Sunday, September 28, 2008

Kembali Kepada Allah

Besok hari terakhir umat Islam berada di dalam bulan puasa. Bulan yang penuh dengan pelbagai keberkatan. Sesungguhnya, berbahagialah orang yang berjaya mengharungi segala pancaroba dan mendapat redha, kemaafan dari-Nya. Bagi yang terasa kekurangan, pohon keampunan Allah dan semoga panjang umur dan berusaha di Ramadhan akan datang. Apa yang penting kita ada usaha ke arah kebaikan dan ke arah maghfirah Allah.

Rata-rata apabila menjelangnya Hari Lebaran ini, maka kedengaran bermacam-macam jenis rompakan, ragut,kecurian dan seumpamanya. Mereka rakus menghidu, memerhati telatah individu mengeluarkan wang dari bank-bank untuk bayaran gaji para pekerja dan keperluan sendiri. Apakah jenis mamalia ini, yang gemar mengambil peluang dari kesibukan orang lain menguruskan keperluan keluarga dan para pekerja bagi menyambut lebaran untuk memenuhi keperluan hawa nafsunya sendiri. Awas! kita ada satu mahkamah yang solid keadilannya walaupun sebesar biji zarah. Itulah Mahkamah Allah.

Suatu Masa Dahulu

Dahulu, sewaktu arwah ayahanda masih ada, aku pernah mengikutinya mencari gondang di sebatang sungai. Daging gondang memang lazat digoreng bersama-sama lada kering dan beberapa perasa. Maaf, aku bukan tukang masak jadi tidak tahu resepinya, tapi yang nyata memang lazat.

Ayahanda menyelam mencari gondang di dasar sungai, bila dia timbul di permukaan, seketul najis manusia berkeliaran di hadapan hidungnya.

"His! Telur gondang sapa ni!" Jerkahnya sambil menepuk-nepuk permukaan air. Wajah ceria dan ketawa terbahak-bahak. Melihatkan telatahnya itu akupun turut ketawa bersama-sama rakannya. Itulah ayahandaku kekadang lucu menghiburkan kami sekeluarga dan kekadang serius mendisiplinkan kami.

Saturday, September 27, 2008

Suatu Renungan

Umat Islam dahulu menangis apabila Ramadhan mengatur langkah terakhir untuk meninggalkannya. Mereka khuatir pada tahun hadapan tiada kesempatan pada mereka untuk berjumpa kembali. Lambaian Syawal yang mula menggamit penuh bermakna bagi mereka yang memperolehi kemenangan.
Namun, masyarakat Islam sekarang lebih selesa dan tiada apa-apa kesan dengan peninggalan Ramadhan. Malahan golongan yang paling berbahagia ialah golongan artis. Sambil tersenyum melentuk ke sana-sini, geleng kiri-kanan, melaung-laung dengan diiringi muzik, menyanyi kegembiraan. Apakah mereka golongan yang berjaya pada Ramadhan lalu?

Zakat

Semasa berkhutbah pada Jumaat lepas (26 September), Dr. Hj. Abdul Basit Hj. Abdul Rahman, Penasihat Pondok Haji Abdul Rahman, Sg. Durian turut menjawab soalan yang diutarakan kepada beliau melalui SMS.

1. Bagaimana Zakat Pendapatan dikira?
Katanya, pengiraannya ada dua cara, iaitu;
i. Jumlahkan semua pendapatan bulanan dan darab dengan dua belas (setahun) maka ambil 2.5% daripadanya dan berikan kepada orang yang layak menerima zakat.

ii. Jumlahkan semua pendapatan bulanan dan tolak dengan perbelanjaan bulanan, kemudian darab dengan dua belas (setahun) maka ambil 2.5% daripadanya dan berikan kepada orang yang layak menerima zakat.

2. Bolehkah zakat diberikan kepada saudara terdekat?
Katanya,saudara terdekat ini boleh dikategorikan kepada dua, iaitu;
i. ASAL yang merujuk kepada ibu bapa, datuk nenek, anak dan cucu. Golongan ini tidak boleh diberi zakat kerana sudah menjadi tanggungjawab sipengeluar zakat terhadap mereka.

ii. CABANG yang merujuk adik-beradik, bapa saudara, anak saudara dan seumpamanya. Golongan ini boleh diberikan zakat. Bahkan dengan pemberian zakat akan mengeratkan silaturrahim di antara meraka.

