Sunday, August 23, 2009

Hargailah Ibadat Puasa










Alhamdulillah! Tak sangka, anak lelaki Pok Muda yang berada di Tahun Satu sudah berpuasa tanpa merengek. Pada mulanya risau juga apabila Umminya sering merungut risau, "Hai! macam mana nak suruh lekat puasa Abang Ngah ni? Asyik-asyik minta air".
Pada hari pertama, dia hanya bersahur segelas Milo Susu. Tetapi alhamdulillah berjaya dia bertahan sampai waktu berbuka walaupun asyik tidur aje. Semalam dan hari ini sudah mula aktif, menolong Umminya membasuh gebar. Pada waktu malamnya pula, masing-masing sibuk ingin berterawih di masjid~ suatu perubahan yang positif.
Inilah meriahnya puasa, kanak-kanak sudah turut mewarnai kenikmatan ibadat puasa. Apa yang difardukan Allah itu adalah yang terbaik untuk hamba-Nya. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk menutup setiap kelemahan kita. Wallahu 'alam.

Saturday, August 22, 2009

Rakyat Perlu Tahu


Ibu bapa calon BN bagi DUN Permatang Pasir mempertikaikan dakwaan terhadap anaknya. Beliau tidak puas hati dan mempersoalkan mengapa sebelum diisytiharkan sebagai calon DUN Permatang Pasir, isu-isu berikut tidak ditimbulkan? Kita tidak salahkan ibu bapanya, begitulah fitrah ibu bapa yang sayangkan anaknya seperti ibu bapa Kartika Sari. Cuma caranya berbeza. Apa yang penting dan pakcik mesti tahu, anak pakcik sekarang menjadi calon wakil rakyat, jadi rakyat berhak mengetahui ciri-ciri, keperibadian calon bagi mewakilkan mereka. Macam kita hendak temuduga bagi sesuatu jawatan, ada sesetengah jawatan yang memerlukan kita berseluar dalam sahaja semasa ujian fizikal, jadi bolehkan ibu bapa si anak yang menjalani ujian mempertikaikannya? Langkah terbaik, jangan layan sangat media yang cuba mencari sesuatu untuk bagi meng'clorox'kan kesan kotoran. Wallahu 'alam.

Monday, August 17, 2009

Anak Apa Pulak ye?


Apabila calon BN bagi DUN Permatang Pasir diberitakan lesen guamannya disekat maka berbagai-bagai helah dan cara dihujah dan dimanipulasikan bagi memperlihatkan 'bersih'nya calon mereka. Cuba kalau di pihak PAS, PKR atau DAP. Rasa-rasanya meletup dibakar dan dicanangnya. Ditambahkan pula dengan isu Kg. Buah Pala. Kalau di Manek Urai diisytiharkan Anak Emas, takkan di Permatang Pasir setakat anak angkat sahaja. Biarlah kita tunggu dan lihat.

Teringat saya pada sikap segelintir insan yang bergelar 'tukang', tidak kiralah tukang urut,tukang motor (mekanik la tu),tukang rumah, tukang lobi,tukang umpat dan berbagai tukang lagi. Selalunya hasil kerja dialah yang terbaik dan yang orang lain tidak menepati piawaian ...entah ...piawaian siapa... dialah kot. Begitulah standardnya... wallahu 'alam.

Sunday, August 2, 2009

Antara Dua Darjat


Semalam semasa saya bergunting rambut, seorang pelanggan kedai gunting melontarkan satu soalan kepada pakcik tukang gunting;

"Demo rasa ISA ni zalim ke?"

"Zalim benar nah..." spontan pakcik tukang memberikan responnya.

Beliau menyambung kembali;

"Tak zalim guano? kurung tanpa ccara... kalu betul-betul salah, dakwalah di mahkamah"

Saya teringat semasa saya belajar di salah sebuah IPTA dulu, seorang pensyarah yang kini bergelar profesor memberikan komennya tentang ISA, katanya;

"Kadangkala jika anak kita degil kita kurung dia, jadi pada saya ISA tak salah sebab untuk menyedarkannya".

Saya pada masa itu mendengarnya dengan cuak dan langsung tidak menghormati pandangannya yang tidak layak keluar daripada mulut seorang terpelajar sepertinya. Sepatutnya, apa-apapun pandangan biarlah menampakkan keilmiahannya. Walaupun umum telah mengetahui yang beliau sering diundang oleh stesen TV untuk memberikan komentar politiknya.

Dua pandangan ini semacam cerita seorang profesor yang merasa diri terlalu bijak masuk kampung dan diuji kecerdasan akalnya oleh seorang tua yang menghuni di kampung tersebut.

Selepas penat berceramah dan bersyarah, profesor tersebut cuba mengambil hati penduduk kampung dengan berborak-borak. Tiba-tiba datang seorang tua menegurnya;

"Tuan! saya dengar tuan ni seorang yang hebat..."

Kembang hidung profesor tersebut dan cuba tersengih.

"Boleh kita bermain satu teka-teki?" Soal pakcik tersebut.

Profesor tersebut terus mengangguk, "Boleh!boleh!"

"Kalau macam tu kita buat ketetapan" balas pakcik itu.

"Ketetapan apa?" Tanya profesor.

"Begini..." pakcik itu tersenyum lagi.

"Mula-mula biarlah saya beri teka-teki dan tuan hendaklah jawab. Jikalau tuan gagal menjawab dengan betul maka tuan perlu hadiahkan saya RM100. Kemudian tuan beri saya teka-teki pula, jika saya gagal jawab dengan tepat maka saya beri tuan RM10.00" jelas pakcik itu.

"Haikk...kenapa saya perlu beri RM100 sedangkan pakcik hanya RM10?"

"Tuankan orang bijak dan terpelajar, sedangkan saya orang kampung dan tiada pelajaran pula tu"

Profesor mengangguk-angguk bersetuju.

"Di dalam dunia ni, binatang apa berkaki tiga?"

Macam-macam jawapan diberikan profesor setelah berfikir panjang. Binatang cacat....bla...bla... tetapi satupun tidak tepat. Akhirnya profesor mengaku kalah dan menghulurkan RM100 kepada pakcik tadi. Lalu profesor bersuara;

"Sekarang giliran saya pula memberi teka-teki"

"Silakan tuan..."

"Binatang apa berkaki tiga?" Rupa-rupanya dia terlalu ingin mengetahui jawapannya.

Pakcik tadi tidak banyak cakap terus menghulurkan RM10 kepada profesor sambil tersenyum,

"Maaf tuan, saya memang tidak tahu..."

Jelasnya, hanya kejujuran yang akan memberikan jawapan yang tepat dan manfaat kepada semua. Wallahu 'alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...