Tuesday, December 28, 2010

Betul Ke Rakyat Didahulukan?

Di ambang 2011 ni,maka banyak perkara yang "rakyat didahulukan" mula diterjemahkan...Felda ...SUK selangor...????

Sunday, December 26, 2010

Peribahasa

Seperti melepaskan anjing tersepit...itu rasanya peribahasa yang sesuai untuk orang yang lupa budi orang lain...
Bila majoriti rakyat sudah beri undi, menang atas tiket yang ditandingi, kemudian khianat...keluar parti

Sunday, December 19, 2010

Redhalah Dengan Kehendak Rakyat


Dulu wujud Gelombang Biru di Terengganu, lepas itu diberitakan Gelombang Merah di Kelantan. Dan macam-macam gelombang di Perak semasa PR memerintah, kemudian Pulau Pinang dan Selangor. Alih-alih "Tenang" di Johor.
Hairannya, di negeri-negeri PR memerintah aje yang bergelombang. Jadi, siapa yang sebenarnya mencetuskan gelombang?

Wednesday, December 15, 2010

Kurang Manis, Perlebihkan Manis


Di antara alasan kenaikan harga gula kerana hendak mengubah budaya permakanan masyarakat Malaysia supaya kurangkan gula. Katanya, terlalu banyak gula boleh mengundang penyakit.
Lain ceritanya di Parlimen,mereka ini lebih gemar yang manis-manis. Kalau ada yang pahit, tawar, kelat dan berbagai rasa yang tidak enak berhempas-pulas mahu disingkirkan.Mana buruknya manis tadi?
Allah ta'ala ciptakan manusia yang kemudiannya dibekalkan pula agamanya (Islam)sebagai penasihat/peraturan untuk kesejahteraan. Masakan kalau manis semua tanpa masin sedikit,masam sedikit tentu tidak sedap.Wallahu 'alam.

Tuesday, December 7, 2010

Roda Hidup


Sememangnya, hidup ini bagaikan roda. Ada ketikanya kita berada di atas dan seringkali kita lupa ada ketikanya nanti kita berada di bawah. Wallahu 'alam
Hari ini kita mengutuk...esok-esok kita dikutuk
Hari ini kita menfitnah...esok-esok kita difitnah
Hari ini kita membelasah...esok-esok kita dibelasah
Hari ini kita memberi...esok-esok kita diberi
dan berbagai lakonan lagi
Apa yang perlu kita sedar, setiap lakonan kita ada pencatatnya...
Jadi, apa faedahnya kita menfitnah tentang status kesihatan orang lain?
Wallahu 'alam.

Saturday, December 4, 2010

Terima Kasih Kerana Dahulukan Kami ...


"Nak ke mana tu?" tegur Mak Munah sebaik sahaja melihat Pak Mail mencapai kunci motorsikal.
"Kedai..." sahut Pak Mail hambar.
"Molek la tu...belikan saya gula 2 kilo" pesan Mak Munah
"Pak...pak! nanti belikan Laili biskut gula ya.." Pak Mail hanya mengangguk dan berlalu.
"Hai pagi-pagi lagi Pak Mail" tegur Dollah bila melihat Pak Mail masuk ke kedainya. Pak Mail tersenyum tawar.
"Berikan aku 2 kilo gula, 1 pek biskut gula..." senyum masih tawar...
"Hai harga gula dah naikpun masih beli serba gula?" tegur sopian yang sedang membeli rokok.
"Aku tawarkan senyum aku je..." Sahut Pak Mail dan terus berlalu.

Saturday, November 27, 2010

Sikap Orang Kita


Pihak pengurusan sebuah masjid terpaksa membuat pengumuman semasa hampir masuk waktu Solat Jumaat tentang seunit takungan tempat memandikan jenayah yang dipinjam tetapi tidak dipulang-pulangkan. Kemudahan yang disediakan untuk kegunaan penduduk setempat itu masih tidak dipulangkan walaupun sebelum ini telah diumumkan oleh pihak masjid selepas solat waktu.....?????

Tuesday, November 9, 2010

Baju Merah


Teringat saya berita "Kumpulan Baju Merah" di negara jiran dahulu apabila melihat "Pengundi-pengundi Baju Merah" di Galas. Wallahu 'alam,

Sunday, November 7, 2010

Inilah Manusia Politik...


Apa-apapun, kekalahan calon PAS di Galas penuh dengan hikmatnya walaupun berbagai kekeliruan dan syak wasangka di kalangan pemimpin dan penyokong PAS. Kita perlu koreksi ke dalam parti dan diri kita sendiri. Biarlah helah lawan secara tidak sihat dan kita sedia maklum tentang tunggangan parti BN dalam menghadapi pilihan raya dengan memanipulasikan agensi-agensi kerajaan dan media massa. Orang-orang Aslipun nampaknya seperti menyertai 'acara-acara sukan' atau 'aktiviti lainnya' yang ditaja khusus dengan berbaju T merah, berlogo 1Malaysia percuma ke 'Majlis Membuang Undi".
Sebelum hari pembuangan undi, para pemimpin UMNO diingatkan oleh bos mereka supaya memberi tahu rakyat tentang jasa Kerajaan Persekutuan kepada rakyat. Terbalik nampaknya, sepatutnya Kerajaan Persekutuan berterima kasih kepada majoriti rakyat yang menyokong mereka...wallahu alam.
Hari ini, Pemimpin-pemimpin dari Kerajaan Kedah pula dituduh tidak mempedulikan mangsa-mangsa banjir. Strategi baru ke...?

