Wednesday, February 17, 2010

Bersama Mengharungi Denai Itu


Teringat semasa di bangku sekolah,saya, kakak dan adik-adik selalu ke ladang getah bersama ayah dan mak. Sekurang-kurangnya kami dapat menolong mereka 'menyepat pok' dan mengutip susu getah. Selain itu, kami sering menolong mak dan ayah menebas sehingga pecah-pecah tapak tangan. Sering diserang 'peringat' sejenis serangga berbisa yang menyerang secara berkumpulan.
Saya tiada kemahiran menoreh walaupun beberapa kali mencuba dan ditegur oleh mak kerana 'melukakan' getah kerana takut nanti dimarah oleh Tok Mandur. Jadi selain kerja-kerja di atas, saya menolong mak 'menginci' getah(celup jari telunjuk dalam cat hitam dan titik di kulit batang getah yang telah ditoreh). Apabila penat, kami sama-sama meneguk teh o sejuk dan nasi dingin. Alangkah naifnya tetapi yang tidak tahan dan terpaksa bersabar serangan sang nyamuk yang bertali arus dan memekakkan telinga.
Pada masa itu, harga getah tidak se gah sekarang dan prosesnya pula rumit ~ sepat pok,toreh dan tunggu sejam dua sehingga getah betul-betul malas jatuh dalam mangkuk barulah di kutip susunya. Kemudian, di bawa ke 'Bangsal Mesin' dicampur dengan bancuhan cuka untuk dibeku, ditekan-tekan dengan menggunakan tangan supaya menjadi pepeh dan dimasukkan ke dalam mesin rata.
Seterusnya, dimasukkan ke dalam mesin bunga dan kemudian dijemur macam jemur pakaian. Selepas itu, bolehlah dijual. Sekarang, terus dibeku dalam mangkuk dan dijual.
Pada satu ketika, saya bersama ayah ke ladang getah.Ayah terus menoreh dan aku menyepat pok. Tiba-tiba ayah datang dan arahkan saya supaya cepat-cepat memanjat pokok getah. Pada waktu itu,kalau tidak salah saya baru darjah 6. Selepas itu baru saya tahu, rupa-rupa ada sekumpulan anjing liar berada berhampiran kami.

Tuesday, February 16, 2010

Kenapa Marah?


Apabila seorang isteri diceraikan suaminya kerana lama suami bersabar dan telah habis ikhtiar bagi menyelamatkan perkahwinan mereka, adakah wajar si isteri meleteri iparnya yang lain yang turut mengambil tahu tentang perceraiannya dan menuduh suaminya jahat kerana menceraikannya? Sepatutnya, jikalau dia benar dan berprinsip dia bersyukur kerana telah dilepaskan dengan baik. Inilah akibatnya kerana kita terlalu 'ujud (mengagumi diri sendiri)dan merasa diri kita lebih daripada orang lain. Wallahu 'alam.
Begitulah agaknya sikap seorang MP. Sentiasa mencari populariti. Wallahu 'alam.

Wednesday, February 10, 2010

Air..Air...


Hari ini,anak-anak ke sekolah mandi ala kadar saje. Air dari semalam lagi tidak keluar dari mucung paip. Yang keluar deras hanya angin sahaja dan memusing ligat jarum meter.
Keluar rumah, isu sama dibincangkan air...air...anak kecil...anak ramai dan macam-macam lagi.
Sampai di kedai nasipun cerita sama...air..air...logi besar pecah...tak de elektrik takpe lagi... dan macam-macam lagi.
Begitulah peri pentingnya makhluk Allah ini...air dan kita salah satu makhluk-Nya sentiasa memerlukan makhluk lain dalam hidup ini. Bersyukur dan sentiasalah bertoleransi...wallahu 'alam.

Monday, February 1, 2010

Anak Itu Amanah


Semalam, semasa menunggu anak di luar pagar sekolah sekonyong-konyong datang seorang budak sekolah lelaki menendang seorang budak sekolah yang sedang berdiri di hadapan saya. Fikir saya dia sedang bergurau namun saya tegur atas gurau 'biawak'nya itu. Kanak-kanak yang ditendang itu menangis dan saya menghampirinya dan baru saya tahu dia dibuli. Saya mengejar kanak-kanak yang membuli tadi namun dia lari menghilangkan diri. Dari kanak-kanak yang dibuli saya dapat tahu tentang budak pembuli tadi. Dia baru Tahun 3.
Kemudian,ibu bapa yang berdiri menuggu anak di situ memberitahu yang budak itu memang sudah terkenal dengan sikap pembulinya. Seorang bapa mendakwa dia pernah dipanggil ke Balai Polis gara-gara budak itu. Budak itu pernah meminta wang dari anaknya dan pernah menggunting baju sekolah anaknya. Malah menurutnya, budak itu makin berani pernah meludah di hadapan guru disiplinnya. Ayahnya sudah beberapa kali dipanggil ke sekolah namun tidak pernah datang dan tiada kerjasama. Menurut bapa seorang pelajar yang pernah menjadi mangsa bulinya itu lagi,sikap pembuli budak itu turut diwaris adik beradiknya yang lain. Pernah budak itu berkelahi dengan seorang budak dan abang-abangnya ikut campur.
Sememangnya, amat malang bagi ibu bapa yang membiarkan bahkan tiada mengambil tindakan apa-apa bagi membetulkan sikap anak-anak ini. Bukan sahaja menyusahkan orang lain malah turut memusnahkan anak-anaknya sendiri. Kita kerja berhempas pulas mencari rezeki untuk anak-anak namun pendidikan anak-anak tentang sifat-sifat murni kita abaikan. Wallahu 'alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...