Sunday, June 14, 2009

Tirai Teater Mula Terkuak


Sekarang, semua mata tertumpu ke arah DUN Manik Urai. Masing-masing telah menjalankan pelbagai usaha ke arah memancing undi para penduduk Manik Urai. Lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin UMNO. Malahan ada yang sanggup menjalani rutin hidup bersama penduduk-penduduk dan yang lebih melucukan mengikut laporan, ada yang sanggup turun menoreh getah sekali. Begitu kuat sekali kuasa undi kita ye? Sayang sekali, saya pengundi DUN Guchil. Dalam musim ini juga Manik Urai dijadikan 'anak emas' BN, jadi lain-lain kawasan 'anak apa' ye? Lepas ni, Manik Urai perlu tukar nama ke "Anak Emas".

Inilah sandiwara politik.... Malangnya, kkampung manapun pengundi mereka kadangkala lebih bijak daripada orang yang cuba hendak menggula-gulakan mereka.
"Bagi duit, ambik,
bagi kain, pakai,
dan bagi gula, kacau... undi hak kita..."

Wednesday, June 10, 2009

Rumah Siap Pahat Berbunyi?




Tidak dinafikan penubuhan sesebuah kerajaan itu penting dalam merealisasikan setiap tuntutan rakyat,apa lagi bagi memartabatkan setiap tuntutan Islam. Melalui mandat yang diberikan rakyat maka berautoritilah kerajaan itu dalam menggubal dan melaksanakan hukum-hukum yang telah difardhukan Allah.

Hakikatnya, mahukah pihak UMNO sama-sama berjuang untuk memartabatkan hukum-hukum Allah. Bahkan, Hukum Hudud yang telah diluluskan oleh DUN Kerajaan Kelantan telah dilabelkan sebagai Hukum Hudud PAS. Jika keikhlasan dititik beratkan, ikhlaskah pihak UMNO? Sedangkan sudah berpuluh tahun memerintah namun tiada ura-urapun untuk mendaulatkan Hukum Islam itu.

Sebaiknya, selepas bermuktamar maka sama-samalah bergerak ke arah perjuangan hakiki. Biarlah masih tidak dapat memerintah Malaysia namun perjuangan asal yang ingin melihat dan melaksanakan perintah Allah itu bersinambungan. Kita masih ada kederat dan tempat berpijak bagi merancang dan berstrategi maka manfaatkanlah. Elakkan mengelecek bola seorang diri tetapi bermain secara berpasukan. Janganlah membaling bola ke arah lawan, tetapi carilah kawan. Secara peribadinya, saya rasakan sudah-sudahlah dengan idea tentang 'Kerajaan Perpaduan' itu. Sepatutnya, perkara ini telah selesai dibincangkan dalam muktamar yang lepas. Rumah sudah siap maka janganlah ada pahat yang cuba membaikinya lagi.

Sunday, June 7, 2009

Apabila Sesekali Berkumpul...


Dalam tempoh cuti sekolah ini, banyak maklumat yang boleh dikongsi bersama apabila ramai adik beradik pulang berkumpul di rumah emak. Cuma dua keluarga yang tidak pulang, Cikli dan Ayohnik maklumlah terlalu jauh di perantauan. Banyak isu ekonomi,politik dan sosial yang kupas dan dibincangkan bersama. Masing-masing rancak memberikan komentar tersendiri dan yang paling banyak ulasannya tentulah Pak Cu.

Seronok rasanya bila berkumpul bersama, cuma Pok Muda rasa janggal bila dua adik lelaki tiada bersama. Keduanya memang tersohor sebagai pemikir dan Tok 'jjora' yang terbaik di kalangan kami. Lelucon mereka tidak kering gusi. Itulah salah satu anugerah Allah kepada keluarga kami, walaupun tiap kali berkumpul dan bercerita dengan cerita ulang tayang, namun tiada rasa jemu malahan menarik pulak. Syukur kepada Allah.