Monday, October 11, 2010

Surau,Doa dan Wang Judi


Telah berlalu kekeliruan orang bukan Islam masuk ke dalam Surau ataupun ke dalam masjid.
Telah terjawab kemusykilan doa orang Islam untuk orang bukan Islam.
Sudah terlerai persoalan wang judi yang dikatakan diagihkan dalam bentuk bantuan kepada warga emas.
Ilmu Allah itu luas...
Jikalau tiada negeri yang diperintah oleh parti politik yang tidak semangkuk dengan BN maka saya percaya kita tidak dapat percambahan ilmu ini. Agama itu nasihat, maka sewajarnya kita kembali ke agama kita (Islam) agar menjadi kita hamba Allah yang sentiasa mendengar nasihat. Wallahu 'alam.

Tuesday, October 5, 2010

Biar Rakyat menentukan


Tarikh PRK N.45 Galas sudahpun diumumkan SPR, iaitu 26 Oktober bagi Penamaan Calon dan 4 November bagi Hari Mengundi. Kenapa kita heboh sangat tentang kemungkinan T.Razaleigh sebagai calon BN. Biarkanlah...lagipun memang dia orang UMNO, apa yang bising sangat. Tiada untung sama ada dia dicalon atau tidak kepada Pakatan.
Apa yang penting carikan calon terbaik sebagai calon Pakatan, khususnya calon dari PAS.Sudah-sudahlah menyibuk tentang siapa calon lawan,fokus kepada agenda Pakatan yang belum selesai dan mencari kaedah yang terbaik bagi memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat. Ini lebih penting dan bermakna dalam sesebuah pemerintahan. Buktikan, dakwaan,cakap-cakap lawan tentang Pakatan itu fitnah dan dakyah semata-mata. Wallahu 'alam.

Sunday, October 3, 2010

Galas Yang Perlu digalas

Peranan Televisyen
Setiapkali menjelangnya p/raya, sama ada umum atau PRK, memang saya merasa cuak melihat siaran televisyen.

Politikus
Orang politikpun sama, mana-mana politikus yang nawaitunya 'sama' bukan kerana Allah cuma berbeza lambang parti akan cenderung bertindak agresif. Wallahu 'alam. Situasi ini sebenarnya menyebabkan para pengundi seperti saya juga meluat. Hakikatnya, apabila diberi amanah hati kita sepatutnya merasa gementar kerana takut tidak dapat menunaikannya. Sebaliknya, mereka berebut-rebut bahkan tidak merasa bersalah apabila memperlekeh serta mencederakan orang yang mengugat kemahuan mereka.

Calon Galas
Apa yang difikirkan oleh pemimpin PAS tentang Tg. Razaleigh saya tidak tahu. Memang mereka kenal dengan beliau jauh lebih daripada saya tahu tentang Tg. Razaleigh. Saya tahu beliau bekas Menteri, orang yg membawa kes UMNO ke Mahkamah sehingga UMNO diharamkan,bekas pemimpin S46 yang pernah bertekad tidak akan berganjak dari perjuangannya walaupun tinggal beliau seorang dalam parti S46 yang kemudiannya kembali ke pangkuan UMNO.
Janganlah hanya kerana beliau bersetuju dengan tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan tentang royalti minyak maka kita sudah serba salah. Bagi saya, sahabat saya Dr. Zulkili Muhammad jauh lebih bagus. Saya kenal beliau semasa di bangku sekolah lagi. Bagi saya, beliau (Dr. Zul) seorang yang baik akhlaknya dan layak diangkat sebagai pemimpin. Wallahu 'alam.

Tuesday, September 21, 2010

Replika Cek 4 Bilion Yang Misteri

Kerajaan Negeri Kelantan diuji lagi, kali ini dengan replika cek RM 4 Bilion. Apa relevannya wallahu 'alam. Apa yang pasti, kejujuran dan pasrah ke hadrat Allah atas apa-apa tugasan kita secara komprehensif demi agama dan negara adalah sebaik-baik amalan. Apabila tanggungjawab diberi dan diamanahkan kepada kita tanpa diminta maka akan ada pertolongan Allah.

Monday, September 6, 2010

Apabila Hukum Allah diabaikan...


Tiada kata yang dapat saya lafazkan setiapkali melihat dan mendengar berita pembunuhan yang semakin menjadi. Hanya linangan air mata yang turut menyatakan simpati.
Apa yang saya nampak, manusia semakin ghairah mencabar hukum Allah. Sampai bila Hudud hendak dipolitikkan?
Belumpun reda isu pembuangan bayi,kita dikejutkan lagi dengan isu pembunuhan yang menyayat hati. Semoga kita di bawah lindungan Allah.

Saturday, August 28, 2010

Setakat Mana Sayang Kita Pada Islam?


Lelaki Melayu dan Lelaki Cina
Hari ini merupakan hari ke-19 kita di Negara Malaysia berpuasa. Semalam,semasa menunggu isteri berbelanja di sebuah kedai, saya menunggu sambil duduk di sebuah bangku di hadapan kedai milik bangsa cina bukan Islam. Lelaki berbangsa cina itu keluar kedai sambil bertanya kepada saya, "Mana itu 'Gemuk'?" tangannya menunjuk ke arah sebuah motorsikal yang diletakkan betul-betul di hadapan kedai alatan motorsikalnya. "Entah!" Sahut saya, sememang saya tidak kedai lelaki yang digelar gemuk itu. Malah pemilik kedai itupun saya tidak kenal.
Selang beberapa minit lelaki melayu bertubuh gempal muncul dari kedai sebelah sambil membimbit plastik hitam.
"Haaa...inipun kau..." jerkah lelaki cina tadi.
"Lapar...lapar la..." sahut lelaki melayu itu sambil menepuk-nepuk perutnya dan berjalan menuju ke motorsikalnya. Tangannya meletakkan plastik hitam ke dalam raga motorsikal dan secara tiba-tiba setin air berkarbonat tercicir dari plastik dan terus dikutipnya.Dari pandangan luar, di dalam beg plastiknya itu memang penuh dengan air tin berkarbonat dan dari pakaiannya saya tahu dia seorang formen kereta atau motorsikal.
Saya bersuara setelah melihat lelaki itu berlalu dengan tergesa-gesa dengan nada gurauan, "Hai...Gemukpun tak puasa ke...?"
"Kita mana tauu...mungkin dia beli untuk malam..." sahut lelaki cina tadi
Sebenarnya, saya malu bila lelaki melayu itu membeli begitu banyak minuman semasa matahari berdiri tegak atas kepala di bulan Ramadhan dan saya cuba hendak menyembunyikan rasa malu saya atas perbuatan lelaki melayu yang tentunya Islam di dalam negara Malaysia ini. Tetapi lelaki cina ini nampaknya cuba menyakinkan saya tentang pandangan positifnya terhadap tindakan lelaki melayu tadi dengan berbagai andaiannya.

