Wednesday, March 25, 2009

Kita Ajekah Yang Betul?

Sedang saya beratur untuk mengambil wang di ATM sebuah bank, seorang lelaki bersongkok tinggi,bertali leher, berjanggut dua tiga urat dan memakai vest sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab memberi pelajaran kepada rakyat Malaysia turut beratur di belakang saya. Sekonyong-konyong, lelaki di hadapan saya bersuara,
"Alamak!meter parkir kereta saya tak tambah tadi"
Mata kami memandang ke arah beberapa orang penguatkuasa bandaran yang sedang mengeluarkan saman ke atas kereta yang tamat tempoh meter parkirnya.
"Berapa sen saudara masukkan?" tanya lelaki bersongkok tadi.
"10 sen saja"
Lelaki bersongkok tadi kembali meyambung,
"Sekarang denda RM10.00"
"Saya dah banyak kali dah tak bayar, tak ada apa-apapun" balas lelaki tadi.
"Majlis Bandaran boleh kunci tayar tu..." sahut lelaki bersongkok. Kemudian, dia menyambung lagi.
"Dulukan saya pernah tengok penguatkuasa ni sengaja buka meter parkir dan keluarkan syiling. Dia sengaja hendak saman kereta kita."
Saya yang berada di hadapannya tersentak dengan tuduhannya itu. Hati saya berdetik, tergamak lelaki bersongkok ini mengeluarkan tuduhan ini. Melihat kepada pakaiannya itu yang menampakkan seperti seorang pendidik atau pegawai kerajaan tidak selayaknya dia mengeluarkan kenyataan berbau prejudis itu. Memalukan. Tidak rasa bersalahkah dia mengeluarkan kenyataan seperti itu? Saya rasa amat malu dengan kenyataannya itu, lantaran itu saya berlalu dengan seribu bahasa dan rasa cuak. Hormati kerja dan personaliti orang lain jangan sebab perbezaan parti yang memerintah Majlis Bandaran dengan parti yang memerintah jabatan kita menyebabkan kita suka memandang dan mencari keburukan orang lain sahaja.

Saturday, March 21, 2009

Orang Baik Pendek Umur?


Suatu pagi, ketika saya sedang bersarapan di sebuah warung.Kedengaran seorang pelanggan bercerita tentang kematian seorang rakannya. Di penghujung perbualannya, dia mengungkapkan kata-kata ini;
"Memang, orang yang baik ni tidak panjang umurnya".
Saya juga sering mendengar ungkapan ini sebelum diungkap oleh pelanggan perempuan tadi. Pada saya, ianya sekadar falasi. Tapi awas, jikalau kepercayaan ini menuntut hampir seratus peratus keyakinan kita, itu tidak betul dan perlu dihindarkan. Anda bagaimana?

Sunday, March 15, 2009

Kambing 0h Biri-Biri







Beberapa minggu yang lalu, saya berhempas pulas mencari dua ekor kambing yang cukup umur untuk dijadikan korban aqiqah anak saudara saya. Masuk kampung keluar kampung, masuk reban keluar reban. Jumpa orang itu, jumpa orang ini. Pasang contact di situ, pasang contact di sini. Semuanya gagal. Keputusannya, sayang hendak jual, hendak buat baka, tidak cukup umur dan bermacam-macam lagi. Bahkan satu kampung itu yang agak pendalaman sedikit, terserempak dengan babi hutan yang berkeliaran.
Suatu hari yang agak bernasib baik, saya mendapat bantuan seorang penjual air tebu yang bermurah hati membawa saya melalui denai di dalam ladang kelapa sawit untuk ke rumah tuan kambing yang didengarnya ingin menjual kambing jantannya. Rumahnya di tepi landasan keretapi, saya dan penjual air tebu tersebut terpaksa melintas landasan keretapi, terjun ke bawah bagi mencari kambing untuk melihatnya. Akhirnya, persetujuan dapat dicapai. Selesai seekor, tinggal seekor lagi.
Selepas waktu pejabat, dengan berbaju batik saya mencari lagi seekor. Ceritanya lebih kurang sama seperti di atas. Jawapannya juga stereotype. Akhirnya, seorang penternak bersetuju menjual seekor biri-biri yang agak kecil tetapi sudah akil baligh. Bapa saudara saya tolong tarik balik ke rumahnya tetapi biri-biri tersebut malas berjalan, malah terus berbaring di atas jalan raya. Akhirnya, saya membawanya pulang dengan motorsikal, biri-biri itu diriba bapa saudara saya.
Manfaat yang saya dapat daripada pencarian ini, saya dapat tips bagi mengetahui kambing itu sudah cukup umur atau tidak, lihat giginya. Banyak jalan-jalan pintas yang sebelum ini saya tidak tahu, timbul kesedaran yang perlunya satu cara perternakan yang bermatlamat ke arah mencari keredhaan Allah. Bayangkan, cari kambing untuk aqiqah, untuk jamuan kesyukuran yang insya-Allah dapat pahala. Tidak terlintaskah di hati tuan-tuan punya kambing untuk rebutan pahala ini. Caranya, jualkan kambing itu, harganya janganlah melampau. Perternakan terancang bagi menjamin setiap bulan bekalan kambing akil baligh mencukupi adalah wajar difikirkan.






