Thursday, February 19, 2009

Segeralah Basuh Muka


Semenjak berlakunya adegan kotor yang penuh muslihat di Perak, yang kemudiannya secara tergesa-gesa 'meminyakkan' laluan bagi membentuk kerajaan negeri baru, saya tidak berminat lagi untuk mengetahui perkembangan muktahir di negeri itu. Saya bukan politikus, malah tidak mendapat keuntungan (habuan) apa-apa daripada mana-mana politikus sama ada di pihak pemerintah ataupun pihak pembangkang. Selama ini, saya memainkan tanggungjawab saya hanya sebagai seorang warganegara yang wajib mengundi bagi memilih pemimpin negara. Wajib memilih pemimpin yang berakhlak mulia, berkarisma,bertanggungjawab dan bermacam-macam 'ber' lagi.

Sudah 43 tahun saya hidup dan Malaysia sudah merdeka hampir 52 tahun, tapi malangnya di ceruk kampung yang wakil rakyatnya daripada kalangan parti pemerintah sendiri msiah begitu mundur dan dhaif. Malahan kemudahan asas seperti air dan elektrik masih tiada. Tambahan pula dengan kemudahan jalan raya.

Kepada yang gila kuasa, adakah anda ikhlas memperjuangkan nasib rakyat? Jikalau 'ya', mengapa dalam usia Malaysia hampir mencapai 52 tahun masih ada rakyatnya yang masih tidak mendapat pembelaan dan keselesaan daripada kemudahan yang sepatutnya mereka dapat? Mengapa ada pembangunan yang terpilih?

Lantaran itu, kesedaran tentang tanggungjawab masing-masing amatlah perlu baik di kalangan rakyat marhain mahupun di kalangan pemimpin atasan. Basuhlah muka agar kita sedar tanggungjawab ini akan dipersoalkan bukan hanya di DUN,Parlimen,Dewan Negara tetapi di 'sana' di hadapan Allah ta'ala.

Monday, February 16, 2009

"Benar"


Saya benar-benar tertarik apabila bercerita tentang kebenaran. Benar adakalanya disukai dan ada ketikanya tidak disenangi. Itu benar-benar menghairankan? Terpeluang, bergantung kepada tafsiran masing-masing agar dapat menilai pendapat ini benar atau tidak.
Banyak ungkap yang berhubungan dengan perkataan benar. Di antaranya;

1. Yang Benar
2. Islam Sebenar
3. Baki sebenar
4. Minyak Benar
5. Salinan benar
6. Identiti sebenar
7. Muka sebenar
8. Benar-benar memerlukan
9. Masak benar
10. Keras benar
11. Anak sebenar

Apa-apa lagi perkataan yang dirangkaikan dengan perkataan 'benar'.

Sejauhmanakah kebenarannya?

Sunday, February 15, 2009

Semua Ada Perasaan









Setiap manusia mempunyai perasaan dan perasaan ini kadangkala perlu dilepaskan apabila ia mempunyai tekanan yang melampau. Jikalau tekanan perasaan ini tidak dilepaskan maka dibimbangi berlakunya kemungkinan-kemungkinan yang negatif.

Manusia sama ada yang berada di hierarki atasan ataupun yang berada di hierarki yang paling bawah, masing-masing mempunyai perasaan. Manusia baik yang masih bayi mahupun yang telah 'senja' juga tidak terlepas daripada kekangan perasaan atau emosi.

Kita lihat mengapa sering berlaku demonstrasi, piket,bantahan-bantahan dan sebagainya? Tentulah ini melibatkan perasaan. Perasaan ketidak puasan hati.

Ibu bapa yang bijak akan dapat memenangkan perasaan anak-anak yang memberontak apabila perasaan mereka terganggu. Ibu bapa seharusnya tahu apa keinginan anak-anak mereka yang pelbagai. Setiap orang anak tidak sama keinginan dan citarasanya.

Jadi, rakyat hanya mengharapkan keinginan mereka dapat disuarakan melalui saluran yang sah.





