Monday, July 6, 2009

Apabila Ianya Sekadar Slogan


Gatal ratanya mulut ini ingin bertanya kepada pelopor dan pejuang Islam Hadhari, di mana dan dalam keadaan macam mana agaknya slogan mereka itu. Bagaimanalah agaknya nasib pendekatan yang telah dibawa dan sering diungkapkan serta dilaungkan oleh para pemimpin umno yang kemudiannya mengundang berbagai tafsiran,lalu melahirkan berbagai penulisan, ceramah,bengkel dan entah apa-apa lagi berkenaan 'Islam Hadhari'. Kini telah bertukar jadi 1 Malaysia.

Maka berbagai bijak pandai berlumba-lumba mentafsir dan memperincikan konsep 1Malaysia. Kita tidak menolak apa-apa yang boleh memberi manfaat kepada rakyat serta negara yang tercinta ini. Malah merasa turut bertanggungjawab tetapi kemusykilannya, betulkah apa yang diungkapkan itu dilaksanakan? 1Malaysia atau 1Parti?

"Kehendak Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"

Sekarang, rakyat di Kg. Buah Pala menghadapi masalah, namun kedua-dua kerajaan yang berbeza parti saling mencari kesalahan dan saling tuding-menuding. Sepatutnya, jikalau penduduk Kg. Buah Pala diistilahkan sebagai rakyat maka kehendak mereka mesti didahulukan. Begitu juga dengan negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang dalam konteks Malaysia, kehendak rakyat yang mahukan pembangkang memerintah kerajaan negeri perlu didahulukan dan dihormati. Justeru itu, tidak perlulah ada 2 penghulu/penggawa, 2 ketua kampung dan 2 macam-macam lagi. Memadailah dengan 1Malaysia, 1penghulu/penggawa,1ketua kampung dan peruntukan pembangunan disalurkan terus kepada kerajaan negeri,tidak perlu JPP. Tidak perlulah ungkapan "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional" . Rasanya, itulah 1Malaysia?

Thursday, July 2, 2009

Masa Muntahnya Akan Tiba


Syahdan, maka berbondong-bondonglah hulubalang masuk keluar kampung yang diberi nama Manek Urai.

Yang berduit menabur duit,
yang berprojek menjanjikan projek,
yang bermulut manis lenguh melemparkan senyuman,
yang bertahta mengarahkan pacal-pacal bertempiaran.

Ada yang bawa kamera menyuluh semua projek,
menyiar puji-pujian,
mencari rasa takjub penduduk,
pada calon memanda.
Malah yang teruk cuba melodehkan lawan.
Ada yang bawa doktor-doktor pelbagai bidang, menawar khidmat yang bermusim. Agensi-agensi kerajaan yang beribu pejabat di persekutuan kaya dengan pelbagai program dan hiburan.

Manek Urai bagai orang yang lama kebuluran dipaksa makan beraneka masakan dengan kuantiti yang banyak dalam tempoh masa yang terlalu singkat. Maka, nantilah 'muntahnya'.

Menyentuh pasal pemberian daripada kontraktor atau daripada mana-mana individu yang berkepentingan, adik saya pernah memberi petua ini pada saya;

"Kalau kita tidak pegang jawatan (yang membolehkan kita memberi manfaat kepada si pemberi hadiah tadi) tidak kiralah bagaimana caranya, adakah dia akan bermurah hati memberi kita pelbagai pemberian?"

Rasa saya, pengundi-pengundi Manek Urai telah peka dan bijak dalam situasi ini. Wallahu 'alam.