Saturday, March 14, 2009

Inikah Identiti Seorang Guru?


Minggu lepas, anak lelaki saya yang baru Tahun Satu membuat kerja rumahnya, matematik. Dia tampal kertas yang bergambar di buku tulisnya. Apabila dia lihat gambar yang ditampalnya tidak memenuhi piawaian gurunya, dia cuba membuang kembali. Malangnya, buku tulisnya koyak. Dia meraung-raung dan menangis menagih simpati, saya menghampirinya dan menolongnya. Saya tampal gambar tadi di atas koyakan buku tulisnya itu yang pada permulaannya dia turut bersetuju. Apabila sudah siap, anak lelaki saya melihat posisi gambar yang ditampal tadi masih tidak memenuhi piawaian gurunya. Dia mula menangis lagi, saya memujuknya dengan penuh bermotivasi yang kadangkala turut beremosi. Dia masih tidak bersetuju dan menangis-nangis.

"Abang tidak mahu pergi sekolah! Cikgu ni garang, nanti dia koyak buku Abang" Protesnya. Saya berhempas pulas meredakan keadaan tetapi tidaklah sampai memulaskan telinganya cuma kadangkala melepaskan vokal "rock" yang tersimpan.

Dia akhirnya bersetuju.

Keesokan harinya semasa saya menghantar dia di pintu pagar sekolah, seorang rakan saya pada masa kanak-kanak meluru kepada anak lelaki saya sambil bersuara;

"Mustaqim, buku matematik tinggal di sekolah ke?Malam tadi Hadi menangis kerana tidak jumpa buku matematik."

Hadi anak kenalan saya semasa kecil itu satu kelas dengan anak saya. Anak saya hanya mengeleng-geleng kepala.

"Dah cari di kelasnya tapi tiada", sambungnya sambil kembali ke dalam sekolah.

Anak saya mula menitiskan air mata kembali.

"Kenapa ni?" Soal saya.

"Nanti cikgu marah tampal gambar tidak ikut garisan tepi buku. Buku kawan abang dah kena koyak" Air matanya bertali-tali.

"Dah! dah...masuk sekolah... nanti kalau cikgu marah ... cakap abah yang tampal..."

Pada waktu tengah hari, semasa saya sedang menunggu untuk menjemputnya pulang. Seorang ibu bercerita yang anaknya takut ke sekolah kerana guru matematiknya garang. Seorang bapa turut menambah dengan mengatakan anaknyapun berkelakuan demikian. Dalam hati saya berdetik, "Hai garangnya guru ni..."

Semasa menaiki kenderaan hendak pulang, anak perempuan saya yang di Tahun Tiga bersuara,

"Abah! tadi cikgu Bahasa Melayu menolak kepala Abang Ngah sebab dia menulis lambat"

"Abang tulis lambat sebab pencil Abang tumpul" bantah anak lelakiku.

Semasa di rumah, anak lelakiku bercerita kepada umminya,

"Cikgu Bahasa Melayu tu masa perhimpunan sedap sangat bercakap, dia kata dia anggap murid-murid ni macam anak dia sendiri"

Umminya hanya tersenyum.

Harian Metro, 14 Mac 2009 melaporkan tentang seorang murid Tahun Dua di tampar sehingga berbirat merah di belakang. Ini baru sekolah rendah yang mana murid-muridnya di bawah umur 12 tahun. Seorang pakar motivasi mengatakan bahawa anak-anak tidak melihat apa yang dikatakan kepada mereka tetapi melihat apa yang dibuat oleh kedua ibu bapa mereka, malahan yang dibuat oleh guru mereka.