Sunday, September 21, 2008

Rokok oh! rokok


Semasa remaja aku dahulu, semasa sedang santai di beranda masjid, seorang teman mengajukan pertanyaan kepada semua. Macamana ya orang yang mula-mula menghisap rokok tu dapat ilham mencipta rokok dan mula merokok ni? Kalau jenis makanan tu ye le, mudah je... rasa sedap... ye! tercipta. Tapi kalau rokok bagaimana tu? tokoknya.

Maka macam-macam le kupasan, komentar, teori dan falsafah tapi satupun tiada yang menarik. Kalau anda juga mempunyai apa-apa maklumat, silalah kemukakan.

Di Antara Kuantiti Dan Kualiti


Minggu lalu, ketika aku sedang menunggu anak pulang dari sekolah, seorang surirumah yang juga sedang menunggu anak berbual sesama mereka. Katanya;

“Dua hari lepas, mak kawe singgah di Pasar Ramadhan, dia beli ‘butir nangka’ (sejenis manisan) 4 plastik, RM8.00. Lepas balik terus simpan dalam peti sejuk, bila masa berbuka semuanya sudah masam (basi) sudah tidak boleh makan.”

Tentu kecewa mak surirumah tersebut, apatah tidak manisan yang dibeli untuk dimakan bersama anak cucu itu bila tiba masa untuknya dimakan sudah rosak, tidak boleh dimakan lagi. Begitulah hakikat kehidupan, manusia lebih gemar mengejar kuantiti daripada kualiti. Bukan dalam hal dunia sahaja tetapi juga dalam hal ibadat.

Berbagai andaian telah dibuat oleh surirumah dan rakan-rakannya mengenai manisan tersebut. Tetapi apa yang penting, manisan itu tiada kualiti. Ianya dibuat dalam kuantiti yang banyak dan sudah tentu bermatlamatkan keuntungan yang berganda. Malangnya, peranannya sebagai pemanis mulut tidak kesampaian, rosak kerana kealpaan sipembuatnya. Mungkin objektif sipembuat dan sipenjual dapat dicapai tetapi bagaimanapula dengan objektif sipembeli. Sedangkan keberkatan itu akan wujud sekiranya semua pihak yang terlibat itu redha dan tiada unsur penginiayaan serta terdapatnya redha Allah di situ.

Apa yang pasti, keikhlasan dalam semua urusan memerlukan banyak mujahadah.

Daulatkan Masjid

Tahun ini kujangka masjid kampungku tidak dapat menampung kebanjiran anak mukim bersolat, lebih-lebih lagi solat sunat aidil fitri. Bukan pertambahan penduduk secara mendadak lebih daripada tahun-tahun lepas tapi masjid yang banyak menyimpan kenanganku itu telah dihancurkan. Tapaknya juga sudah diratakan dan akan dibangunkan masjid yang baru. Entah bila akan siap... setahun, 2 tahun ...? Hancur sudah hancur, doaku semoga masjid yang dalam proses pembinaan ini akan menarik lebih ramai jemaah, lebih giat aktiviti kemasyarakatan, lebih cantik, lebih kukuh dan lebih segala-galanya. Bukannya lebih banyak menarik pelancong datang meneliti, memerhatinya.
Kata orang, masjid ini lokasinya terlalu tinggi, di puncak bukit tidak larat orang tua hendak mendaki tangganya. Jelasnya, masjid ini telah wujud pada tahun 1967 lagi kenapa generasi sekarang baru terasa tidak larat mendakinya.
Cuba kita lihat masjid kebanggaan Negeri Terengganu yang baru siap dibina di Pulau Wan Man. Dibina di tengah-tengah pulau yang tiada penghuni. Apa motif pembinaannya? Walahu 'alam.
Apa yang jelas, masjid mestilah mampu menarik para jemaah bukannya para pelancong.

Saturday, September 20, 2008

Motivator dan Kaunselor

Hari ini saya diberikan kuliah subuh oleh isteri saya kerana terlewat bangun daripada kelmarin. Katanya;
"Sudah 11 bulan kita diberi kerehatan seperti tidur cukup . Hai tak kan dalam bulan puasa ni pun nak buat macam bulan lainnya?"

"Ustazah! saya nak tanya satu soal..." belum sempat saya habiskan soalan saya, isteri saya sudah ketawa sambil membalas;

"Orang cakap betul-betul, dia perli pulak".

