Wednesday, October 28, 2009

Berkokok Berderai-derai...


Swing Tok Guru nampaknya menjadi.Ramai di kalangan pemimpin UMNO memberi respon beraneka warna,merah,merah darah ikan,biru,biru air laut,kuning, oren dan berbagai lagi.Cerita Ibrahim Alipun terkambus,cerita bajet 2010pun malap.Semua tertumpu kepada cerita yang diistilahkan oleh media sebagai krisis kepimpinan PAS, betul atau tidak wallahu 'alam.
Sememangnya TG telah memilih platform yang salah apabila menulis dan berbicara tentang pemimpin-pemimpin Atasan PAS. Sepatutnya, teguran sedemikian dibisikkan dalam perjumpaan yang sama ada rasmi ataupun tidak rasmi sesama mereka. Saya percaya para pemimpin PAS di kalangan individu yang boleh menerima teguran. Tambahan pula teguran dari seorang yang amat berpengalaman dan perwatakan serta peribadi yang cemerlang.
Namun begitu, lihatlah ia dari sudut yang positif dan anggaplah ia sebagai suatu amalan yang telus.Usah hiraukan kokokan-kokokan nakal yang selalu mengintai-intai peluang bagi merebah dan menghancurkan lawan.

Sunday, October 25, 2009

Teguran Untuk Kebaikan


Tiada seorangpun manusia sempurna, jadi mengapa melatah dan membiarkan pihak lawan mengambil peluang menghentam serta meracun pemikiran penyokong-penyokong, khusus 'orang di atas pagar' daripada mendekati PAS. Kata PAS sebuah wadah yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup, jadi apabila diberi pandangan yang tidak memihak kepada individu-individu tetapi demi mendaulatkan penubuhan wadah Islam terimalah dengan lapang dada. Ketepikan kepentingan diri sebagaimana Saidina Abu Bakar As-Siddiq sanggup digigit binatang berbisa demi mempertahankan Nabi Muhammad S.A.W semasa bersembunyi dari kaum musyirikin Quraisy.
Cuba kita sama-sama soroti kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990, siapa yang mula-mula isytiharkan emolumen dan segala faedah saraan yang layak diperolehinya dipotong 45%. Untuk faedah apa tindakan sedemikian dibuat kalau tidak untuk mengasuh hatinya supaya tidak temae (tamak) kepada habuan dunia. Cuba kita geledah dan pantau di serata alam dan lihat para pemimpin daripada peringkat bawah sehingga menjulang ke atas, pemimpin mana yang sanggup hidup dalam rumah papan kekampungan? Itu yang saya nampak, saya kenal Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui kuliahnya,ceramahnya,catatan dan bahan-bahan bercetak lain yang ada hubungan dengan beliau. TG tidak kenal saya walaupun kami pernah bersalaman di beberapa majlis TG. Jadi, tiada manfaat untuk diri saya jikalau saya mempertahankan tindakan TG.
Namun, jauh di sudut hati, saya melihat apa yang ingin disuarakan oleh TG adalah demi untuk 'membuang karat' yang hinggap di bejana wadah Islam ini. Tarbiah mesti dimulakan kembali dan kembalikan roh jihad yang menuntut setiap hamba-Nya mendaulatkan Islam walaupun diBENCI oleh orang-orang kafir. Buat apa sokongan mereka, jika kita masih tidak boleh mendaulatkan suruhan Allah yang sudah muktamad?
Bertitik tolak dari situlah, saya rasa TG mengambil tindakan yang mendedahkan dirinya dan wadah yang diperjuangkannya kepada asakan liar. Saya tidak hairan dengan ulasan para pemimpin parti lawan tetapi bagi para pemimpin PAS,cuba ketepikan kepentingan lain tetapi fokus kepada matlamat asal yang selaras dengan Islam.
Saya hanyalah ahli dan penyokong PAS dan selama hidup 43 tahun ini tidak pernah lagi mengundi selain daripada PAS. Semasa PAS menang besar pada tahun 1990, saya di Kuala Lumpur tetapi pulang ke Kelantan untuk sama-sama mengundi. Walaupun semasa perjalanan pulang ke KL, bas yang saya naiki rosak dan menyebabkan saya dan penumpang lain terkandas di dalam Negeri Pahang dari jam 12.00 tengah malam sehingga jam 7.00 pagi. Kemudian, saya terlepas beberapa kertas Peperiksaan akhir semester, namun saya reda dan lega... wadah yang memperjuangkan Islam menang.
Bukan sahaja sebagai Mursyidul Am PAS tetapi tanggungjawab menegur ini juga menjadi kewajipan para ahli PAS. Ibu bapa tegur anak-anak kerana sayang dan tidak mahu memusnahkan anak-anak. Jadi, pada saya kerana rasa sayang pada PASlah maka teguran dan tindakan membetul dan memperkasakan PAS wajib diambil. Bukankah "Islam Untuk Semua"? Jadi, lapangkanlah dada dan jika kita rasa kita tidak disukai makmun sebagai imam mereka, maka bersopan dan beradab selaras dengan disiplin yang digariskan oleh agama Islam seperti yang pernah kita ajar dan tarbiahkan kepada anak-anak atau murid-murid kita, jika perlu kita undur dan letak jawatan maka lakukanlah tetapi perjuangan kita jangan pudar. Komitmenkan sokongan dan kerja keras walaupun sebagai ahli biasa atau sekadar penyokong. Apa yang penting, demi mendaulatkan Islam. Wallahu a'lam.