Wednesday, June 3, 2009

Antara Iman dan Nafsu


Realitinya, apa yang kita tidak suka dan meyampah itu kadangkala, itulah yang terbaik untuk kita dan apa yang kita suka dan senang hati, kekadang itulah racun bagi kita. Dalam perjalanan hidup saya selama 43 tahun ini itulah yang selalu saya dendangkan dalam diri kerana banyak perkara yang tidak disenangi, itulah yang terbaik bagi saya.

Apa-apapun, bersyukur itulah yang dituntut bukan sesama makhluk tetapi kepada khalid. Justeru itu, desakan supaya kita bersyukur kepada makhluk rasanya janggal kerana ianya juga atas kehendak Yang Maha Esa. Macam kata bijak pandai, paip air itu tidak dapat mengeluarkan air dengan sendiri tetapi perlukan bekalan air dari tangki yang perlukan bekalan dari sungai dan perlukan bekalan air dari hujan yang mana semua itu daripada Allah. Lantaran itu, hanya sanya kepada Allah sahaja layak dan tempat sebenar-benar kita wajib melafazkan kesyukuran lalu mempraktikkan rasa kesyukuran kita itu bersandarkan kemampuan kita. Apa yang ditegah, jauhilah dan pa yang disuruh, akurilah. Kemampuan kita sebagai rakyat marhain, kuasa undi itu salurkan kepada yang tahu bersyukur di tempat yang betul agar kalimah Allah dapat sama-sama kita martabatkannya. Antara tuntutan iman dan nafsu, sama-samalah kita halusinya. Wallahu 'alam.

Tuesday, June 2, 2009

Belajar Dari Hidup


Apabila anak dara sunti Pok Muda mula menunjukkan rasa sayangnya pada seekor anak kucing, Pok Muda mula rasa, inilah naluri seorang insan. Jumpa sahaja anak kucing mula dibelai dan apabila comot mulalah hendak memandikannya walaupun dia sendiri belum mandi. Terbaru, ikan laga 'ikan karin' yang sudah lama dibela mati semalam. Hatinya rasa sedih dan hiba dan meminta Pok Muda beri padanya kerana ingin ditanamnya. Sentimental bunyinya. Kanak-kanak yang mula membesar katakan...

Saturday, May 30, 2009

Keletah Anak-anak Apabila ...


Hairan betul! akhir-akhir ini anak lelaki saya seorang ini gemar benar ambil bedak talkum lalu dibasahkan dengan sedikit air (macam mengajar memasak pulak) terus dilumurkan ke muka. Motifnya, mahu menyakat adik-adik. Jadi poconglah kononnya, masing-masing ketawa terbahak-bahak.

Anak-anak yang perempuan pula dengan caranya yang berbeza. Apa yang jelas, setiapkali mahu baring maka kedua kakinya dimasukkan ke dalam sarung bantal. Hai inilah kerenah anak-anak saya yang semakin membesar atau mungkin kata orang 'bawaan' apabila umminya sedang sarat 8 bulan?

Apa-apapun, saya bersyukur dan bahagia dengan keceriaan anak-anak.

Thursday, May 28, 2009

Saudagar Ikan Keli


Semalam saya menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil dari Syarikat *****. Dia menjemput saya supaya menghadiri satu taklimat usahawan, iaitu bagaimana hendak memelihara dan menjadi pembekal ikan keli. Saya menolak pelawaannya kerana pada keesokan harinya saya perlu menyelesaikan kerja-kerja yang mustahak. Saya bertanya kepadanya dari mana beliau mendapat nombor telefon saya dan dia menjelaskan bahawa sudah menjadi budaya syarikatnya yang setiap peserta akan diminta mencadangkan nama dan nombor telefon sahabat handai atau kaum keluarga yang lain bagi menghadiri kursus tersebut.

Terfikir juga saya, bolehkah aku menjadi saudagar ikan keli? Saya mula hendak berangan-angan macam Mat Jenin tapi ...saya tiada '***** siput' dalam berbisnes ni...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...