Pada saya, di dalam rumah tangga pasangan suami isteri memang ada kedua peranan motivator dan kaunselor. Sama ada si suami sebagai kaunselor dan si isteri sebagai motivator ataupun sebaliknya. Sebagai pakar motivasi, seseorang itu akan menjadi seorang yang akan merangsang minda, naluri dan membakar semangat ke arah kehidupan yang baik dan sejahtera. Dalam pada itu, sebagai seorang pakar kaunseling seseorang itu akan menjadi seorang pendengar yang baik. Kebanyakannya, seorang isteri itu lebih kepada motivator kerana mereka yang lebih banyak memberikan pandangan,fakta-fakta dan ulasan terhadap perihal anak-anak waima kepada perihal suaminya. Apa-apapun isteri itu pendinding suami daripada neraka. Terima kasih isteriku.

Wednesday, September 17, 2008

Segamat Bukan Sikamat: Peritnya Menggunakan Pengangkutan Awam

Setiap kali tibanya musim perayaan, maka sibuklah segala media massa melaporkan tentang kegiatan ulat tiket. Malahan Laporan Khas tentang kegiatannya turut dipaparkan.

Semasa saya di perantauan, banyak pengalaman balik kampung semasa musim perayaan telah saya rasai. Saya akui ianya memang menyulitkan bagi kita yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam. Di sini ingin saya kongsikan satu daripada pengalaman-pengalaman saya.

Kisah ini berlaku dalam tahun 1990 semasa saya di Kuala Lumpur, peritnya masih terasa. Memandangkan tiket untuk ke Kelantan telah habis dijual, maka saya berpakat dengan adik saya yang pada masa itu sedang mengikut Kursus Intensif Bahasa Inggeris di Kolej Negeri dan beliau tinggal di Asramanya di Bukit Chedang, Negeri Sembilan untuk bersama-sama beraya di rumah kakak saya di Keratong 1.

Awal-awal pagi lagi saya keluar ke Hentian Puduraya dan bertolak ke Seremban dengan menaiki bas (SKS) yang pada masa itu tiket bas dibeli terus daripada konduktor di atas bas tersebut. Kemudian dari Stesen Bas Seremban saya menaiki bas ke Asrama adik saya di Bukit Chedang. Memikirkan yang seakan saya sudah melampaui tempat adik saya jadi saya menekan loceng untuk berhenti. Malangnya, apabila saya turun bas dan bertanya orang di bahu jalan, asrama adik saya masih jauh ke hadapan lebih kurang 2 KM. Lantaran itu, terpaksalah saya menapak ke sana dan keluarlah segala peluh jantan.

“Kita hanya merancang tapi Tuhan menentukan” itulah yang terjadi pada saya. Adik saya tidak dapat bersama-sama beraya mengikut rancangan asal kerana tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan Kolejnya. Saya kemudiannya ke Stesen keretapi tetapi tiket ke Segamat telah habis dijual. Masih tidak berputus asa, saya ke Stesen Bas Seremban kembali dan bertanyakan kepada seorang konduktor bas mengenai bas ke Segamat. Konduktor bas perempuan itu menunjukkan kepada saya ke arah sebuah bas yang berada tidak jauh daripada tempat saya duduk. Saya merenung ke arah bas tersebut seakan tidak percaya bas itu bas yang akan ke Segamat disebabkan keadaan fizikalnya yang agak sudah teruk. Disebabkan oleh orang yang memberitahu saya itu orang yang bekerja di syarikat bas tersebut maka saya percaya dan terus menaiki bas tersebut.

