Saturday, June 12, 2010

Peraturan Hanya Untuk Pelanggan?


Saya amat berterima kasih dan terhutang budi kepada warga kesihatan yang sentiasa memberi khidmat kepada para pesakit. Cuma satu yang saya musykil dari dulu sehingga ke hari ini baik di mana-mana Klinik Kesihatan Desa mahupun di mana-mana negeri di dalam Malaysia ini. Mereka adakan peraturan supaya menanggalkan kasut/selipar di luar sebelum masuk berurusan. Nampaknya bagus bagi mencegah sebarang penyakit yang mungkin menyerbu melalui sepatu.
Apa yang musykilnya, mengapa kakitangan mereka bebas bersepatu di dalam walau dari ceruk mana mereka datang hatta dari tandas? Peraturan dan kuman atau virus hanya merebak dari sepatu pesakit atau pelanggan mereka sahaja kah?

Sunday, June 6, 2010

Lepas Batuk Di Tangga


Jikalau yang hendak menikah, sila bawa kad jemputan perkahwinan 2 atau 3 hari sebelum majlis bermula ke Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk urusan pembelian gula. Begitu juga dengan peniaga, sila bawa lesen perniagaan. Itu lapor sebuah akhbar tempatan tentang kenyataan yang dikeluarkan pihak PPDN&HEP di Terengganu. Kalau orang hendak buat kenduri tahlil atau majlis yang tiada keluarkan kad jemputan macam mana?
Kenapa jadi begini? Kenapa tidak diselesaikan masalah ini secara menyeluruh? Sukakah melihat rakyat ke hulu ke hilir dan merayu dan mengemis gula dari kedai-kedai yang akhirnya sekilopun tidak dapat.
Satu lagi,setakat inikah peranan PPDN&HEP? nampak macam lepas batuk di tangga sahaja.

Tuesday, June 1, 2010

Bukan Itu Yang Kami Mahu

Yang kaki panjang sudahpun melompat,yang mulut tempayan sudahpun 'ditutup',yang kaki pancing sudahpun menerima 'habuan',yang melatah sudah menari. Jadi apa lagi?
Gula tetap disorok dan pelbagai kos hidup tetap naik. Rakyat yang berputih mata. Kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami melompat. Kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami bersengketa, kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami bertakhta, kami mengundi bukan untuk melihat wakil kami berharta.

Monday, May 31, 2010

Rakyat Didahulukan?

Rata-rata rakyat mengeluh, gula tiada di pasaran, habis minyak kereta jelajah cari gula..."habis"...ye ke? Dup...dup...kos belajar kereta akan dinaikkan lagi...ye ke? Subsidi ditarik balik...ye ke?...bla...bla...naik...bla...bla...naik...huh...rakyat didahulukan...ye ke?

Saturday, May 29, 2010

Ke Mana Gula?


Mana peranan pihak berkuasa bagi mengatasi masalah kekurangan gula? Bulan ini sekilopun saya belum berjaya membeli gula. Apa sudah jadi? Macam-macam kerenah penjual yang kurang waras dipraktikkan dalam mengawal gula seperti minta surat nikah,kad pengenalan dan lainnya.
Sekarang, kalau tetamu bertandang ke rumah sediakan sudu (camca)kecil di atas piring alas cawan. Itu sebagai isyarat yang minuman itu belum sempurna (belum dibubuh gula). Kalau tetamu itu kebetulan bawa gula maka eloklah dikeluar dan dituang ke dalam cawan bagi menyempurnakan minuman yang belum sempurna. Jikalau cadangan ini dipraktikkan maka tetamu akan berusaha menyediakan peketkecil gula.
Apa-apapun rakyat marhain yang menjadi mangsa.

Thursday, May 27, 2010

Berjimat Atau Bakhil


Percaya atau tidak, inilah hakikatnya. Saya tidak pernah bertemu dengan hamba Allah yang sekikir ini. Semua benda dia berkira atau lokek. Pertama kali saya berjumpa dan bertandang ke rumahnya, saya rasa semacam ada kelainannya tentang dirinya dengan orang lain. Ini pandangan saya, mungkin orang lain tidak sependapat dengan saya. Saya tidak pernah diajak masuk ke rumah, apatah lagi disajikan dengan minuman (bukan saya hendak cuma adat orang kita).
Apa yang melucukan saya, suatu hari selepas solat maghrib saya ke rumahnya kerana ada urusan dengannya. Seperti biasa, saya hanya diajak duduk di beranda yang gelap tiada lampu dan tiada disediakan lilin atau pelita ayam. Saya menulis di atas lantai dengan diterangi cahaya lampu kalimantan yang berada di siling ruang tamunya yang mencuri keluar dari salah satu daun pintu utamanya.Apabila hamba Allah ini bingkas bangun ke dalam rumah kerana mencari rokok daunnya, saya berhenti seketika menulis kerana cahaya dihalang oleh kain pelikatnya yang menjadi layar wayang kulit. Mahu rasanya saya menangkap kunang-kunang untuk dijadikan lampu di berandanya. Namun, apakan daya kunang-kunang tiada lagi di kampungku.

Monday, May 24, 2010

Nama Lagi Kanak-kanak


Budak-budak masa kecil ni semuanya memang ringan tulang. Semua dia nak tolong termasuk tolong selerakkan benda yang belum selerak. Ada yang nak tolong lipat kain, tolong buat kuih, tolong bubuh nasi, tolong tuang air,tolong potong sayur dan macam-macam jenis tolong lagi. Umminya pun ada juga minta anak-anaknya tolong,"...tolong jangan kacau kerja Ummi boleh...?"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...