Perempuan Cina Di Surau

Sekonyong-konyong heboh seMalaya seorang Wakil Rakyat berbangsa cina dan bukan beragama Islam diberi penghormatan berucap di dalam sebuah surau. Khabarnya YB tersebut turut menyampaikan derma untuk pembinaan pagar surau. Rasa saya semua orang sudah celik mindanya dan boleh melihat situasi ini dalam konteks yang positif sebagaimana lelaki cina tadi melihat lelaki melayu memborong air dari dalam peti sejuk di tengah hari bulan puasa. Selagi belum nampak dia menyuakan air ke mulutnya biarlah kita berfikiran positif.
Cuba kita fikir, bantuan kemanusiaan ke negara-negara Islam bukan sahaja dari sumbangan orang-orang Islam.Bagi saya, melebalkan YB tersebut sebagai biadab adalah satu tindakan yang tidak tepat bahkan kita sepatutnya dilabelkan biadab apabila memaki seseorang yang ingin membantu kita. Kenyataan TG saya sokong. Adakah tindakan itu menggambarkan sayangnya kita pada Islam? Islam untuk semua. Cuba kita renung, mengapa perempuan bukan beragama Islam berlakon sebagai Islam dalam drama-drama di dalam masjid tidak kecoh? Jadi jangan politikkan... Wallahu 'alam.

Sunday, August 22, 2010

Hudud Impian Kesejahteraan


Biar apapun alasannya,puasa pada bulan Ramadhan tetap wajib. Setiap kali menjelang Ramadhan berbagai kupasan dan ulasan tentang kelebihan Ramadhan sama ada dari perspektif kesihatan ataupun dari perspektif lainnya diketengahkan. Namun, penganut Islam dari keturunan melayu masih ramai yang tidak puasa, bukan sekadar makan di siang hari malah lebih biadab merokok yang turut melemaskan orang yang berpuasa.
Jadi, kita tidak hairan mengapa manusia dari penganut agama selain Islam ragui ataupun sangsi atau tidak jelas atau keliru tentang hudud kerana penganut Islam sendiri yang dari keturunan melayu masih keliru dan takut-takut tentang hudud.Malahan tiada kupasan atau ulasan secara langsung atau rakaman melalui massa media tentang kebaikan atau hikmat hudud.Tegasnya, kita tidak hairan mereka yang dari penganut agama lain mengatakan "Hudud Impian Peribadi TG Nik Aziz" kerana mereka tidak beriman.
Apapun alasannya, hudud dari Allah dan saya yakin 100% mampu menangani gejala sosial yang makin parah. Kelemahan yang mungkin wujud adalah daripada pelaksanaannya sahaja, kerana kita manusia ada kelemahannya. Namun lebih baik dilaksana daripada hanya dibaca di kitab-kitab. Wallahu 'alam.

Saturday, August 14, 2010

Apabila Tepuk Dada Tanya Selera...


Syukur pada Allah, hari ini hari kelima kita berpuasa di bulan Ramadhan.Puasa amat besar pengertiannya dan berbagai keberkatan datang bersama Ramadhan.Sememangnya, bulan Ramadhan penghulu segala bulan.
Namun,sudah menjadi budaya orang kita agaknya di bulan inilah mereka melayan nafsu makan. Hari pertama puasa, berbaris panjang menunggu dan ada yang berebut-rebut ingin mendapatkan murtabak. Mengapa tidak di bulan-bulan lain. Di bulan inilah masing-masing berkongsi mencadangkan menu-menu masakan. Wallahu 'alam.

Wednesday, August 4, 2010

Di mana Ada Kemahuan ...


Emakku seorang yang tabah dalam serba serbi. Semasa aku kecil lagi, emak menyedari kelemahannya yang tidak dapat membaca al-quran dengan tartil. Malahan tidak pernah ke sekolah, lantas emak tidak pandai membaca dan menulis. Lantaran itulah emak bersungguh belajar mengaji al-quran sampai sekarang dan belajar agama.
Kesungguhan emak bekerja, menyara anak-anak dan beribadat tidak ada noktahnya. Allah maha besar, emak diberi peluang menunaikan rukun Islam yang kelima di Baitullah pada 2004 dalam kurniaan kesihatan yang baik.
Hari ini,aku amat bangga dan semakin kagum dengan kesungguhan emak. Emak telah di'up gred'kan oleh gurunya. Emak telah diamanahkan sebagai salah seorang ahli bagi mana-mana majlis khatam al-quran yang gurunya dijemput. Malah emak diamanahkan turut membaca dua surah daripada al-quran bagi majlis tahlil. Syabas emak, kami bangga dengan emak.

Saturday, July 31, 2010

Sila Pandang Belakang...