Saturday, October 24, 2009

Abah,Kakak Dapat Hamper...


Semalam, Sabtu (24 Oktober 2009) saya membawa anak-anak ke Perpustakaan Awam. Itulah permintaan mereka apabila hujung minggu. Sedang asyik mereka membelek buku, tiba-tiba datang seorang wanita yang sudah tentu pegawai perpustakaan memanggil beberapa orang kanak-kanak termasuk salah seorang anak saya supaya menjawab ujian yang mereka sediakan.

Alhamdulillah! anak perempuan saya berjaya menjawab kedua-dua kertas soalan itu dengan tepat. Maka dia dihadiahkan sebuah hamper. Sememangnya, pelbagai kaedah disediakan oleh pihak perpustakaan bagi menarik minat kanak-kanak dan pembaca. Cuma apa yang saya lihat masih banyak kekurangan bahan bacaan yang terkini. Satu lagi, ruang bagi meletakkan kenderaan perlu disediakan untuk keselesaan pengguna. Jelasnya, satu lokasi yang sesuai perlu diikhtiarkan. Wallahu 'alam.

Thursday, October 22, 2009

Manisnya Iman...


Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih... komitmen Pakcik Derani Yaakub, 76 tahun dari Gerik,Perak bersama isterinya, Siti Zulaikha Abdul Latif, 66 tahun menabung wang hasil menoreh getah selama 20 tahun amat menyentuh hati. Matlamatnya, hendak menyahut seruan Allah s.w.t. Allahu akbar.

Monday, October 19, 2009

Mana Penguatkuasa?


Setiapkali saya melalui jalan Kuala Krai -Kota Bharu, maka mata sentiasa disemak-samun oleh para penunggang motorsikal yang secara bebas tidak memakai topi keledar baik lelaki mahupun perempuan, sama ada masih muda remaja ataupun yang sudah berumur hampir senja yang bergelewatan mencelah deretan kereta. Mereka seringkali menunggang motorsikal secara bahaya dan kekadang memboncengkan kanak-kanak di belakang meredah kesibukan jalan raya, mengetepi keselamatan dengan menunggang mengikut peraturan jalan raya buatan sendiri.

Persoalannya, tiada penguatkuasaan undang-undang ke di daerah ini? Rasanya, sudah menjadi suatu pemandangan seperti di negara jiran, bebas di jalan raya utama tanpa memakai topi keledar.

Wednesday, October 14, 2009

Ikhlas Walaupun Sedikit


Sudah menjadi budaya peraih orang Kelantan barangkali setiapkali kita membeli sayur-mayur atau lauk-pauk maka diberikan kita lebih sedikit. Walaupun sekadar sebiji cili besar atau seekor ikan selar kuning namun nilai murni tetap ada. Mungkin keuntungan hasil titik peluh mereka tidaklah seberapa tetapi denyut nadi mereka masih berbaur perasaan syukur kepada Allah.

Semasa saya kecil dahulu, seringkali saya ditugaskan oleh mak ke kedai menjual sebeg guni kecil getah 'segerap' yang dikumpul dari bekuan alur torehan pisau menoreh. Selalunya sebeg itu dapatlah RM1 dan taukeh getah berbangsa Melayu itu akan memberi saya lebih sebanyak 20 sen untuk gula-gula katanya. Bukan 'menggula-gulakan saya' rasanya.

