Saturday, May 30, 2009

Keletah Anak-anak Apabila ...


Hairan betul! akhir-akhir ini anak lelaki saya seorang ini gemar benar ambil bedak talkum lalu dibasahkan dengan sedikit air (macam mengajar memasak pulak) terus dilumurkan ke muka. Motifnya, mahu menyakat adik-adik. Jadi poconglah kononnya, masing-masing ketawa terbahak-bahak.

Anak-anak yang perempuan pula dengan caranya yang berbeza. Apa yang jelas, setiapkali mahu baring maka kedua kakinya dimasukkan ke dalam sarung bantal. Hai inilah kerenah anak-anak saya yang semakin membesar atau mungkin kata orang 'bawaan' apabila umminya sedang sarat 8 bulan?

Apa-apapun, saya bersyukur dan bahagia dengan keceriaan anak-anak.

Thursday, May 28, 2009

Saudagar Ikan Keli


Semalam saya menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil dari Syarikat *****. Dia menjemput saya supaya menghadiri satu taklimat usahawan, iaitu bagaimana hendak memelihara dan menjadi pembekal ikan keli. Saya menolak pelawaannya kerana pada keesokan harinya saya perlu menyelesaikan kerja-kerja yang mustahak. Saya bertanya kepadanya dari mana beliau mendapat nombor telefon saya dan dia menjelaskan bahawa sudah menjadi budaya syarikatnya yang setiap peserta akan diminta mencadangkan nama dan nombor telefon sahabat handai atau kaum keluarga yang lain bagi menghadiri kursus tersebut.

Terfikir juga saya, bolehkah aku menjadi saudagar ikan keli? Saya mula hendak berangan-angan macam Mat Jenin tapi ...saya tiada '***** siput' dalam berbisnes ni...

Monday, May 25, 2009

Musim Kebajikan Tiba Lagi...







Balik kerja semalam, seorang anak saudara lelakiku bersuara;
"Pok muda! Ayahnik suruh Pok Muda hantar gambar padanya"
"Gambar apa?" Soalku
"Nanti orang hantar ke telefon Pok Muda"
Bila telefon aku berbunyi,
"Hah! Nak minta subsidi ke?" Soalku.
Dia hanya tersengih. Mentang-mentanglah, bapa saudaranya sedang berada di UK, dia ambil kesempatan atas minat yang sama dengan bapa saudaranya. Kenapalah dia tidak ke Manik Urai minta subsidi, musim 'durian runtuh' sudah nak bermula... fikirku. Tunggu dan lihatlah kemewahan yang akan dilonggokkan. Itupun jika dirasakan 'tidak membazir wang rakyat'. Jika dirasakan membazir maka ramailah pula calon bebas.
Tengoklah apa yang dipohonnya melalui gambar-gambar ini.

Cukupkah Dengan Hujung Jari?


Teringat saya akan cerita seorang sahabat Rasulullah yang apabila bersalam dengan seorang miskin, hanya menggunakan hujung jari dan tidak erat pegangannya. Lalu baginda menegur sikap sahabat ini dengan pertanyaan, lebih kurang begini,"Apakah kamu takut kemiskinannya akan menjangkiti kamu?..." Sahabat itu menyesal akan kesilapannya dan ingin menebus kesilapannya dengan menawarkan hartanya kepada si miskin tadi. Namun, si miskin tadi enggan dengan menempelak, "aku takut dengan kekayaanmu itu akan menjangkitiku pula." Lalu sahabat tadi mewakafkan hartanya ke jalan Allah.

Jadi, masih terdapat segelintir pemimpin kita yang memperjuangkan Islam tetapi tergolong di kalangan yang bersalam dengan hujung jari. Mungkin mereka terlupa atau separa sedar tentang kepentingan ini. Namun, rakyat marhain apabila bersalaman dengan para pemimpin, itulah satu-satunya memori yang indah bagi mereka. Mereka amat menghormati dan bermegah dengan pemimpin mereka. Malahan, saya pernah melihat dan mendengar ada di kalangan rakyat yang sanggup makan sisa seorang pemimpin demi mengambil berkat katanya. Jadi, adakah mereka juga dihormati atau dimegahkan oleh pemimpin mereka?