Terkejut juga Pak Muda bila mendapat berita anak saudara perempuan berusia 4 tahun hilang hampir sejam di sebuah pasar raya. Terus Pak Muda telefon ibunya, adik perempuan bongsu Pak Muda. Bla...bla...
Semalam, asyik Pak Muda,isteri dan anak-anak mencuci rumah adik yang belum siap maka setelah hari hampir maghrib tambahan pula hujan masih turun, sekonyong-konyong seorang anak perempuan kelima Pak Muda yang berusia 3 tahun tiada. Puas dicari dan dipanggil, tiada. Hati mula berdebar...
"Kakak... abang pergi tengok rumah nenek..." arah Pak Muda.
Di rumah nenek, Mak Long bercerita semasa dia berlari-lari anak balik dari rumah adik itu, dia terpandang ke belakang dan melihat anak perempuan Pak Muda berlari-lari mengejarnya dalam hujan. " Hush...nasib baik aku pandang belakang"...dengus kakak Pak Muda.
Pak Muda bersyukur sangat...

Tuesday, July 27, 2010

Politik dan Guru


KSN telah beri lampu hijau kepada guru-guru gred DG41 hingga DG48 untuk menyertai parti politik. Berbagai maklum balas diberikan oleh orang ramai. Ada yang pro dan tidak kurang juga yang kontra.
Bagi saya,guru-guru yang pro BN sahaja yang akan nampak aktif dan ini akan membuka peluang untuk mereka memancing 'pengundi muda'. Apa tidaknya, jika ada yang aktif dalam parti pembangkang dalam konteks persekutuan,berbagai kekangan menunggu dan berbagai kesulitan dalam kerjaya mungkin terpaksa dihadapi. Ini kerana tandusnya etika profesional.
Saya pernah diberitahu oleh seorang kawan yang juga merupakan seorang kontraktor,
Katanya: "saya pernah disenarai hitamkan selama setahun oleh sekolah**** kerana saya didapati memegang jawatan di peringkat cawangan dalam parti pembangkang"
Katanya lagi:"...sekarang ni yang lebih berkuasa orang-orang bawahan di sekolah tu bukan pengetua. Sungguhpun mereka ni hanya Pekerja Am, Pekerja Awam Pejabat di sekolah tetapi mereka berjawatan dalam parti di bahagian masing-masing.Mereka nilah yang selalu memain peranan".

Itu masalah kontraktor berpolitik yang bukan penjawat awam. Cuba bayangkan jika guru-guru yang juga penjawat awam ini berpolitik di pihak pembangkang.

Jikalau golongan ini sudah berpengaruh dalam membuat keputusan jadi bagaimana agaknya nanti peranan gred 41-48. Senario ini yang mungkin akan menjadikan sekolah sebagai gelanggang politik lebih-lebih lagi sebelum kebenaran inipun sudah penuh benda parti politik di pagar-pagar sekolah. Bagi saya,guru-guru dahulu berpolitik untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah. Jadi peranan politik guru sekarang ke arah mana? Tepuk belakang murid...tanya ayah awak undi mana...?

Saturday, July 24, 2010

Bila Sudah Di Puncak


Mengikut kata-kata orang tua dulu-dulu, keladi jika selalu dilangkah makin kuat gatalnya. Rebus macam manapun gatalnya masih terasa. Itulah agaknya ada peribahasa "tua-tua keladi" dan lagi " seperti mencurahkan air ke daun keladi". Mungkin anda ada banyak lagi informasi mengenai keladi.
Apa yang hendak saya fokuskan tentang manusia yang ada tabiatnya lebih kurang keladi ini. Bukan "miang-miang keladi" tetapi asyik suka mencelah dan gatal-gatal mulut. Yang itu tidak benar, yang ini tidak betul. Lantas dirinya sahaja yang sempurna dan layak menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan faham. Wallahu 'alam.
Tetapi awas, yang di puncak itu akan jatuh juga ke bumi.

Saturday, July 17, 2010

Carilah Alasan Lain...


Berubahkah budaya pemakanan rakyat Malaysia? Semakin sihat agaknya rakyat Malaysia selepas harga gula dinaikkan.
Kita lihat harga rokok setiap tahun naik begitu tinggi, berubahkah dan semakin menurunkah kadar perokok? Bahkan perokok di kalangan remaja yang masih bersekolah masih tidak dapat dibendung. Wallahu 'alam.

Monday, July 12, 2010

Tekan Menekan


PRU ke-13 semakin hampir maka bermulalah upacara tekan-menekan. Serang mati-matian dengan pelbagai senjata sama ada yang tajam ataupun yang tumpul. Senjata disasar ke merata tempat dan ceruk melalui pelbagai medium. Akal mula tumpul akibat didominasi oleh nafsu yang mula mengasah dan menajamkan fitnah dan keaiban insan. Matlamatnya, mahukan musuh rebah dan tersungkur kalah. Itulah keletah manusia di alam ini yang telah diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini. Retoriknya pula berbagai, berapi-api menyambar dan membakar setiap yang alpa. Inilah yang terjadi bila akal hilang warasnya... Wallahu 'alam.

Wednesday, June 30, 2010

Tunggu... Lihat


Selepas penyertaan 40 orang yang digelar ulama muda ke dalam UMNO, kita tunggu dan lihat hasil perubahannya. Bertudungkah semua pemimpin wanitanya? Tidak bersalamankah lelaki dan perempuan ajnabi seperti selalunya? Apa yang teramat penting, adakah ruang untuk Undang-undang Islam seperti (Hudud) dilaksanakan.
Mampukah 40 orang ingin merubah status quo UMNO yang didokong oleh ...entah berapa orang pemimpinnya. Yang pasti lebih 40 orang. Doa saya semoga berjaya. Wallahu 'alam.