Monday, June 29, 2009

Timang Tinggi-Tinggi



Sudah menjadi lumrah demokrasi keumnoan calon-calonnya akan ditimang tinggi-tinggi sampai 'mencarikkan adat'. Kalau kita dengar momokan mereka, fuyyoo...hebat boleh menaikkan taraf negara kita. Malangnya, rakyat yang mencari wakilnya dan mereka ini walaupun ada di antaranya tidak belajar 'sampai puncak atap' namun matang dalam mencari wakil mereka. Biarlah media mencari dan mewawancara beberapa orang kampung, lalu memuji-muji calon BN. Biarlah pelbagai agensi-agensi kerajaan menganjur dan mengatur berbagai program di DUN Manek Urai, biarlah menteri-menteri atau timbalannya datang berkempen guru-guru, membawa doktor-doktor, khususnya doktor gigi apabila media mencanangkan azabnya bebanan seorang doktor gigi dan payahnya masyarakat ingin mengangga mulut untuk di periksa giginya. Namun, keputusan rasminya 14 Julai 2009.


Saya kenal calon BN semasa dia budak-budak lagi, malah dia pernah belajar sekelas dengan adik saya. Maaf, saya tidak berminat untuk bercerita tentangnya. Dia sudah ada ruang yang luas dan sudah tersohor seluruh Malaysia apabila telah dinobatkan sebagai calon BN oleh TPM.

Saya kenal calon PAS pada namanya sahaja di sekitar tahun 80-an dan kemudiannya saya merantau ke luar Kelantan. Semasa di perantauan, saya dengar berita tentang pekertinya yang suka menolong orang tanpa diminta balasan. Nyata apa yang saya dengar dapat saya saksikan pada awal tahun ini apabila sepupu saya meninggal dunia. Baru kini saya kenal batang tubuhnya dan bersembang dengannya. Arwah sepupu saya orang kampung dan tidak berharta, telah meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Saya lihat, calon PAS inilah yang mengurus dan mengeluarkan belanja bermula daripada hospital pada tengah malam sehingga arwah sepupu saya dikebumikan keesokan harinya. Saya juga pernah melihat secara tidak sengaja Abang Uji (Hj. Mohd Fauzi Abdullah) pernah menghulurkan wang kepada seorang pemuda yang tidak siuman bagi membeli makanan. Rata-rata masyarakat akan bercerita tentang kebaikannya bukan bercerita pendidikannya. Ada wakil yang berlambak-lambak kelulusanpun kalau tidak diiringi perkerti yang luhur akan hancur dan memusnahkan harapan rakyat. Jadi, "tepuk dada tanya iman... siapa calon yang layak dipilih..." Wallahu 'alam.


Wednesday, June 24, 2009

Doa Emak


Terima kasih emak! Aku amat terharu apabila mendengar cerita emak sebentar tadi. Menurut emak, semasa anak-anaknya kecil lagi emak selalu berdoa sambil menitiskan air mata pada ketika tangannya ligat menoreh batang-batang getah yang udah kematu. Doanya bukan dalam Bahasa Arab kerana emak tidak pandai berbahasa Arab, apatah lagi emak tidak pernah bersekolah. Doanya begini;


"Ya Allah, Engkau masukkanlah keimanan dalam diri anak-anak aku. Ya Allah, Engkau jadikanlah anak-anak aku orang yang berguna dan berjawatan".


Itulah doa emak setiap kali lepas solat dan setiap kali tangan yang erat menggenggam pisau toreh itu menjalankan tugasnya. Walau pun, arwah bapa tidak sempat ke Baitullah, tetapi emak sempat. Berkat doa emak, alhamdulillah anak-anaknya kini boleh dikatakan berjaya. Yang pasti tidak perlu bertunggeng dan membongkok mengukir batang-batang getah dengan pendapatan sebanyak seratus hingga dua ratus ringgit sebulan.
Ya Allah, wahai Tuhan kami, Engkau panjangkan umur emak kami agar kami dapat berbakti kepadanya. Ya Allah, kami mohon kepada-Mu agar dicucuri rahmat ke atas roh bapa kami. Amin.

Monday, June 22, 2009

Cermin Rosak?