Itulah salah satu nilai murni tradisi masyarakat Melayu Kelantan yang pernah saya alami dan belum pernah saya alami di lain-lain negeri di luar Kelantan. Nilai sebeginilah perlu dicerapkan dan ianya rasa saya sudah sebati dengan individu berkenaan sedari kecil lagi hasil asuhan ibubapa.

Saturday, October 10, 2009

Pohon Kebaikan Di Dunia Dan Kebaikan Di Akhirat











Tahun lepas, semasa Pok Mudo terkial-kial masuk kampung keluar kampung, masuk reban keluar reban, assalamu 'alaikum sana, assalamu 'alaikum sini mencari dua ekor kambing untuk 'akikah anak saudara Pok Mudo bukan main payah lagi. Akhirnya, dapat seekor kambing jantan dan seekor biri-biri yang cukup syarat untuk akikah. Syukurlah. Pada masa itu, terfikir macam-macam, kenapa tiada seorangpun yang sanggup mengusahakan perternakan kambing dan biri-biri untuk tujuan akikah. Bukan sahaja dapat hasilnya tetapi turut mendapat pahala jikalau niat lillahi ta'ala kerana akikah itukan ibadat.
Minggu lepas, Pok Muda dengan adik ipar Pok Mudo mudah sahaja mencari dua ekor kambing untuk akikah anaknya. Apa yang Pok Mudo bebelkan tahun lepas telah diusahakan seorang ahli korporat anak tempatan. Apa yang menarik, beliau bukan sahaja mengusahakan perternakan kambing tetapi juga ternakan lembu malah beliau turut mengusahakan pusat pengajian tahfiz al-quran yang akan dilaksanakan 'pecah tanah' pada 11 Oktober 2009 (Ahad), hari ini bersebelahan tapak perusahaan kambingnya. Kita sama-sama doakan kejayaannya. Amin!

Sunday, October 4, 2009

Ada Petua Juga


Semalam, saya berborak-borak dengan seorang sepupu yang sekarang berkecimpung dalam bidang pembinaan. Bercerita tentang langkah-langkah yang akan diambil nanti dalam menyiapkan projek rumah adik hensemku (dahulu diceritakannya kepada anak-anaknya hensem tetapi selepas demam semasa sekolah rendah jadilah rupa semacho yang ada ini). Kataku, oleh kerana ruang kiri kanan rumah terlalu sempat dan jenkaut tidak dapat masuk maka kenalah tukang-tukang menggunakan tulang empat kerat untuk menggali lubang bagi membuat tapak menara tangki air.
Di sini, sepupuku mula membuka cerita; katanya memggali lubang ni ada petuanya supaya sang katak tidak bersarang di dalam sana. Pengalaman pertamanya menggali lubang, penuh dengan katak dan akhirnya lubang itu dijadikan tempat membuang sampah-sarap sahaja.
Apa petuanya, katanya semasa berada di dalam lubang yang digali tadi jangan melepaskan bom...(berkentut le...). Tergelak saya mendengarnya, apa-apapun itu petuanya... secara kebetulan atau tidak wallahu 'alam. 'Seekor katakpun udah bengit dibuatnya' apatah lagi kalau udah berkawan-kawan.

Saturday, October 3, 2009

Pongahnya...


Cerita bab pongah ni, memang indah. Arwah bapa pernah cerita tentang seorang suami yang pongah. Suatu hari, si suami dengan isterinya naik bas untuk ke bandar KK. Tiba masa konduktor bas minta duit tambang, si suami bertanya;

"Berapa harga tambang?"

"Seringgit seorang, pakcik"

"Dua orang ni, takkan tak boleh kurang sikit, bagi seringgit lima puluh sen boleh?"

Sambil tersenyum, konduktor bas tadi bersuara;

"Tambang harganya tetap dah pakcik"

Pakcik tadi diam terus sambil menghulurkan wang sebanyak dua ringgit.

Apabila bas telah sampai di Pasar Besar KK, isterinya hendak turun, lalu disergah oleh suaminya;

"Tunggu dulu, jangan turun...mintak kurang sikitpun tak bagi...biar kita turun di stesen bas" gerutu sang suami lagi.

Padahal harga tambang ke KK sama sahaja sama ada turun di Pasar Besar ataupun di stesen bas yang jauhnya di antara 5 hingga 10 minit berjalan kaki mengikut luas langkah masing-masing. Disebabkan pongahnya, maka mereka sanggup berpatah balik dari stesen bas ke Pasar Besar dengan berjalan kaki.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...