Monday, June 28, 2010

Kita Milik Allah



Prolog
Sekejap tadi saya ke Kota Bharu kerana menyelesaikan urusan rasmi. setiba saya di hadapan Pejabat Khidmat Masyarat DUN Kota Lama, saya lihat seorang lelaki lengkap berseragam pengawal keselamatan, usia mungkin hampir 60 tahun terbaring kaku dengan mulut berbuih di tempat parkir motorsikal. Saya menghampiri tiga orang lelaki yang cuba membantu dan seorang daripadanya cuba merasa dengup nadi pengawal keselamatan. "Udah tiada" terang lelaki tersebut.
Setelah selesai urusan rasmi, saya keluar dan melihat orang semakin ramai mengerumuninya. Beberapa minit kemudian, Ambulans datang dan setelah diperiksa maka sahlah lelaki warga emas itu telah meninggal dunia.
Itulah hakikat hidup ini, maut berada di mana-mana. Bersedia atau belum itu bukan persoalannya. Jadi, sementara masih berpeluang menghirup udara di dunia ini buru dan amalkan sebanyak mungkin kebaikan.
Ulama
Ulama itu hanyalah panggilan dan gelaran yang diberikan sama ada ianya layak ataupun tidak, Allah sahaja yang mengetahui. Sungguhpun begitu, mereka juga manusia yang mempunyai naluri masing-masing. Biarlah mereka pilih jalan mereka kerana mereka telahpun ditunjukki dengan ilmu mereka.
Apa yang penting,pejuang parti Islam tidak perlu bersungguh-sungguh mengkritik dan melayan fenomena ini. "Buang masa". Sama ada yang dipanggil ulama itu tersohor ataupun tidak bukan persoalannya dan mereka bukan maksum. Kadangkala si penarik beca ataupun si petani lebih mulia daripada mereka.
Sepatutnya, kita koreksi parti kita dan perjuangan kita. Wallahu 'alam.

Wednesday, June 23, 2010

Semuanya Naik?


Lapor sebuah akhbar harian tempatan, harga ayam mungkin melambung sampai RM10 sekilo jikalau kerajaan mengeluarkannya sebagai barangan kawalan dan mungkin ia akan menjadi santapan golongan yang berada.
Nampaknya,lepas ni kalau nak makan ayam kenalah bela sendiri banyak-banyak. Tapi kena jaga elok-elok siang malam nanti kena curi lagi. Alahai, apalah nasib kita...

Sunday, June 20, 2010

Bila Sepi Berlabuh








Rata-rata manusia pada masa ini asyik bercerita tentang bola.Tapi aku,tak tahu nak bercerita tentang bola.Tengokpun idak, kalau bab main bola boleh join tapi bab tengok... entah tidak minat.
Di sini, aku ingin kongsi cerita tentang kita, "manusia" bila udah sampai peringkat "warga emas". Hanya ingin kongsi cerita sikit-sikit je...Walaupun minat bukan main pada bola...sanggup bangun awal pagi pada waktu insan lain sedang bersolat tahajud atau lena dibuai mimpi. Malah ada yang masih galak dengan karaoke. Namun masanya udah berubah, mata udah hilang ketajaman walaupun bercermin mata tebal dua inci. Telinga juga udah hilang nikmat mendengarnya, maka semuanya hambar.
Apa yang sangat membahagiakan ketika anak-anak dan cucu-cucu pulang menjergah. Hilang segala duka nestapa. Walaupun masa terlalu singkat dirasai semasa bersama namun amat bermakna. Hilang rasa bosan dan jemu kerana tiada apa yang boleh dibuat.Jikalau semasa ketiadaan anak cucu macam-macam perkara yang terlintas di kepala dilakukan mengikut gerak hati, yang penting tangan bekerja bagi mengeluarkan keringat dan untuk menggelakkan terlampau kuat tidur.
Itulah yang dapat dilakukan seorang warga emas bagi menghilangkan kebosanan semasa bersendirian.

Saturday, June 12, 2010

Peraturan Hanya Untuk Pelanggan?


Saya amat berterima kasih dan terhutang budi kepada warga kesihatan yang sentiasa memberi khidmat kepada para pesakit. Cuma satu yang saya musykil dari dulu sehingga ke hari ini baik di mana-mana Klinik Kesihatan Desa mahupun di mana-mana negeri di dalam Malaysia ini. Mereka adakan peraturan supaya menanggalkan kasut/selipar di luar sebelum masuk berurusan. Nampaknya bagus bagi mencegah sebarang penyakit yang mungkin menyerbu melalui sepatu.
Apa yang musykilnya, mengapa kakitangan mereka bebas bersepatu di dalam walau dari ceruk mana mereka datang hatta dari tandas? Peraturan dan kuman atau virus hanya merebak dari sepatu pesakit atau pelanggan mereka sahaja kah?

Sunday, June 6, 2010

Lepas Batuk Di Tangga


Jikalau yang hendak menikah, sila bawa kad jemputan perkahwinan 2 atau 3 hari sebelum majlis bermula ke Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk urusan pembelian gula. Begitu juga dengan peniaga, sila bawa lesen perniagaan. Itu lapor sebuah akhbar tempatan tentang kenyataan yang dikeluarkan pihak PPDN&HEP di Terengganu. Kalau orang hendak buat kenduri tahlil atau majlis yang tiada keluarkan kad jemputan macam mana?
Kenapa jadi begini? Kenapa tidak diselesaikan masalah ini secara menyeluruh? Sukakah melihat rakyat ke hulu ke hilir dan merayu dan mengemis gula dari kedai-kedai yang akhirnya sekilopun tidak dapat.
Satu lagi,setakat inikah peranan PPDN&HEP? nampak macam lepas batuk di tangga sahaja.

Tuesday, June 1, 2010

Bukan Itu Yang Kami Mahu

Yang kaki panjang sudahpun melompat,yang mulut tempayan sudahpun 'ditutup',yang kaki pancing sudahpun menerima 'habuan',yang melatah sudah menari. Jadi apa lagi?
Gula tetap disorok dan pelbagai kos hidup tetap naik. Rakyat yang berputih mata. Kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami melompat. Kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami bersengketa, kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami bertakhta, kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami berharta.