Apabila bas mula hendak berjalan, saya lihat konduktor perempuan yang memberitahu saya tadi naik dan dialah konduktor bas itu. Apabila dia menghampiri, saya menghulur wang sepuluh ringgit sambil bersuara”Segamat!” Konduktor itu hanya diam dan menghulurkan baki. Terkejut saya apabila melihat wang baki RM9.50 dan lihat harga tiket RM0.50. Perasaan saya mula menggelabah, sepanjang jalan saya asyik memerhati papan tanda kedai-kedai bagi memastikan nama tempat yang bas lewati. Semua penumpang telah habis turun kecuali saya, konduktor itu hanya memandang ke arah saya dan saya buat-buat tidak nampak. Akhirnya, bas berpatah balik dan alangkah terkejutnya saya apabila terpandang satu papan tanda sebuah kedai runcit yang tertera nama tempat, iaitu ‘SIKAMAT’. Memang sahlah konduktor itu telah salah dengar pertanyaan saya tadi.
Saya tiada pilihan lain, jadi saya terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur saya ke Stesen Keretapi dan pada masa itu tiket kelas ketiga tiada ditentukan tempat duduk. Saya menaiki keretapi hingga ke Gemas dan melalui pengumuman pihak keretapi, saya terpaksa kosongkan gerabak yang saya duduk kerana ianya akan ke Singapura. Apabila saya turun di Stesen Gemas, semua pintu gerabak ke Pantai Timur ditutup rapat, dilimpahi lautan manusia. Saya lihat seorang nyonya gemuk cuba memasukki ikut tingkap dan punggungnya tersangkut-sangkut yang akhirnya ditolak masuk oleh orang yang lalu-lalang.

Saya hanya termangu di kerusi menunggu Stesen Keretapi Gemas mulai pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 7.00 pagi. Dari Gemas saya bertolak ke Mentakab menaiki ‘Rail Bus’ dan dari Mentakab menaiki keretapi ‘local’ hingga ke Gua Musang dan tiada lagi pengangkutan keretapi ke Kuala Krai pada hari itu. Jadi terpaksalah saya menaiki van sapu hingga ke Kuala Krai. Oh! Alangkah peritnya perjalanan saya.

Monday, September 15, 2008

Yang 'Wahidnya' Orang Politik

Dewasa ini, penerimaan kebanyakan individu di dalam masyarakat terhadap sesuatu pendapat adalah berasaskan kepada tahap pendidikan yang dilabelkan dengan ‘title’. Pendapat Pak Mat, Abang Lah, Pak Soh, Mak Nab dan Mek Som sukar diterima apatah lagi untuk dipraktikkan. Mereka lebih mudah menerima pendapat yang diberikan oleh Prof. Dr. Mat, Dr. Lah, Prof. Madya. Ir. Soh, Prof. Emeritus Dr. Nab dan Dr. Som.

Walaupun begitu, jika dilihat dalam penerimaan pengesahan sesuatu dokumen untuk dikemukakan kepada agensi-agensi kerajaan, seperti memohon biasiswa,pinjaman, wang KWAP, memohon sambung belajar,memohon pekerjaan dan seumpamanya, kerajaan lebih percayakan orang politik daripada pegawai kerajaan sendiri. Pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan tidak layak mengesahkan dokumen-dokumen berikut walaupun berada dalam Kumpulan ‘B’. Sebaliknya, orang politik walaupun berjawatan Ketua Kampung, JKKK, Penyelia Mukim dan seumpamanya lagi yang rata-ratanya berada dalam kumpulan ‘C’ masih layak mengesahkan dokumen-dokumen berikut. Inilah hebatnya orang politik berbanding pegawai-pegawai kerajaan. Dan inilah juga ‘bersih’nya orang politik berbanding pegawai dan kakitangan kerajaan.

Orang politik tidak payah bersandarkan pada kelulusan akademik untuk mendaki jawatan memadailah dengan mendapat majoriti undi para penyokongnya. Berbeza dengan pegawai dan kakitangan kerajaan yang bersandarkan pada kelulusan akademik, peperiksaan-peperiksaan jabatan, PTK, Laporan Nilaian Prestasi Tahunan dan seumpamanya lagi.

Hidup Di Dunia Tidak Berpanjangan

Innalillahi wainna ilahi rajiun! hari ini (16 September 2008), aku menerima berita yang sepupuku (Sulaiman) meninggal dunia. Itulah tempat asal kita. 'Di sana' tiada apa yang dapat menolong kita kecuali amal soleh kita.
Apabila tiba kematian kita, terdapat tiga sahabat yang akan menghantar kita, iaitu harta akan menghantar kita sampai pintu rumah sahaja, sahabat handai atau sanak saudara hanya menghantar kita ke Tanah Perkuburan sahaja dan yang ketiga, amalan soleh kita yang akan menghantar kita ke alam baqa' dan seterusnya akan membela kita di sana.
Di alam 'sana' mata wangnya bukan lagi RM, Dolar, Rupiah, Yen, Peso atau apa-apa lagi tetapi mata wang 'Pahala'. Jadi sementara kita masih hidup lipat gandakanlah pahala, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan.
Hidup kita di dunia tidak berpanjangan, dari itu banyakkan bertaubat dan beramal. Rutin kita seharian dikira ibadat sekiranya niat kita kerana Allah. Contohnya, kita pakai kasut, sebelum memakai kita hentak-hentak kasut dengan niat mengikut sunnah Rasulullah supaya jikalau ada serangga berbisa di dalam kasut ianya akan jatuh dan tidak mencederakan kaki kita. Begitulah dengan amalan yang lainnya.
"Daripada tanah kita datang, kepada tanah kita kembali, dan daripada tanah juga kita akan dibangkitkan kembali"