Saturday, February 14, 2009

Cerita Kak Long


Pada hari Jumaat lepas, kakak sulung saya bercerita tentang zaman kanak-kanaknya di hadapan anak lelakinya. Katanya, semasa dia berumur 7 tahun, arwah che' (ayah) membeli 2 pasang 'selipar jepun'; satu untuknya dan satu untuk Kak Ngah. Disebabkan sebelum ini mereka hanya 'berkaki ayam' maka kata Kak Long semasa dalam perjalanan untuk ke pasar, mereka terasa malu untuk memakai selipar, jadi mereka menyembunyikan selipar mereka di dalam semak daun kapal terbang. Mereka ke pasar berkaki ayam. Kami ketawa panjang. Apabila pulang dari pasar, mereka mendapati selipar mereka telah hilang.

Kak Long bercerita lagi, pada masa kanak-kanak dia mengepalai kumpulannya yang terdiri daripada Kak Ngah dan beberapa orang sepupu untuk pergi mengaji quran. Tapi mereka tidak sampai ke rumah guru quran tapi mereka masuk ke dalam semak pokok sagu. Masing-masing membuka rehal dan quran lantas membaca quran dengan nyaring. Apa yang penting, mereka mengaji quran walaupun tiada guru quran di hadapan. Peristiwa ini berlaku dalam tahun 60-an dan begitulah pemikiran kanak-kanak semasa itu.

Wednesday, February 11, 2009

Lelaki Sejati



Nampaknya 2,3 hari ini seronok pulak cerita pasal telatah anak-anak. Anak-anak yang adat kata bakal mencorakkan masa depan negara, sekurang-kurangnya melalui 'peti undi' bukan melalui 'pekerti terkeji'... pasang perangkap... dapat ikan jogha (species ikan yang makan najis) tiga ekor.
Akhirnya, tidak dapat ke Mahkamah kerana dilaporkan sakit. Wallahu 'alam.

Semalam, semasa menjemput anak-anak di sekolah, anak lelaki saya yang di Tahun Satu menunjukkan tablet paracetamol.
"Ubat apa ni abang?' tegur saya.

"Jururawat bagi... abang kena cucuk kat lengan" Ceritanya.

"Abang nanggis tak?"

"Tak! Masa Jururawat cucuk, abang berdiri sambil goyang macam ni..."

Dia mengoyang-goyangkan kaki kanannya. Saya hanya tergelak, teringat gelagat arwah ayahanda semasa hayatnya.

"Lepas tu kan abah,jururawat tu buka seluar abang, dia belek-belek cik awe abang"

Saya ketawa besar apabila mendengar ceritanya.

"Bah...bah... tadi cikgu panggil abang, abang ingat ke cikgu nak rotan... rupa-rupanya cikgu cakap abang lulus periksa dan boleh tukar kelas."

"Ya?"

"Hemmm... 10 orang, bah?

Anak lelaki saya ini seawal usia setahun setengah sudah petah bercakap, dia dilahirkan di HTAA Kuantan. Hai dia seoranglah kelahiran Pahang, walaupun kedua ibu bapanya anak Kelantan. Apa yang penting pejuangannya nanti, insya-Allah untuk Islam. Teringat telatah adik saya apabila dapat anak lelaki kelahiran Sabah, dibungkusnya tembuni (uri) anaknya dengan akhbar Harakah. Harapannya, semoga anaknya menjadi pejuang Islam, khususnya melalui PAS.

Tuesday, February 10, 2009

Lagi Cerita Anak


Hari ini saya suka hendak memerihalkan tentang anak ketiga saya yang baru berusia 5 tahun semasa di Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI ABIM). Di rumah memang cakap banyak dan bising tetapi di luar terlalu pendiam. Hatta semua ibu dan bapa saudaranya juga turut sepakat memberi komen yang sama, "Hai tak pernah dengar suara Farhanah..."


Dalam tempoh tiga minggu bersekolah, gurunya memberi komen kepada saya, "Di rumah dia diam juga ke?"

"Tak! Kenapa?" Soal saya.

"Di sekolah terlalu diam dia..." ujar gurunya.


Semalam, sudah masuk sebulan setengah dia bersekolah, sepupunya yang berusia 6 tahun memberi komen yang mengembirakan,


"Hari ni Farhanah dah ikut apa yang cikgu ajar. Udah berbunyi suaranya"

Sayapun rasa lapang dada... moga-moga hari-hari mendatang suaranya lebih lantang lagi.