Sunday, May 24, 2009

Layu Di Ambang Pintu


Kadangkala saya berfikir, mengapa saya sering rasa sedih dan hiba tiap kali musibah dan kekalahan yang dirancang, yang menyimpang daripada hukum walaupun ianya dicipta sendiri oleh manusia menimpa pada satu wadah yang ingin dan cuba mendaulatkan Islam? Hati saya juga sebak bila mana terpampang di dada-dada akhbar dan di media massa elektronik tentang kekejaman yang menimpa manusia baik di dalam mahupun di luar negara. Hakikatnya, saya akur! Itulah rasa yang dapat saya gambarkan tentang fenomena yang menimpa pejuang-pejuang Islam. Selalu terpinggir... tetapi jangan menyerah tetapi memerah tenaga dan buah fikiran. Merenung sedalam mungkin tentang keikhlasan diri dan perjuangan, jangan sampai ada yang bernanah kerana dikhuatiri memudharatkan para pejuang yang lain.

Setelah bersekang mata, memerah keringat, mencurah buah fikiran, mengempeskan saku dan membataskan waktu maka penghujungnya makin kusut-masai dan berserabut. Jalan terbaik, bersabar dan menyerahkan segalanya kepada-Nya.

Walaupun saya hanya melihat dan mendengar melalui media massa, namun pedih dan peritnya tetap sama.

"...jika kamu tidak mampu maka tegahlah dengan hati dan itulah selemah-lemah iman"

Pastilahnya, perasaan ini mengganggu emosi saya ketika ini dan berpanjangan ke beberapa hari. Itulah perasaan manusia yang marhain ini. Apa-apapun, saya pasrah.

Monday, May 18, 2009

Salam Sejahtera, Bro...!


Hai, tut tap...tut tap, udah seminggu adik lelaki saya berada di Negara 'Matahari Terbit'. Sibuk agaknya? Dia kalau ada masa, blognya mesti terusik, tidak kering idea. Yang saya tabik, jiwa Islamnya, alhamdulillah, kental. Tiada asobiyyah atau bias kepada individu tertentu tetapi komitmennya kepada agama, Islam yang padu. Walaupun daripada peringkat sekolah rendah hingga ke menara gading, beliau berpendidikan bukan dari aliran agama tetapi kesungguhannya menimba ilmu agama secara tidak formal amat saya sanjungi.

Sebenarnya, beliau salah seorang adik saya yang pintar seawal usia 6 tahun lagi. Beliau pandai membaca sebelum masuk Darjah Satu lagi (istilah dahulu) walaupun tidak ke prasekolah. Ibu bapa kami hanyalah penoreh getah yang berpendapatan di bawah RM200 sebulan dengan menanggung anak-anak seramai 8 orang. Beliau anak ke-5 di antara kami berlapan yang masih hidup dan anak ke-8 daripada 11 orang termasuk yang meninggal semasa kecil.

Di sini, saya tidak berniat untuk menggarapkan biodata atau perjalanan hidupnya tetapi sekadar meluahkan rasa sayang dan rindu kami. Tidak lupa juga kepada adik lelaki saya dan keluarganya yang berada di Europe sana. Salam sejahtera, bro!

Wednesday, May 13, 2009

Tiada Daya Kekuatan...