Akhirnya, persoalan dan kegelisahan khususnya di kalangan penyokong-penyokong marhain wadah yang bertunjangkan perjuangan Islam ini terungkai. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan ke hadrat Allah ta'ala. Ribut akhirnya bertukar menjadi angin sepoi-sepoi bahasa. Setidak-tidaknya apa yang dibahasakan oleh kebanyakan akhbar sebagai kekalutan ini menjadi penyaring dan pengukur kepada erti keikhlasan,ketegasan dan yang lebih mustahak keimanan kita. Isu Kerajaan Perpaduan (UG) ini bagi saya bagaikan satu indikator. Persis sekeping cermin terbuang yang dijumpai di tepi jalan. Kemudian ada si fulan yang menjumpai memungut, sambil membelek-belek dia berbisik;

"Hai cermin ni masih elok, mengapa dibuang?"

Tetapi apabila dia menilik mukanya di cermin, ditilik kiri kanan, belakang dan depan maka dia bersuara spontan;

"Ya le... cermin ini memang sudah rosak", sambil membaling cermin tadi.

Wallahu 'alam.

Wednesday, June 17, 2009

Ambillah Iktibar Daripada Perang Uhud


Isu Kerajaan Perpaduan lagi! Tahukah para pemimpin, khususnya para pemimpin atasan parti, siapa yang lebih berdebar dan tidak senang duduk apabila sesama pemimpin di dalam satu wadah berberantakan? Kami! Golongan penyokong di peringkat bawahan dan tidak berjawatan apa-apa dalam parti. Kami mengharapkan keredhaan Allah dengan menumpang di atas bahtera yang diterajui oleh tuan-tuan kerana yakin hanya bahtera ini sahajalah yang dapat membawa kami ke jalan kesejahteraan pada masa ini. Apabila Pok Muda melihat laporan Buletin Utama semalam yang menyiarkan tentang kenyataan Tok Guru Datuk Nik Aziz kepada YB. Bachok, Ust. Nasaruddin, Pok Muda rasa sedih. Rasa-rasanya inilah yang UMNO mahu berlaku.

Akhbar-akhbar hari ini ghairah melaporkan, bahkan menjadikannya sebagai berita utama. Jadi, apa manfaatnya kepada pejuang-pejuang Islam. Golongan yang sentiasa bergerak mencari peluang menumbuk kita tentu seronok dan sedang bersedia untuk bertindak. Ambillah iktibar daripada 'Perang Uhud'. Pok Muda faham, semua pemimpin wadah kita 'cair' tentang sirah nabi, jadi praktikkanlah dan jangan jadikannya sebagai retorik sahaja. Bezakan kita dengan pemimpin-pemimpin UMNO.

Monday, June 15, 2009

Konon-kononnya...


Pada masa rehat sekejap tadi, sempat juga Pok Muda tengok Buletin Tengah hari. Bukan apa kadangkala hendak tengok Laporan Dari Parlimen. Sekonyong-konyong TV3 melaporkan tentang soalan Ahli Dewan Rakyat dari Ipoh Timur, berkenaan pengagihan biasiswa. Apa yang Pok Muda dengar dari dulu sehinggalah ke laporan hari ini, apa sahaja yang pembangkang bangkitkan maka TV3 asyik gunakan perkataan "konon". Bila "konon" maka tidak pernah betullah apa yang disoal, macam cerita zaman melayu klasik.

Bagi Pok Muda, nama lagi "soalan" jadi memanglah kena ada jawapan. Betul tidak itu bergantung kepada jawapan, kalau betul jawablah "ya " dan "tidak" kalau tidak betul. Bila terlalu kerap sangat guna perkataan "konon" maka nampak sangatlah laporan itu memihak. Walaupun semua orang sudah tahu. Profesionallah dalam menyiarkan laporan. Di sinilah adanya "check and balance". Menteri pula usahlah emosi dalam menjawab dan saya tidak bersetuju dengan saranan menteri berkenaan menyuruh Ahli Parlimen Ipoh Timur jangan bercakap kalau tidak tahu. Kartun bunyinya, orang tidak tahulah patut banyak bertanya... wallahu 'alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...