Saturday, September 13, 2008

Ramadhan Al-Maghfirah

Segala puji-pujian bagi Allah, kita sekarang dalam zon sepuluh pertengahan Ramadhan atau dipanggil Ramadhan al- maghfirah. Jikalau pada masa lainnya kita berisytighfar kurang seratus kali sehari, sebaliknya dalam bulan Ramadhan ini kita gandakan lagi.
Gedung-gedung membeli-belah pada masa sekarang berlumba-lumba menawarkan harga runtuh sempena dengan musim perayaan. Semestinya berpusu-pusu orang ramai memanfaatkannya. Tapi mengapa tidak dengan amalan di bulan Ramadhan? Allah Ta'ala membuat tawaran yang sangat lumayan, namun sambutannya tidak sehebat sambutan yang diterima oleh gedung-gedung membeli-belah.
Sebagai hamba-Nya, kita sering melakukan perkara-perkara yang maksiat walaupun seberat zarah. Terus, Allah telah menyediakan saluran komunikasi yang dipanggil "al-maghfirah", iaitu memohon keampunan atau bagi kesalahan yang besar "taubat".
Jika bertepatan, saya selalu membandingkan manusia ini seperti "tahanan berkediaman terhad". Tahanan ini diwajibkan setiap beberapa tempoh tertentu melapor diri ke balai-balai polis berdekatan, begitu juga dengan kita wajib melapor diri kepada Allah lima kali sehari (solat). Tambahan pula solat ini sebenarnya ingin membentuk diri kita supaya sentiasa mendisiplinkan diri dan berakhlak mulia.

Wednesday, September 10, 2008

Secebis Memori Bersama Ayah


Teringatku semasa arwah bapa masih bersama keluarga kami. Beliau seorang bapa yang ada cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Beliau garang tapi susah hendak marah pada anak-anak. Sewaktu hayatnya, beliau telah banyak berusaha untuk membesarkan anak-anaknya dengan sempurna. Beliau tidak banyak cakap dan tidak cerewet dalam memlilih makanan. Pernah kulihat pada suatu tengah hari, beliau makan nasi hanya berkuahkan air sejuk yang dicampur garam. Waktu itu agak-agaknya, aku baru dalam tingkatan satu (1979). Arwah bapa seorang penarik beca.
Pernah suatu masa dalam tahun 70-an, bapa menyelamatkan seorang gadis di stesen keretapi daripada gangguan pemuda-pemuda nakal. bapa menumpangkan gadis tersebut di rumah. Padaku, biarpun kita miskin wang ringgit tapi kaya budi bahasa. Banyak lagi yang ingin ku ceritakan tentang arwah bapa, tapi pada masa ini aku belum bersedia.
Bapa kembali ke rahmatullah pada tanggal 26 Julai 2002. Ketika itu aku berkhidmat di Kuantan. Namun, alhamdulillah aku dan adik lelakiku yang juga berkhidmat di Kuantan awal seminggu pulang. Jadi kami sempat bersama bapa pada akhir hayat beliau.
Bapa, kami rindu padamu dan inginku ceritakan tentang kejayaan anak-anak bapa yang pernah mengenepikan kepentingan diri demi anak-anak. Al-fatihah untuk bapa!
Kini kami masih mempunyai ibu yang mithali, yang sentiasa mengutamakan kepentingan anak-anak daripada kepentingan diri sendiri. Bahkan sekarang ibu menjadi nenek yang utamakan cucunya. Kami bersyukur pada-Mu, ya Allah.

Tuesday, September 9, 2008

Manfaat Perayaan Islam


Jika disingkap dalam dua perayaan Islam, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha banyak manfaatnya.


