemudian tuan beri saya teka-teki pula, jika saya gagal jawab dengan tepat maka saya beri tuan RM10.00" jelas pakcik itu.

"Haikk...kenapa saya perlu beri RM100 sedangkan pakcik hanya RM10?"

"Tuankan orang bijak dan terpelajar, sedangkan saya orang kampung dan tiada pelajaran pula tu"

Profesor mengangguk-angguk bersetuju.

"Di dalam dunia ni, binatang apa berkaki tiga?"

Macam-macam jawapan diberikan profesor setelah berfikir panjang. Binatang cacat....bla...bla... tetapi satupun tidak tepat. Akhirnya profesor mengaku kalah dan menghulurkan RM100 kepada pakcik tadi. Lalu profesor bersuara;

"Sekarang giliran saya pula memberi teka-teki"

"Silakan tuan..."

"Binatang apa berkaki tiga?" Rupa-rupanya dia terlalu ingin mengetahui jawapannya.

Pakcik tadi tidak banyak cakap terus menghulurkan RM10 kepada profesor sambil tersenyum,

"Maaf tuan, saya memang tidak tahu..."

Jelasnya, hanya kejujuran yang akan memberikan jawapan yang tepat dan manfaat kepada semua. Wallahu 'alam.

Monday, July 27, 2009

Lilin...Tengkolok Berlambang Salib...


Kalau pasal meng'isu' dan memanaskan sesuatu perkara supaya timbul latah-melatah memang kerja ****. Isu-isu ini digunakan untuk kepentingan politik semata-mata. Dulu dipanaskan isu tengkolok yang dipakai T.Razaleigh semasa beliau memimpin S46, walhal Tun Dr. M pun pakai juga. Sekarang DS Ir. Nizar dengan isu pegang lilin. DS Nizar tidak pilih PAS untuk berpolitik kalau jiwanya sekular dan mahukan jawatan semata-mata. Wallahu 'alam.

Tuesday, July 21, 2009

Bapa Kami Wira Kami


Pada 26 Julai ini genaplah 7 tahun pemergian arwah chik (bapa). Patutlah dua tiga minggu ini arwah chik asyik bertandang dalam mimpiku. Namun, tiada dialognya hanya hadir bersama keluarga dan di pengakhiran mimpi berlalu meninggalkan kami.

Bapa semasa hayatnya seorang yang tegas tetapi penyayang. Semasa kami kanak-kanak tidak pernah kami melihatnya melawak dengan anak-anak tetapi semasa kami dewasa barulah kami dapat melihat lawaknya,malahan sama-sama berkongsi lawak dengannya. Mungkin dahulu, bapa tiada masa berlawak kerana sibuk membanting tulang bagi menyara kami sekeluarga. Bapa agak pendiam bila berada di luar rumah, dia suka berkongsi cerita bersama-sama anak-anaknya.

Sebenarnya, pejuangan bapa dalam politik Islam turut kukagumi. Walaupun bapa tidak tahu membaca dan menulis tetapi istiqamahnya dalam wadah perjuangan Islam kental. Tahun 60-an dan 70-an dahulu pernah ku terjumpa dalam laci sekeping kertas yang memberi autoriti kepada bapa sebagai polling agent. Sepanjang hayatnya, setahuku bapa tidak pernah mengundi wadah sekular. Malahan bapa selalu berpesan kepada mak pada pagi hari mengundi supaya memilih wadah Islam.

Terlalu banyak kenangan kami bersama arwah bapa. Doa kami, semoga Allah ta'ala tempatkan roh bapa bersama-sama golongan orang-orang yang beriman dan diredhai-Nya. Amin!

Tuesday, July 14, 2009

Tahniah Abe Uji!, Bermulalah Amanah Rakyat Ke Atas Abe


Saya salah seorang yang berada dalam keadaan gelisah, "macam kucing hilang anak" apabila menanti keputusan PRK MU semalam. Pada masa menerima berita awal yang mengatakan Abe Uji menang, amatlah tenangnya. Beberapa minit kemudian, datang pula berita Tuan Aziz menang. Haru...tak senang duduk... perasaan gelisah mula berbaur kembali. Tetapi, hairan mengapa semua stesen TV masih tidak menyiarkan keputusannya?Masih ada bantahan lagi kah?

Akhirnya, anak saudara saya memberitahu, "Pok Muda! kita menang dengan majoriti 65 undi, undi pos kita kalah".

Barulah saya rasa tenang. PRK macam-macam perkara di luar jangkaan boleh berlaku. Kalau sebelum hari mengundi lagi segala bala jentera sudah berkampung dan mengepung di MU apatah lagi perkara-perkara lain. Apa yang lucunya, Hari Guru yang biasanya disambut dalam bulan Mei turut dirayakan di SK Manek Urai Lama, dengan menobatkan tokoh-tokoh guru semasa kempen PRK MU. Kita tahulah TPM itu menterinya. Alahai...

Sunday, July 12, 2009

Apabila Manek Urai Diisytiharkan Sebagai Anak Emas


Manek Urai sudahpun diisytiharkan sebagai Anak Emas BN,rasa-rasanya apa reaksi DUN-DUN yang diwakilkan oleh wakil rakyat BN? Baik daripada pengundi-pengundi BN sehinggalah kepada tok wakil pilihan mereka. DUN Ketereh anak apa? DUN Paloh anak apa? Lain-lain DUN anak apa ye?
Patutlah ramai pembesar-pembesar turun ke MU, ada emas rupanya. Emas tulin ke emas bodoh? Itu kena tanya pakar...

Biar Betul!