Monday, February 9, 2009

Insiden Yang Tidak Disengajakan











Hari ini saya hanya ingin kongsikan cerita keletah anak-anak kita buat merehatkan minda.


CERITERA I:

Kebiasaannya, mak yang tolong jemput anak perempuan saya dan anak saudara saya dari TASKI yang jaraknya beberapa meter sahaja dari rumah mak. Semalam mak ada urusan di Pejabat Tanah jadi saya luangkan sedikit masa untuk menjemput anak dan anak saudara saya. Sesampai di rumah mak, mereka berdua berlari dan bergegas memecat selipar dari kaki mereka.
"Huh! ini bukan selipar Farah!" sekonyong-konyong, anak saudara saya mendengus sambil memandang 'selipar jepun' merah yang baru dipecat dari kakinya.

"Kenapa, selipar tertukar ke?" Soal saya.
Anak saudara saya mengangguk-angguk sambil bersuara;

"Farah pakai kasut rama-rama"

Hai terpaksalah saya berpatah balik ke sekolahnya kerana menyangka tentu itu selipar kanak-kanak lain yang tentu sedang tercari-carikannya. Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh gurunya yang selipar itu selipar dikhususkan untuk murid-murid ke tandas. Kami ketawa melihat kekalutan anak saudara saya ini sampaikan kasutnya yang cantik itu boleh tertukar dengan 'selipar jepun'.

CERITERA II:

Sudah empat malam anak lelaki saya tidak lena tidur kerana sakit perut. Saya sudah bawanya ke Unit Kecemasan Hospital Besar sebelum subuh, tapi tidak baik-baik juga. Kemudian, saya bawanya ke Klinik Swasta, namun masih sakit dan tidak lena tidur juga. Dia sering gosokkan minyak angin seperti minyak Mestika, Cap Kapak dan Matahari di perutnya.

Malam tadi dia tuang minyak Matahari (minyak urut yang panas) melebihi daripada biasa ke perutnya. Apabila dia terasa panas lalu dibasuhnya dengan air, akibatnya minyak bersama air itu meleleh sehingga ke *****nya. Lantaran itu, keluarlah peluh jantannya dengan alunan vokal yang begitu nyaring. Sambil berteriak;

"Ummi...Ummi...tolong la...Ummi...Ummi tolong!"

Umminya bertindak pantas menghulurkan bantuan kecemasan, dibasuh-basuhnya, dikeringkan dan kemudian disiramkan bedak sebanyak-banyaknya. Alhamdulillah berhasil juga kerja amaturnya. Fuhh...lega.

Sunday, February 8, 2009

Selemah-lemah Iman...




Tiada yang lebih bererti dalam hidup ini selain daripada mendapat zuriat yang soleh dan solehah. Yang sentiasa mendoakan kesejahteraan agamanya,kedua ibu bapanya, negara, umat manusia dan kesejahteraan sejagat. Apa yang lebih baik? Hidup sentiasa memburu harta kekayaan duniawi tanpa mempedulikan perasaan,keselamatan,keaiban sama ada agama ataupun manusia lainnya, rakus memburu keseronokan, merampas, meragut,menghina,menfitnah, mengejek dan memprovokasi supaya pihak yang dianggap musuh merana, terhina,melarat dan berterusan dibenci oleh semua pihak? Atau hidup yang sentiasa berusaha secara kudus, bertawakkal dan terus bersyukur. Matlamatnya, biarlah semua makhluk sama-sama mendapat kesejahteraan.
"Sesungguhnya yang baik itu sudah terang lagi bersuluh dan yang buruk juga terang lagi bersuluh"
Tunggulah di saat;

"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berbicara dengan Kami, tangan mereka dan menjadi saksi kaki mereka, tentang apa yang telah mereka kerjakan" (Surah Yaasin, ayat 65)

Sebagai umat Islam, tidak dapat tidakpun biarlah ada kebencian kepada kemungkaran walaupun cuma di dalam hati.

Saturday, February 7, 2009

Di sini aku bermula...

