Secara ringkasnya, dalam menuju kepada Aidil Fitri, "Zakat Fitrah" adalah perkara wajib yang dikenakan ke atas setiap ummahnya. Manfaatnya akan dirasai oleh semua golongan fakir miskin dan yang termasuk dalam 8 golongan seperti yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan orang yang mengeluarkannya, jika zakat harta benda diwajibkan ke atas orang yang berharta dan cukup syarat-syaratnya sahaja tetapi zakat fitrah diwajibkan ke atas setiap individu muslim. Ini bagi memberi peluang ke atas ummah Islam mencapai konsep zakat itu sendiri yang mana ianya dapat membersihkan dan menyuburkan harta yang kita cari selama ini selari dengan kehendak Islam. Allahu Akbar!


Manakala semasa Aidil Adha, kita disunatkan berqurban. Manfaatnya kan turut dirasai oleh fakir miskin yang jarang-jarang berlaukkan daging segar. Orang yang berqurban akan merasai kemanisan ibadat ini jika diiringi dengan hati yang ikhlas dan rasa bertanggungjawab terhadap fakir miskin.


Umum mengetahui, perayaan ini akan turut menjalin suatu ukhuwwah yang padu dan harmoni sesama kaum keluarga, jiran tertangga, sahabat handai dan berbagai pertalian lainnya lagi.

Sunday, September 7, 2008

Hargailah Amanah Yang Diberi

Setiap tahun apabila menjelangnya perayaan umat Islam, maka setiapkali itu juga ada sahaja laporan mengenai komitmen pihak-pihak berkuasa bagi menguatkuasakan pengharaman mercun. Masing-masing bertekad akan bertindak tegas terhadap pengedaran dan penjualannya. Dalam Sinar Harian kelmarin melaporkan satu pihak berkuasa akan menjalankan penguatkuasaan di setiap premis jualan termasuk pasar-pasar malam. Setiapkali itu juga terdapatnya laporan tentang kecederaan akibat daripada permainan mercun.

Apa yang menjadi persoalan, mengapa setiapkali menjelang musim perayaan umat Islam maka wujudnya mercun dan bunga api? Dan perkara yang sama berulang kembali. Apakah perhubungan di antara perayaan umat Islam dengan permainan bunga api dan mercun? Malah kerajaan setiap tahun terpaksa menyediakan peruntukan bagi menjalankan urusan penguatkuasaannya. Sukarkah untuk membanteraskannya? Persoalan ini biarlah pihak berkuasa yang menjawabnya.

Seingat penulis, sekitar tahun 70-an dan awal 80-an terdapat satu lagi permainan yang berunsur judi setiapkali menjelang perayaan umat Islam. Permainan ini di kalangan masyarat kampung penulis dikenali sebagai 'tikam' atau 'nikam'. Syukurlah permainan ini telahpun dihapuskan. Tapi mengapa pula mercun sukar dihapuskan walaupun berbagai langkah pencegahan telah diambil oleh pihak berkuasa?

Penguatkuasaan terhadap pengedaran, penjualan dan pembakaran mercun perlu telus. Apa yang mendukacitakan kita ialah terhadap sikap individu yang menjalankan amanah penguatkuasaan itu. Terdapat di antara mereka yang bertindak merampas mercun-mercun itu dan membawa pulang ke rumah dan ke kampung halaman masing-masing. Kemudian, diagih-agihkan kepada anak-anak, saudara mara dan rakan taulan. Malah mereka membakar mercun di halaman rumah, maka berdentumlah mercun yang entah dari berbagai jenis itu mengegarkan kampung, membengitkan telinga, menyentakkan bayi di dalam buaian dan membakar amarah orang dewasa. Bau belerangnya pula menyumbat lubang hidung dan asapnya memedihkan mata serta menyesakkan nafas. Peristiwa ini berulangkali pada setiap tahun apabila tiba musim perayaan umat Islam. Orang yang membawa dan membakarnya pula merupakan orang yang diamanahkan untuk menguatkuasakan peraturan dan larangan ini.

Harapan penulis, semoga tahun ini tiada lagi dentuman mercun seperti ini. Jangan kita dianggap seperti ' Harapkan pagar, pagar makan padi'. Juga jangan kita biarkan dosa-dosa kita yang dibakar dalam bulan Ramadhan ini, kembali disemai oleh baja-baja bakaran mercun ini.

