Pada hari Jumaat lepas, kakak sulung saya bercerita tentang zaman kanak-kanaknya di hadapan anak lelakinya. Katanya, semasa dia berumur 7 tahun, arwah che' (ayah) membeli 2 pasang 'selipar jepun'; satu untuknya dan satu untuk Kak Ngah. Disebabkan sebelum ini mereka hanya 'berkaki ayam' maka kata Kak Long semasa dalam perjalanan untuk ke pasar, mereka terasa malu untuk memakai selipar, jadi mereka menyembunyikan selipar mereka di dalam semak daun kapal terbang. Mereka ke pasar berkaki ayam. Kami ketawa panjang. Apabila pulang dari pasar, mereka mendapati selipar mereka telah hilang.
Kak Long bercerita lagi, pada masa kanak-kanak dia mengepalai kumpulannya yang terdiri daripada Kak Ngah dan beberapa orang sepupu untuk pergi mengaji quran. Tapi mereka tidak sampai ke rumah guru quran tapi mereka masuk ke dalam semak pokok sagu. Masing-masing membuka rehal dan quran lantas membaca quran dengan nyaring. Apa yang penting, mereka mengaji quran walaupun tiada guru quran di hadapan. Peristiwa ini berlaku dalam tahun 60-an dan begitulah pemikiran kanak-kanak semasa itu.
No comments:
Post a Comment