PM tolak pelawaan TG Nik Aziz untuk berdebat. TPM kata tak payah debat tapi dalam masa yang sama cabar PAS melalui kempen p/raya yang disiarkan melalui media massa supaya menyenaraikan apa-apa yang UMNO tak buat untuk Islam. Selepas itu, memperli kata PAS tidak berani jawab dan masih menunggu jawapannya. Bunyinya macam,"baling batu sembunyi tangan". Kalau budak-budak, biasanya dia berani semasa ada ibu bapa maka terjelir sana,terjelir sini pada seterunya. Ajak masuk gelanggang macam-macam helah, di luar bising. Macam budak sekolah yang selalunya bising di belakang kelas, bila dipanggil guru ke depan suruh bercakap, mula garu kepala tidak gatal. Tersengih-sengih.

Wednesday, July 8, 2009

Pengundi Manek Urai Sedang Memerhati...


"...intai kami antara nampak, esok jangan rindu rinduan..." rasa-rasanya macam itulah antara bait-bait lagu di dalam sebuah filem melayu klasik. Apa yang saya hendak kongsikan dengan pembaca ialah kerancakan dan bertali arusnya lawatan para menteri dan sekutu-sekutunya ke Manek Urai. Berbagai agensi dikerah dan macam-macam cara dilakukan bagi memastikan kehadiran orang ramai yang menunjukkan ketakjuban terhadap umno. Lawatan demi lawatan diatur, program demi program disusun. Matlamatnya,bagi memeriahkan dan membantu jentera pilihanraya BN. Sepatutnya, lawatan atas kapasiti parti, presiden ke? timbalan ke?naib presiden ke?pengerusi perhubungan ke? dan apa-apa jawatan dalam parti lain. Satu lagi, gunalah duit parti bagi semua urusan. Ini semuakan kerana hendak menangkan calon parti mika dan tiada kaitan dengan urusan kerajaan. Urusan kerajaan tanggungjawab SPR. Barulah rakyat respek. Jangan 'berkokok berdegar-degar,ekor bergelumang tahi'. Sewajibnya, 'baju menteri' atau apa-apa bajupun yang dikategorikan sebagai urusan kerajaan dibuka dahulu dan pakailah 'baju parti'.

Wallahu 'alam.

Monday, July 6, 2009

Apabila Ianya Sekadar Slogan


Gatal ratanya mulut ini ingin bertanya kepada pelopor dan pejuang Islam Hadhari, di mana dan dalam keadaan macam mana agaknya slogan mereka itu. Bagaimanalah agaknya nasib pendekatan yang telah dibawa dan sering diungkapkan serta dilaungkan oleh para pemimpin umno yang kemudiannya mengundang berbagai tafsiran,lalu melahirkan berbagai penulisan, ceramah,bengkel dan entah apa-apa lagi berkenaan 'Islam Hadhari'. Kini telah bertukar jadi 1 Malaysia.

Maka berbagai bijak pandai berlumba-lumba mentafsir dan memperincikan konsep 1Malaysia. Kita tidak menolak apa-apa yang boleh memberi manfaat kepada rakyat serta negara yang tercinta ini. Malah merasa turut bertanggungjawab tetapi kemusykilannya, betulkah apa yang diungkapkan itu dilaksanakan? 1Malaysia atau 1Parti?

"Kehendak Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"

Sekarang, rakyat di Kg. Buah Pala menghadapi masalah, namun kedua-dua kerajaan yang berbeza parti saling mencari kesalahan dan saling tuding-menuding. Sepatutnya, jikalau penduduk Kg. Buah Pala diistilahkan sebagai rakyat maka kehendak mereka mesti didahulukan. Begitu juga dengan negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang dalam konteks Malaysia, kehendak rakyat yang mahukan pembangkang memerintah kerajaan negeri perlu didahulukan dan dihormati. Justeru itu, tidak perlulah ada 2 penghulu/penggawa, 2 ketua kampung dan 2 macam-macam lagi. Memadailah dengan 1Malaysia, 1penghulu/penggawa,1ketua kampung dan peruntukan pembangunan disalurkan terus kepada kerajaan negeri,tidak perlu JPP. Tidak perlulah ungkapan "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional" . Rasanya, itulah 1Malaysia?

Thursday, July 2, 2009

Masa Muntahnya Akan Tiba


Syahdan, maka berbondong-bondonglah hulubalang masuk keluar kampung yang diberi nama Manek Urai.

Yang berduit menabur duit,
yang berprojek menjanjikan projek,
yang bermulut manis lenguh melemparkan senyuman,
yang bertahta mengarahkan pacal-pacal bertempiaran.

Ada yang bawa kamera menyuluh semua projek,
menyiar puji-pujian,
mencari rasa takjub penduduk,
pada calon memanda.
Malah yang teruk cuba melodehkan lawan.
Ada yang bawa doktor-doktor pelbagai bidang, menawar khidmat yang bermusim. Agensi-agensi kerajaan yang beribu pejabat di persekutuan kaya dengan pelbagai program dan hiburan.

Manek Urai bagai orang yang lama kebuluran dipaksa makan beraneka masakan dengan kuantiti yang banyak dalam tempoh masa yang terlalu singkat. Maka, nantilah 'muntahnya'.

Menyentuh pasal pemberian daripada kontraktor atau daripada mana-mana individu yang berkepentingan, adik saya pernah memberi petua ini pada saya;

"Kalau kita tidak pegang jawatan (yang membolehkan kita memberi manfaat kepada si pemberi hadiah tadi) tidak kiralah bagaimana caranya, adakah dia akan bermurah hati memberi kita pelbagai pemberian?"

Rasa saya, pengundi-pengundi Manek Urai telah peka dan bijak dalam situasi ini. Wallahu 'alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...