Wednesday, January 27, 2010

Orang Bijak Akan Bertindak Secara Berhemat


Saya teringat dalam satu buku karangan al-Imam Ghazali,yang memberi contoh seperti berikut,serigala tidak akan menyerang biri-biri yang di dalam kumpulannya tetapi akan menyerang biri-biri bersendirian. Wallahu a'lam.
Apapun, jikalau kita rasa hanya kita yang paling pandai, hanya kita yang berjuang dan kasih kepada agama, hanya kita yang takut pada Allah, maka kita silap...
Mengapa kita amat dituntut supaya bersolat berjemaah jikalau tidak ada sebab atau hikmatnya? Mengapa kita disuruh mengikut solat Imam semasa di dalam solat dan jika hendak bermufaraqah dengan solat Imam ada tertibnya? Banyak lagi nilai-nilai dalam solat yang Allah tuntut kita praktikkan dalam hidup ini. Jadi, carilah jalan penyelesaian yang bijak dan tidak memburukkan saudara kita yang lain. Allah tidak mengantuk dan tidak tidur...Wallahu 'alam.

Sunday, January 24, 2010

Tolak campur

Formula mudah BN:

- BN = $ ehsan
+ BN = royalti

Terengganu asal royalti,bila tolak BN jadi wang ehsan, terima BN jadi royalti balik.
Rakyat tak reti-reti....walaupun selalu memerhati. Sekarang,perlu lebih berhati kerana ramai yang rendah pekerti.

Saturday, January 23, 2010

Gila Gula

Semalam sudah terkial-kial. Hari inipun sama, empat lima kedai dan pasar raya dijelajahi namun hampa..."Bahana apa pulak ni?" gerutu hatiku. "Nak naik banyak mana lagi baru nak jadi macam biasa?"marahku lagi. Apa tidaknya, hendak cari gula pasir semua habis.Kesian mak, gula tinggal sekilo dan peknya baru buka pagi tadi. Aku masih tak berjaya hendak beli untuknya. Bila isu ni dibangkit, jawab pemimpin hendak suruh rakyat kurangkan makan gula, betul ke...? Kadangkala boleh jadi gila kerana gula...

Monday, January 18, 2010

Tiada Lagi Keindahan Itu


Saya tidak pernah jumpa kanak-kanak sekarang menggosok dan menenyeh-nenyeh wang syiling dengan tumit kaki ke tanah. Saya juga tidak jumpa lagi kanak-kanak sekarang bermain kereta buatan sendiri dengan berodakan tin-tin susu pekat manis dengan berchasiskan kayu serta nutnya getah urat atau tudung tin Milo dipaku pada sebatang kayu. Tiada kedengaran lagi mainan 'bedil buluh peleting' dengan berpelurukan buah cenerai. Semua itu mungkin telah menjadi sejarah. Kanak-kanak sekarang lebih gemar bermain 'games'melalui internet atau melalui media-media elektronik lainnya.
Kalau semasa saya kanak-kanak dahulu, alangkah seronok berada di atas bajak yang ditarik oleh kerbau di dalam petak sawah. Alangkah segar bau padi masak yang ditiup angin semasa di atas dangar (pondok di bendang atau ditengah bendang). Alangkah merdu bunyi tin-tin susu pekat manis yang dicucuk dan diikat di sebatang galah lalu dipacak di tengah sawah bergendang kerana berasak sesama sendiri apabila ditarik tali yang mengikatnya. Indahnya, beburung yang bertempiaran apabila dikejutkan oleh kawanan tin-tin yang berleter panjang.
Kini tiada lagi keindahan itu...

Wednesday, January 13, 2010

Sekadar Menungan


Pagi tadi, semasa di dalam kereta saya terdengar berita yang dinyatakan oleh seorang TM Pelajaran tentang kurangnya guru Bahasa Inggeris. Rasa saya, isu ini telah lama dinyatakan dan ianya seolah-olah diulang nyata sahaja. Mengapa setelah bertahun-tahun masih "macam tu je?"
Semacam juga isu kekurangan doktor gigi,semasa saya di Terengganu dulu pernah di sebuah klinik kerajaan menampal keratan akhbar berkenaan seriusnya kekurangan doktor gigi. Peliknya, syarat untuk mengikuti kursus kedoktoran di Malaysia terlalu ketat dan menyebabkan ramai pelajar yang minat dan sepatutnya lebih layak daripada pelajar kedoktoran yang belajar di India dan Indonesia tidak tercapai cita-cita mereka (kalau salah telahan saya, tolong betulkan). Lantaran itu, graduan kedoktoran dari kedua negara ini lebih mendapat tempat dalam profesionnya. Wallahu 'alam.

Monday, January 11, 2010

Semuanya Ketentuan-Nya


Al-fatihah buat adik ipar adikku, seorang penuntut UPSI dan al-fatihah juga buat rakannya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya pada pagi semalam (11 Januari 2010,Isnin). Saya difahamkan adik ipar adikku dalam perjalanan pulang ke kampus setelah menjemput rakannya di stesen bas yang baru pulang dari bercuti di kampungnya (Tanah Merah,Kelantan).
Aku pernah berjumpanya telah lama dahulu, semasa beliau masih bersekolah menengah.Perwatakan beliau yang saya tahu ke arah mendalami ajaran Islam. Beliau sentiasa ke usrah,pengajian pondok dan giat berpersatuan. Kehilangannya rasa saya semestinya suatu kehilangan yang amat besar. Namun, Allah lebih mengasihinya. Semoga beliau dan rakannya ditempatkan Allah di tempat yang mulia. Amin. Itu kesudahannya,kita tidak tahu lagi kesudahan kita.Lantaran itu, berlumba-lumbalah mengejar habuan 'di sana' semasa kita masih bernafas dan berkederat. Wassalam.

Wednesday, January 6, 2010

Di Mana Noktahnya?


Kadangkala rasa benci hendak membaca akhbar harian, banyak sangat cerita jenayah; bunuh,rompak,ragut,rogol dan bermacam-macam lagi. Semakin NKRA diperkenalkan semakin bernanah dan berulat kejadian yang tidak berakhlak itu.
Benci makin menebal apabila wujud pula saman jutaan ringgit apabila rumah tangga mula roboh. Na'uzubillah...
Kebanyakan orang agama pula asyik bercakar sesama sendiri, masing-masing mencari kesalahan orang lain dan merendah kelulusan dan kepakaran orang lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...