Monday, May 31, 2010

Rakyat Didahulukan?

Rata-rata rakyat mengeluh, gula tiada di pasaran, habis minyak kereta jelajah cari gula..."habis"...ye ke? Dup...dup...kos belajar kereta akan dinaikkan lagi...ye ke? Subsidi ditarik balik...ye ke?...bla...bla...naik...bla...bla...naik...huh...rakyat didahulukan...ye ke?

Saturday, May 29, 2010

Ke Mana Gula?


Mana peranan pihak berkuasa bagi mengatasi masalah kekurangan gula? Bulan ini sekilopun saya belum berjaya membeli gula. Apa sudah jadi? Macam-macam kerenah penjual yang kurang waras dipraktikkan dalam mengawal gula seperti minta surat nikah,kad pengenalan dan lainnya.
Sekarang, kalau tetamu bertandang ke rumah sediakan sudu (camca)kecil di atas piring alas cawan. Itu sebagai isyarat yang minuman itu belum sempurna (belum dibubuh gula). Kalau tetamu itu kebetulan bawa gula maka eloklah dikeluar dan dituang ke dalam cawan bagi menyempurnakan minuman yang belum sempurna. Jikalau cadangan ini dipraktikkan maka tetamu akan berusaha menyediakan peketkecil gula.
Apa-apapun rakyat marhain yang menjadi mangsa.

Thursday, May 27, 2010

Berjimat Atau Bakhil


Percaya atau tidak, inilah hakikatnya. Saya tidak pernah bertemu dengan hamba Allah yang sekikir ini. Semua benda dia berkira atau lokek. Pertama kali saya berjumpa dan bertandang ke rumahnya, saya rasa semacam ada kelainannya tentang dirinya dengan orang lain. Ini pandangan saya, mungkin orang lain tidak sependapat dengan saya. Saya tidak pernah diajak masuk ke rumah, apatah lagi disajikan dengan minuman (bukan saya hendak cuma adat orang kita).
Apa yang melucukan saya, suatu hari selepas solat maghrib saya ke rumahnya kerana ada urusan dengannya. Seperti biasa, saya hanya diajak duduk di beranda yang gelap tiada lampu dan tiada disediakan lilin atau pelita ayam. Saya menulis di atas lantai dengan diterangi cahaya lampu kalimantan yang berada di siling ruang tamunya yang mencuri keluar dari salah satu daun pintu utamanya.Apabila hamba Allah ini bingkas bangun ke dalam rumah kerana mencari rokok daunnya, saya berhenti seketika menulis kerana cahaya dihalang oleh kain pelikatnya yang menjadi layar wayang kulit. Mahu rasanya saya menangkap kunang-kunang untuk dijadikan lampu di berandanya. Namun, apakan daya kunang-kunang tiada lagi di kampungku.

Monday, May 24, 2010

Nama Lagi Kanak-kanak


Budak-budak masa kecil ni semuanya memang ringan tulang. Semua dia nak tolong termasuk tolong selerakkan benda yang belum selerak. Ada yang nak tolong lipat kain, tolong buat kuih, tolong bubuh nasi, tolong tuang air,tolong potong sayur dan macam-macam jenis tolong lagi. Umminya pun ada juga minta anak-anaknya tolong,"...tolong jangan kacau kerja Ummi boleh...?"

Saturday, May 22, 2010

Bicara Kaum Ibu



Sememangnya ibu terlalu peka terhadap serba-serbi tentang anak-anaknya. Apa yang berubah sama ada perangai ataupun pada fizikal anaknya,tercalar kulit,berkudis, berdaki semua ibu yang perasan.
Seorang ibu yang mempunyai anak yang akan ke alam remaja pernah memberitahu. Suatu pagi semasa masuk ke bilik anak lelaki yang baru Tahun 6 untuk mengemas. Matanya tertumpu pada gebar dan cadar yang melekat tompokan. Dia tersenyum, agaknya anaknya sudah mulai melalui alam baru. Apabila diangkat gebar, dia ketawa sendirian, rupa-rupanya terdapat botol gam yang terbuka penutupnya. Melimpah gam keluar melekat pada cadar dan gebar.
Semasa menunggu anak di luar sekolah, seorang ibu memberitahu dia ditanya oleh seorang ibu yang lain tentang kriteria calon menantunya. Katanya, dia suka menantu lelaki yang baik, solat dan bla...bla...menantu perempuan yang boleh rapat dengannya. Katanya, ibu yang bertanya itu memberitahunya yang dia mahukan menantu 'orang PAS'. Komen ibu tadi,dia pilih yang bersolat kalau orang Pas yang tidak bersolat tidak ingin bermenantu dia.
Itulah antara bicara kaum ibu yang sempat saya dengar dalam dua hari ini.

Wednesday, May 19, 2010

Yang Pertama Banyak kelebihannya


Teringat saya akan dialog Latifah dalam filem "Madu Tiga" arahan P. Ramlee apabila Jamil balik rumah dan minta sup kambing campur madu,lebih kurang begini;

"buruk-burukpun bini tua juga"

Monday, May 17, 2010

Apabila Rakyat Sendawa

Sendawa Hulu selangor milik BN tetapi berlainan sendawa Sibu. Di Selangor memang laju orang mengira sendawa, awal-awal sudah diumum jumlahnya, secara langsung pulak tu, siap dengan ulasan orang tu...orang ni. Berlainan di Sibu.Apa-apapun, begitulah sepak terajang politik orang negara kita. Entah berapa kali rakyat sendawa dalam satu masa masih disua bermacam juadah, yang akhirnya muntah...di Manek Urai 'muntah hijau',di Permatang Pasirpun muntah hijau...terbaru di Hulu Selangor entah macam mana 'muntah biru pekat' tetapi di Sibu 'muntah merah'.

Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Guru


Bila sudah berumurpun masih teringatkan zaman persekolahan. Kekadang jumpa cikgu-cikgu masa sekolah dulu seronok juga walaupun mereka udah pencen. Kita pula sudah menjadi bapa dan ada yang udah jadi gurupun."SELAMAT HARI GURU".

Sunday, May 9, 2010

Judi itu Tetap Haram


20 tahun TG N.Aziz menerajui pemerintahan Kerajaan Kelantan,kita lihat kesungguhan TG mengaplikasikan apa yang diajar dan dikuliahkan beliau di masjid-masjid, madrasah-madrasah dan di mana sahaja beliau berkuliah semasa belum menjadi MB. Salah satu perkara mungkar yang dicuci dari Negeri Serambi Mekah ialah judi.
Sedih saya apabila membaca laporan akhbar yang memetik kata-kata dari seorang Islam Kelantan yang ingin membenarkan permainan judi sempena perlawanan Bola sepak dunia. Apapun alasan, judi tetap haram. Baik ada lesen mahupun tiada lesen judi itu haram.
Sikap kebanyakan orang Kelantan pula suka gabungkan nama individu dengan perkara yang mudah orang kenal. Biarlah orang gabungkan nama kita dengan beruk kerana kerja kita melatih beruk panjat kelapa atau lainnya. Tapi jangan nama kita digabungkan dengan perkara-perkara mungkar seperti ***tahik judi atau ****bookie atau *****jjabil
Wallahu'alam

Tuesday, May 4, 2010

Dulu dan Sekarang


Teringat saya pada tahun 1973, apabila kami sekeluarga terpaksa berpindah dari tanah yang didakwa telah dimiliki oleh individu lain. Dahulu, tanah di kampung kami hanya diperintah begitu sahaja yang kemudian menjadi hakmilik.
Jadi, arwah ayah dan kawan-kawannya berderai (bergotong-royong)mengangkat rumah kami sejauh lebih kurang 500 meter ke tanah yang kami sekeluarga tinggal sehingga kini. Apa yang menarik, upahnya hanya semangkuk bubur kacang hijau dan air teh 'O'. Mereka gembira dapat bantu membantu. Tetapi kini, jika hendak pindah rumah, angkat rumah kira kaki...berapa RM sekaki...
Masyarakat sekarang lebih mementingkan fulus dari semangat persaudaraan. Lantaran fulus, maka mereka tidak malu melakukan apa sahaja...hatta sanggup jilat balik ludah mereka.

Sunday, May 2, 2010

Mana Pelanggan Diutamakan?


1 Jam Pertama RM2 dan RM1 bagi jam Berikutnya, itulah kadar bayaran parkir dalam kawasan Mydin K.Kerian, Kelantan. Saya berkesempatan berbelanja di pasaraya itu pada Sabtu lepas. Keadaannya lebih kurang Mydin di Bukit Besar,Kuala Terengganu. Memang ramai pelanggan tambahan pada hari Sabtu.
Apa yang tidak seronoknya bayaran parkir yang mahal. Bayangkan dengan pelanggan yang bersumbat-sumbat, berebut-rebut membuat bayaran dengan lemah gemalai juruwang yang sememangnya kena teliti nanti kena bayar balik atas kecuaian. Masa parkir berjalan, saya kena RM4 untuk parkir di tengah panas terik.
Fikir saya, baik ke TESCO, parkir percuma di tempat teduh.

Saturday, April 24, 2010

Kita Satu Badan


Siapa tidak sedih;
Ketika rata-rata pasangan suami isteri yang sudah bertahun-tahun berkahwin masih nekad berusaha dan bertawakal pada Allah agar dikurniakan anak daripada zuriat mereka. Tiba-tiba bertali arus kes-kes sosial yang berakhir dengan pembuangan bayi-bayi baik yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia dengan pelbagai cara yang amat kejam.
Siapa tidak sedih;
Ketika NKRA dilaksanakan, bermacam laporan tentang manusia yang menjadi mangsa kekejaman ragut,rompak,bunuh,rogol.
Sedih,malu,pilu dan berbagai perasaan meruntun;
Ketika 1Malaysia dilaungkan tetapi masing-masing sanggup menjadi alat "penyerang berani tanggung dosa" melempar fitnah,menjaja keaiban orang lain dan berbagai lagi demi kemenangan duniawi.
YANG PALING SEDIH;
Apabila orang yang arif dalam hukum hakam agama Islam sendiri tidak berusaha malah turut mengekang Udang-undang Islam dari didaulatkan. Wallahu 'alam.

Wednesday, April 21, 2010

Serangan Orang 'Sakit'

Pok Muda tengok macam cerita filem pulak apabila seseorang ahli geng penjahat yang ingin keluar dari gengnya kerana sudah insaf maka akan menghadapi masalah dan ujianlah ia. Bukan hanya dipulau malah nyawapun turut terancam. Dia akan diburu dan diserang habis-habisan. Jadi, elaklah diri dari terjebak atau terlibat dalam geng ini.
Apa yang penting,kita ikhlas untuk berubah ke arah kebaikan dan sentiasa mencari keredhaan Allah ta'ala. Biarlah mereka menyerang kita dengan pelbagai senjata media masa kini, itu sebagai mekanisme untuk meningkatkan lagi kualiti dan keimanan kita terhadap Allah ta'ala. Mereka tidak tahu keikhlasan kita dengan Allah, jadi biarkanlah mereka. Doa sahaja senjata kita.
Sememangnya, jalan menuju kepada kebaikan itu penuh dengan onak,duri,rebbe dan serba mak nike lagi. Tapi jalan kepada kejahatan itu, laju je...
Inilah ujian yang akan dilalui oleh orang yang sabar dan berkualiti. Yang rebah dan patah balik nasihat dan pimpinlah, selebihnya serahkan pada Allah. Wallahu 'alam.