"Tiada daya kekuatanku melainkan dengan pertolongan Allah!" Kita hanya manusia yang penuh dengan berbagai keinginan yang tidak terbatas. Lantaran itu, kita dibekalkan dengan pedoman hidup oleh 'Pencipta' bagi memandu kita ke jalan yang benar. Datanglah taufan, datanglah badai dan berbagai fenomena lagi, seandainya iman kita tulus, kita akan berjaya. Manusia boleh menipu,berbohong, berhelah dan macam-macam muslihat lagi sehingga mulut dimeteri. Selepas itu, bersaksilah segala anggota badan kita...apakah akan terlepas muslihat kita?

Monday, May 11, 2009

Tiada Yang Tersirat


Secara umumnya, tahniah buat rakyat Malaysia dan khususnya tahniah buat rakyat Perak yang rindukan keamanan dan keadilan. Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar hanyalah sebagai penyebab sahaja. Penyebab yang membolehkan rakyat melihat proses keadilan di bawah sistem demokrasi negara. Saya melihat, beliau bukanlah seorang yang mementingkan sebarang bentuk perkara atau benda yang membawanya kepada keselesaan tetapi pejuang yang mementingkan manusia dan alam di sekelilingnya. Jika kita soroti perjuangannya sebelum menjadi MB Perak, ianya amat bermakna.

Walaupun ada komentar yang hanyir mengenai tindakan Ir. Nizar selepas diisytiharkan MB Perak yang sah oleh Mahkamah sepertimana dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam, namun tindakannya yang ingin mengembalikan segala urusan pentadbiran negeri kepada rakyat Perak adalah sesuatu yang tepat. Nama lagi Wakil Rakyat, jadi biarlah rakyat yang menentukan dan memilih wakil mereka semula . Kalah menang itu, biarlah rakyat yang tentukan. Apa yang penting, setiap tindakan Ir. Nizar itu tiada yang tersirat tetapi hanyalah untuk memastikan demokrasi yang diwarisi ini tiada karatnya. Wallahu 'alam.

Sunday, May 3, 2009

Sekadar Ingatan


Salam Sejahtera dan salam perjuangan!

Saya bukanlah seorang yang berpengaruh dan 'berjenama' dalam mana-mana parti politik atau mana-mana persatuan atau mana-mana wadah pertubuhan. Saya hanyalah pacal, tiba masa memilih maka membuat pemilihan tanpa meminta apa-apa imbuhan atau bayaran balik tambang dan sebagainya. Saya celik politik mulai Disember 1985, berikutan peristiwa berdarah di Memali. Sebelumnya, saya hanya mengikuti sahaja tanpa berfikir.

Setelah sekian lama saya di perantauan, kini saya kembali ke kampung halaman yang pada mata saya begitu asing dan semacam berada di bumi orang lain. Pada usia lebih 40-an ini, segala di sekeliling terasa begitu terasing. Sahabat-handai bertempiaran dan berselerak, masing-masing dengan urusan tersendiri. Begitu juga dengan saya.

Sebelum merantau, saya terlibat secara langsung dengan saf kepimpinan di peringkat cawangan dan kawasan dalam PAS. Tetapi tidaklah seaktif pejuang yang ada sekarang. Sungguhpun kini segalanya belum berulang kembali dalam perjalanan saya, tetapi semangat itu sentiasa terkurung di dalam jiwa.

Sedih rasanya apabila ada segelintir pemimpin parti kita melontarkan teguran berbisa kepada kepimpinan parti melalui media massa. Terguris rasanya apabila latahan bergema tanpa henti. Apa guna AJK dan berbagai platform jika tidak digunakan sebagai penyelesaian kekalutan dan keributan yang melanda para pemimpin parti kita.

Kita sudah sedia maklum akan 'tangan-tangan dan mulut-mulut gatal' yang akan mencanangkan kelemahan kita. Jadi mengapa masih kita lorongkan ketidakpuasan hati kita terhadap saf kepimpinan kita ke arus yang salah. Lorongkanlah ke arah platform-platform yang telah tersedia.

Percanggahan pendapat itu adalah perkara biasa, jadi carilah kata sepakat melalui platform yang betul.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...