Saturday, September 6, 2008

Telus atau fulus

Dewasa ini, gegak gempita politik negara persis telah dihipnosis 16 September 2008. Rata-rata individu bercakap tentangnya dan rata-rata yang cuba memberikan komen-komen bagi menunjukkan keintelektualan masing-masing. Isu-isu dan masalah-masalah lain mula hambar. Kesedihan keluarga yang kehilangan ahli keluarga mula terpinggir. Keselamatan anak-anak dijalanan terlupa difikir.
Mengapa sekonyong-konyong 16 September mula diberi perhatian malah menggusarkan segelintir umat manusia? Jawabnya, kerana ia merupakan sasaran Ketua Pembangkang baru di Parlimen yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh yang menang bergaya dan yang penting mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia bagi mengambil alih teraju kepemimpinan negara.
Sasaran tidak semesti dapat dicapai, jadi mengapa kebanyakan individu politik dan bukan politik kelihatan ada yang cemas dan ada yang ghairah? Bagi pejuang yang ikhlas kerana Allah, mereka melihat diri mereka sebagai orang perantaraan yang benar-benar ingin membawa kesejahteraan ummah, mendaulatkan Islam di Persada Negara. Justeru itu, mereka yakin dan percaya dengan janji serta hukum Allah sahajalah yang mampu membela dan mampu mentadbir alam ini. Bagaimana pula dengan para pejuang yang lain? Apa matlamat dan perjuangan mereka? Wallahu alam.
Bagi saya, ketelusan pemerintahan dapat dilihat dari sikap para pemimpin itu sendiri. Bagaimana kehidupan, pergaulan, amalan dan lain-lain aktiviti seharian mereka. Ada pemimpin yang suka hidup mewah, bergaul dengan yang setaraf sahaja dan bermegah dengan amalan baik yang mereka lakukan. Dalam pada itu, terdapat juga pemimpin yang suka mendidik diri mereka dengan kesederhanaan dan sentiasa bersedekah walaupun dalam kekurangan serta menjaga tutur bicaranya.
Jadi, mengapa begitu ramai yang berebut untuk mendaki dan mencapai jawatan yang berbagai dalam sesebuah parti politik. Khususnya, parti pemerintah? Jawapannya ada pada individu-individu itu sendiri.
Seandainya, jawatan nombor satu di dalam negara menghidangkan tanggungjawab dan komitmen yang besar tetapi menyediakan kemudahan dan ganjaran (gaji+elaun+dsb) yang kecil, masih ramaikah individu yang cuba menggapainya? Jawapan ada dalam diri setiap pejuang.
Justeru itu, mengapa cemas dan ghairah pada tanggal 16 September? Tanggungjawab itu amanah dan amanah itu akan dipersoalkan dalam Parlimen Allah. Parlimen yang betul-betul telus yang tiada bersandar pada fulus.

Ujian anak-anak di awal Ramadhan

Semalam (6 Ramadhan 1429/6 Sepetember 2008), Kak long, Abang Ngah dan Kak Chik demam). Kak Long menangis sebab tidak mahu tinggal puasa. Tapi tubuhnya tidak berdaya, tiada selera makan. Abang Ngah pula merangkak, katanya tidak larat bertatih apatah lagi berjalan. Kak Chik selamba.

Subhanallah, memang Ramadhan bulan membakar dosa. Kekadang fikirku kanak-kanak lebih memahami pengertian Ramadhan. Mereka leka bermain , berlari walaupun Ramadhan. Letih, mereka berhenti. Sebaliknya orang dewasa mencari alasan untuk tidak berpuasa, letih kerana kerja berat dan berbagai alasan lagi.

Semasa penulis berkhidmat di Terengganu dahulu (2006), pada bulan Ramadhan penulis ke Kuala Lumpur melalui Tasik Kenyir, ramai pekerja Islam di bahu jalan merokok. Adakah merokok pada bulan yang mulia (Ramadhan)memberi kudrat untuk berkerja? Manusia bila terlampau materialistik akan lupa dosa dan pahala. Mereka lebih selesa memenuhi tuntutan hawa nafsu mereka daripada memenuhi tuntutan roh Islam mereka.