Tuesday, April 13, 2010

Santapan Setiapkali Pilihan Raya


Tiap kali ada pilihan raya, sama ada kecil ataupun besar...ada aje orang keluar parti. Bukan sikit-sikit...bahkan sampai 200 orang. Kalau kita hitung...congak...patutnya parti lawan yang dok keluar parti tu tinggal sehelai-sepinggang agaknya? Kalau betulpun, rasa saya bagus juga daripada buat onar dalam parti baik keluar terus.
Satu lagi, lebih-lebih dalam PRK banyaknya kelemahan kerajaan negeri yang diperintah parti pembangkang dicanangkan. Selangor baru hampir sepenggal PR memerintah, dikorek yang keruntuhan sosial yang berpenggal-penggal tidak dapat mereka atasi semasa pemerintahan mereka dulu. Itulah hati budi orang kita.

Saturday, March 27, 2010

Mengigit Dan Digigit


Semenjak keluar dari sarang,kerap benar hamba Allah ini mengigit rakan-rakan lama. Malah sudah kerap memuji rakan baru dan bersedia untuk meminta maaf. Selepas ini, agaknya bila sudah lama berkawan dan mula tidak 'sebulu' mengigit lagi ke? Dan ke mana pula hendak mencari kawan baru untuk dibelai dan dipuji. Lumrah hidup, kekadang kita mengigit dan kekadang kita digigit.

Wednesday, March 17, 2010

Prinsip atau Pelesit?


Apa yang saya faham,Parlimen atau Dewan Rakyat merupakan tempat persidangan bagi mencari penyelesaian masalah rakyat dan negara.Ringkasnya, banyak permasalahan yang dihadapi rakyat perlu ditangani segera. Namun,kebanyakan ahli YB yang dipilih majoriti rakyat lebih cenderung menjaga kepentingan sendiri yang kononnya prinsip mereka. Kenapa tidak tunggu sehingga tempoh mereka sebagai YB tamat atau setelah Dewan dibubarkan, kalau betul-betul berprinsip. Tarik diri dari dicalonkan dan bertanding atas tiket Bebas.
Kini, perlakuan mereka seperti orang yang telah bercerai laki bini dan kemudian mengaibkan bekas pasangannya di khalayak ramai. Bermoral dan berprinsipkah begitu?

Monday, March 8, 2010

Kenapa Salahkan Orang Lain?


Pada saya, apa yang diucapkan dan dilakukan kita itulah sebenarnya yang merendah atau meninggikan martabat kita. Bukannya dari ucapan orang lain kerana penilaian itu berteraskan perlakuan kita.

Saturday, March 6, 2010

Cerita Anak-anak


Ketika mengutip pakaian seragam sekolah anak-anak untuk dihunbam ke dalam mesin basuh,biasanya Pak Muda periksa dahulu koceknya. Anak-anaknya macam-cam dia simpan sama ada dalam saku pakaian ataupun dalam beg sekolahnya.
"Kertas apa pulak ni..." Getus hati kecil Pak Muda tatkala memegang seluar anak lelaki yang tergumpal dengan kertas putih.
Apabila dibuka keronyotnya, "...???"
Hendak kata masuk peraduan kempen Anti Merokok, bukan begini kertas yang disyaratkan rasanya.

Wednesday, March 3, 2010

Malu,Dimalu dan Tidak Tahu Malu


Malu, sebahagian daripada iman. Jadi apa masalahnya? Lebih-lebih lagi malu untuk melakukan sesuatu yang yang maksiat.
Dimalu,selalunya dikaitkan dengan usaha-usaha hendak menjatuhkan seseorang. Maka dikenalpastinya mangsa serta dicarinya helah sebagai jalan hendak memalukan.
Tidak tahu malu, bersepah...orang lain bersungguh menuntut hak, dia tersengih-sengih menjaja namanya dan menghakmilikkannya.
Malu ada ganjarannya.
Dimalu ada ganjarannya.
Tidak Tahu Malu ada pengajarannya.

Monday, March 1, 2010

Achik





Achik, panggilan keluarga untuk anak perempuan saya yang ketiga. Hari ini, 2 Mac 2010ulangtahun kelahirannya yang ke-6.Perwatakannya di rumah seperti kanak-kanak yang lain riang dan mesra dengan adik beradiknya yang lain. Mungkin yang berbeza, perwatakannya semasa di luar rumah dan di sekolah amat pendiam dan hanya tersenyum apabila ditegur.
Pada awal persekolahannya, memang ramai guru yang merungut kerana dia tidak mahu bercakap tetapi sekarang "sudah okey' beritahu gurunya.
Petang kelmarin semasa di rumah,saya lihat dia asyik duduk di sisi basikalnya tidak berganjak. Selepas setengah jam, Abang Ngah masuk dan bertanya, "ngapa Achik nangis dekat basikal tu?"
Selang 10 minit kemudian, terdengar Alang (anak ke-5)terjatuh dan menangis. Cepat-cepat saya berlari dan mengangkatnya. Sambil mencapai botol susu yang bergolek di bawah perut kereta sempat saya menjeling ke arah Achik yang masih di sisi basikalnya.
"Ngapa Chik?" mukanya merah dan matanya berair.
"Ermmm...mmm... keluhnya..." sambil menunjuk ke arah kaki seluarnya yang melekat di antara rantai dan soket besar basikalnya.
"Laaa...ngapa tak panggil abah...?" Tanya saya .
"Kalau abah tak keluar kerana alang jatuh tadi macam mana? Sampai malam Achik duduk di sini...tu la orang suruh cakap..." leter saya.
"Chik dah suruh Ateh ngan Alang..."
"Ateh dah bagi tau...abah tak dengar..." komen anak ke-4 saya. Mungkin saya khusyuk tengok televisyen.
"OOO...patutpun Alang cakap war...Asyyik ...mmm...wat...ital..." Sambung isteriku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...