Selepas berlakunya rampasan kuasa ala Zionis, saya mengambil keputusan untuk rehatkan minda dari melihat, mendengar dan membaca perkara-perkara yang ada kaitan dengannya. Saya lebih senang bercerita tentang masjid yang pernah mendekatkan saya dengan pejuang-pejuang Islam lalu memberi peringatan kepada saya tentang Islam yang diamanahkan Allah kepada hamba-Nya. Juga pernah 'mempopularkan' saya sewaktu remaja. Walaupun wajah asalnya telah 'dilenyapkan' namun ianya tetap di dalam ingatan.
Di sini dapat saya paparkan wajah barunya yang masih dalam pembinaan untuk tatapan makmum yang pernah bertandang.


















Wednesday, February 4, 2009

Sampah Politik

Biasanya jolokan 'sampah masyarakat' yang sinonim dengan masalah sosial yang kian melata di muka bumi ini. Tapi kini saya rasa jolokan 'sampah politik' perlu dikomersialkan. Kalau dahulu, pihak PDRM menggunakan istilah "Najis Dadah' dan 'kecelakaan jalan raya' bagi memotivasikan masyarakat demi untuk membendung peningkatan kadar penyalahgunaan dadah dan kemalangan jalan raya. Tapi kini, saya rasa pihak yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan bagi membendung 'sampah-sampah politik' ini.

Tuesday, February 3, 2009

Sesungguhnya Hidupku...




Betulkah hidup hanya sekali? Bahkah kalimah "Hidup hanya sekali" menjadi mainan mulut rata-rata manusia. Pernahkah baca buku "Hidup Sesudah Mati" karangan Bey Ariffin? Sebagai orang Islam kita mempercayai ada kehidupan di alam lain. Malahan ianya merupakan salah satu daripada Rukun Iman, iaitu Percaya Kepada Hari Akhirat/Qiamat. Sesungguhnya, enam perkara yang menjadi rukun di dalam Rukun Iman itu sebenarnya menceritakan tentang kehidupan yang abadi di alam 'sana'.


Lantas, jikalau itu menjadi keyakinan kita mengapa sanggup kita lacurkan diri kita demi kepentingan politik atau 'periuk nasi' duniawi tanpa memikirkan dosa dan pahala? Mengapa terlalu banyak muslihat setelah mandat diberikan.


Seseorang pemimpin itu boleh saya ibaratkan seperti jantung pisang, yang Allah ta'ala jadikan pada permulaan kelahiran hanya sebiji, kemudian mengembang dan mengeluarkan buah yang berpuluh-puluh biji untuk menjadi makanan berbagai-bagai makhluk di muka bumi ini. Pemimpin merupakan insan yang dipilih untuk melaksanakan amanah yang manfaatnya dapat dirasai oleh semua makhluk bukan untuk dirinya sahaja.

Sunday, February 1, 2009

Aduhai Moderator




Moderat0r...fuhh... senang faham pengerusi majlis. Selalunya insan ini yang 'lebih sudu daripada kuah'. Rata-rata majlis yang menampakkan kepincangan dan berat sebelah ekoran tidak profesionalnya insan yang bergelar pengerusi majlis.


Bermula daripada sekecil-kecil majlis sehingga kepada yang besar-besar, insan inilah yang selalu mendominasikan majlis. Tidak kiralah majlis berbentuk debat,forum atau perbahasan. Sama ada program TV, DUN, Sidang Parlimen ataupun Dewan Negara. Semua didominasikan oleh insan yang bergelar pengerusi majlis, moderator, speaker atau apa-apa nama sekalipun.


Kita selar dan marah apabila pengerusi sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF), iaitu wartawan Washington Post, David Ignatius mencelah dan meminta Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memendekkan ucapannya. Lebih-lebih lagi apabila ucapan itu membincangkan tentang kekecaman Regim Zionis di Gaza. Tambahan pula manusia bertanggungjawab terhadap kekejaman itu berada di depan mata semasa ucapan itu dibuat. Saya rasa moderator-moderator yang selalu kendalikan perbahasan, forum,dialog dan apa-apa majlispun cuak dan merasa tidak puas hati dengan perjalanan forum itu.


Jadi, semasa kendalikan program, sidang,forum dan dialog yang melibatkan perbezaan fahaman dengan kita atau 'orang kita' maka berlaku telus dan bersikap profesionallah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...