Wednesday, September 3, 2008

Ramadhan Bulan Ujian

Hari ini merupakan hari keempat umat Islam berpuasa. Mulai hari pertama sehingga kelmarin, susah mencari petak parkir apabila singgah di Gerai Ramadhan. Berpusu-pusu manusia mencari juadah berbuka. Malahan mulai dari tengahari lagi terdapat barisan panjang manusia menunggu giliran membeli murtabak. Di mana-mana sahaja terdengar cerita mengenai makanan berbuka, resepi berbuka dan bermacam-macam lagi mengenai habuan perut.



Ada yang merungut murtabak sudah naik harga. Begitu juga dengan makanan lain. Harga naik tapi saiznya turun, makin mengecut. Kata penjual kerana tepung naik harga.



Itu cerita penting setiap kali menjelang Ramadhan. Bulan Ramadhan bulan yang membakar dosa-dosa, ganjaran yang melipat kali ganda. Tapi jarang orang gemar bercerita tentang kelazatan ibadat pada bulan Ramadhan berbanding dengan kelazatan murtabak, sup tulang dan sebagainya. Mengapa?



Pada saya, di sinilah terletaknya tapisan keimanan yang melibatkan kepercayaan seratus peratus.



Tuesday, September 2, 2008

Antara Tanah dan Murid

Ungkapan "lebih baik berikan kail daripada ikan" memang telah kerap didengari. Bila MB Perak serahkan tanah untuk Sekolah Cina untuk dijadikan tempat menjana ekonomi sekolah tersebut. Maka segelintir peneropong menempelak dan mahu diberikan sama kepada sekolah agama.

Pada saya, MB Perak lebih warak, rasional dan genius. YAB tahu apa yang dia buat. Lagipun ini Kerajaan Negeri yang dipimpin beliau belum lagi genap setahun. Ini baru beberapa langkah. Mengapa pada masa SAR diganyang dulu tidak dibela seperti hari ini?

Monday, September 1, 2008

Di Mana Kita?


Jika disamakan dengan sistem pembelajaran di IPT. Kita sekarang berada dalam musim peperiksaan. Ramadhan al-Mubarak adalah musim peperiksaan bagi umat Islam. Rata-rata masyarakat dan mass media berlumba-lumba menyediakan bermacam-macam syarahan, ceramah dan tazkirah mengenai fadhilat, kepentingan dan lain-lain permasalahan berkaitan dengan Ramadhan. Bahkan lebih manis dan menariknya apabila para cendikiawan Islam mengaitkan ibadat puasa itu dengan sains, khususnya dari sudut kesihatan. Memang tidak dinafikan kepentingan dan signifikannya untuk umat manusia, khususnya umat Islam.


Namun mengapa kurang bahkan jarang-jarang cendikiawan Islam bangkit dan tampil membicarakan kemanisan dan fadhilat hukum Allah mengenai jenayah yang makin berleluasa kini. Khususnya hukum hudud. Dalam kemusnahan identiti sesetengah masyarakat dari pelbagai lapisan yang lebih mementingkan materialistik tanpa mengenai batas hukum. Masyarakat yang mula berani tidak bertempat dan sanggup merompak barang-barang di Pajak Gadai Islam (Ar-Rahn). Sepatutnya, lebih ramai pemikir Islam yang bangkit mendaulatkan Hukum Allah secara ikhlas tanpa mementingkan perbezaan fahaman politik. Siapa lagi yang diharapkan untuk mendaulatkan Islam jikalau bukan kita umatnya.

BICARA BUAT PEMIMPIN


Setiap pemimpin akan disoal akan kepemimpinannya. Dalam solat, imam adalah pemimpin. Dalam sebuah kenderaan, pemandu adalah pemimpinnya. Manakala dalam institusi kekeluargaan, bapa atau suami adalah pemimpinnya.


Secara mudahnya, pemimpin mesti bertanggungjawab terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Pemimpin yang sejati tidak pernah meminta dihormati tetapi sentiasa meghormati. Tidak pernah meminta orang lain bersabar tetapi dirinya sentiasa bersabar. Tidak pernah meminta kemudahan, habuan dan lain-lain ganjaran tetapi menyediakan kemudahan, habuan dan lain-lain ganjaran untuk orang-orang yang dipimpinnya.


Pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sentiasa bertasbih mohon diberkati, bukan untuk diri sendiri tetapi dirinya untuk berbakti dan menabur keringat sebelum menemui Illahi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...