Terima kasih emak! Aku amat terharu apabila mendengar cerita emak sebentar tadi. Menurut emak, semasa anak-anaknya kecil lagi emak selalu berdoa sambil menitiskan air mata pada ketika tangannya ligat menoreh batang-batang getah yang udah kematu. Doanya bukan dalam Bahasa Arab kerana emak tidak pandai berbahasa Arab, apatah lagi emak tidak pernah bersekolah. Doanya begini;
"Ya Allah, Engkau masukkanlah keimanan dalam diri anak-anak aku. Ya Allah, Engkau jadikanlah anak-anak aku orang yang berguna dan berjawatan".
Itulah doa emak setiap kali lepas solat dan setiap kali tangan yang erat menggenggam pisau toreh itu menjalankan tugasnya. Walau pun, arwah bapa tidak sempat ke Baitullah, tetapi emak sempat. Berkat doa emak, alhamdulillah anak-anaknya kini boleh dikatakan berjaya. Yang pasti tidak perlu bertunggeng dan membongkok mengukir batang-batang getah dengan pendapatan sebanyak seratus hingga dua ratus ringgit sebulan.
Ya Allah, wahai Tuhan kami, Engkau panjangkan umur emak kami agar kami dapat berbakti kepadanya. Ya Allah, kami mohon kepada-Mu agar dicucuri rahmat ke atas roh bapa kami. Amin.
3 comments:
amin
Aaamin... miss u mok..
AMIN RASA SEDIH PULAK
Post a Comment