Tuesday, March 10, 2009

Semua Bertanggungjawab


Selalunya saya melihat mat-mat lentuk atau mat-mat gian melalui televisyen. Tetapi semenjak kembali bertugas di kampung halaman sendiri ini, semua mat-mat ini lentuk-lentuk di hadapan mata. Seorang mat gian yang saya kenal sewaktu remaja lagi melentuk-lentuk sambil berdiri. Keadaannya masih khayal. Fenomena tidak sihat ini berlaku di sebelah rumah ibu saya, turut disaksikan oleh anak-anak saya, anak saudara saya yang masih kanak-kanak. Alahai, bila situasi ini boleh berubah?

Lelaki tadi sudah berusia dalam pertengahan 40-an, sudah mempunyai keluarga dan anak-anak yang dibangku sekolah. Macam mana dia menguruskan keluarganya? fikirku. Sememangnya, dia terlibat dengan penagihan ini sewaktu remaja lagi tetapi saya tidak pernah lihat keadaannya seperti sekarang. Mengapa sekarang dia begitu berani menagih di khalayak ramai?

Sebelum ini, sudah dua orang rakan penagihnya telah meninggal dunia. Namun, semua itu tidak memberi kesan kepada mereka.

Saya dengar cerita dari seorang sahabat, kebanyakan orang tidak mahu lapor kepada pihak berkuasa kerana apabila diserbu, pihak berkuasa akan memberitahu para penagih yang mereka menerima laporan daripada si fulan bin si fulan. Tiada rahsia, jadi para penagih berkemungkinan akan membalas dendam dengan memusnahkan harta benda si pengadu. Betulkah begitu? Hanya pihak yang bertanggungjawab yang mengetahui kebenaran dakwaan itu.

Pada saya, tiada pendekatan yang relevan bagi menangani gejala ini selain daripada pendekatan yang telah diwartakan oleh Allah S.W.T melalui al-quran. Malangnya, orang yang mengucap dua kalimah syahadah dan kitab-kitab beralmari serta berkelulusan tinggi dalam berbagai bidang keagamaan sendiri yang tidak menyokongnya. Kenapa saya kata begitu? Sepatutnya, bila ada pihak yang mampu membentuk kerajaan walaupun hanya kerajaan negeri dan bercita-cita mendaulat dan melaksanakan undang-undang yang telah dimaktubkan oleh Allah ta'ala maka sewajibnya kita turut menyokong serta memberi pandangan yang positif bagi merealisasikan cita-cita murni tersebut bukan menghentam dan mencari silap bagi membantutkan usaha itu. Tetapi mencari silap bagi menyempurnakan tuntutan itu.

Tuesday, March 3, 2009

Anak-anakku









Anak-anakku;

Dari dahulu,
Menjadi cita-cita dan azamku
Islam Asas pembentukan sahsiah diri anak-anaku.

Padaku,
Biar mereka meneroka cita-cita mereka
Biar mereka memilih jalan dan cita rasa mereka
Biar mereka diberi peluang menentukan hala tuju mereka.

Namun,
Islam wajib sebagai indikator mereka
Islam wajib sebagai pakaian mereka
Islam wajib sebagai makanan mereka
Islam wajib sebagai sahabat mereka
Islam wajib sebagai minda mereka.

Anak-anakku;

Setinggi mana,
Pangkat dan gelaranmu
Ilmu dan teorimu
Persada dan tempat tenggekmu
Biarlah Islam menjadi naungannya.

Anak-anakku;

Islam itu memerintah bukan diperintah
Islam itu Indah bukan untuk diendah
Islam itu untuk diamal bukan untuk di baitulmal

Sunday, March 1, 2009

Biru...lelaki?









































Tahniah dan kesyukuran kepada adik perempuan saya yang baru 6 hari selamat melahirkan bayi yang keempat. Apa tak gembiranya dia apabila bayi ini lelaki setelah tujuh tahun menunggu dan ketiga-tiga anak perempuan. Dia yang juga merupakan seorang ustazah membongkarkan rahsianya. Katanya;
"Perasan tak... semua barangan bayi ini berwarna biru?"
"Kenapa?" balasku.
"Aku sengaja belikannya biru... moga-moga Allah kurniakan aku anak lelaki?" Dia yang mudah ketawa itu terbahak-bahak.
"Aik! Apa kena-mengena biru dengan jantina lelaki?" Soalku minta kepastian.
"Kan warna ini sesuai untuk lelaki. Tengok Kad Rawatan Bayi lelakipun warna biru" Jelasnya sambil ketawa.
Hai!menjadi juga usahanya. Tapi itu kebetulan sahaja, yang penting permohonan kita dengan Pencipta. Satu lagi, rumahnya dalam pembinaan lagi, jangan nanti rumahnyapun ikut dicat biru macam dalam iklan Celcom...biru...biru..






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...