Sunday, April 26, 2009

Saya Sayangkan Islam


"Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran", itulah pepatah melayu yang selalu sinonim dengan kita dewasa ini. Kita mengharapkan sesuatu yang belum pasti dengan mengorban apa yang ada pada kita. Namun, biarlah berpada-pada dan jangan melampau sehingga sanggup mengetepikan kesucian agama kita. Apa-apa keputusan yang melibatkan agama, sewajibnya dirujukkan dahulu kepada pakar-pakarnya. Kalau kita sakit, kita rujuk kepada doktor yang semestinya ada pelbagai kepakaran tentang kesihatan. Begitu juga dengan agama, mengapa tidak rujuk kepada pakar-pakarnya? Sudah tiada standardkah pakar-pakar agama kita?
Mengapa hanya kerana hendak menjaga hati penganut-penganut agama lain maka kita korbankan kesucian agama kita?
Saya tidaklah mahu mengulas lanjut tentang isu ini, tetapi sekadar meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila Agama Islam mula dipinggirkan oleh penganutnya sendiri. Anak-anak kita, amanah Allah kepada kita dan sewajibnya kita didik dan membekalkannya dengan pelbagai ilmu yang bermanfaat. Tiada yang paling mulia selain akhlak terpuji. Akidah anak-anak kita adalah tanggungjawab ibu bapa. Redhakah kita melihat mereka masih terkapai-kapai tiada haluan dan tiada pedoman? Saya sayangkan anak-anak saya juga anak-anak kecil dan saya sayangkan agama yang saya anuti, ISLAM.

Thursday, April 23, 2009

Penantian Penanti


Kini, tibalah giliran rakyat yang mendiami kawasan Penanti menunggu 'durian runtuh'. Lebih daripada 10 penjuru lagikah pertarungannya? Sama-samalah kita sabar menanti. Yang jelas, jika ada perlawanannya maka penantian rakyat di Penanti bagi mendapatkan berbagai kemudahan yang susah diperolehi selama ini akan dimudahkan. Berbagai bentuk bantuan akan dihulurkan. Itulah resamnya, tempat yang tidak pernah dan tidak terfikir untuk dilawati pembesar turut mendapat biasnya. Hanya tunggu, dengar dan lihat. Inikah yang dikatakan pembaziran wang rakyat?

Tuesday, April 21, 2009

Sudah Tukar Ke?


Apabila anak lelaki saya terkejut melihat perubahan wajah bangsal Burger sepupunya yang penuh ditampal dengan poster celcom, dia mengajukan pertanyaan begini kepada saya;

"Abah! Abang Ngah ni jual burger ke, jual prepaid?" saya hanya tersengih.

Semalam baru saya dapat kesempatan menonton TV dan bila tukar stesen RTM, "Aik! dah tukar ke?" Soal saya pada orang rumah sambil merujuk kepada waktu siaran Warta Berita yang sudah berubah.

"Ye la tu..." Balas orang rumah saya.

Begitulah resamnya, apabila dapat gembala baru...belumpun keras ubun-ubun dah ditukar. Lain pula di negara jiran... kerap bertukar juga... tapi PM. Tapi apa kata gembala yang lamanya ya??? Atau... adakah ini diambilkira juga sebagai salah satu elemen yang akan dinilai dalam KPI?

Sunday, April 19, 2009

Kalau Tidak Kita, siapa lagi...?


Anak-anak selalu bising,

"Tak seronok tinggal kat sini, pantai jauh... lagipun bila cuti, terperap kat rumah je".

Aku hanya diam, orang rumahku tersengih aje. Semasa aku berkhidmat di KL, anak-anakku belum lahir lagi.

Kemudian, aku berpindah ke Kuantan dan kebetulan rumah kami diami berhampiran dengan Pantai Teluk Chempedak. Boleh katakan setahun sekali, malah kadangkala setahun sekalipun aku rasa tidak pernah aku makan angin di pesisiran Pantai Teluk Chempedak, Taman Gelora ataupun ke pantai-pantai berhampiran. Itu sebelum anak-anak ku dilahirkan namun setelah lima tahun bermastautin, barulah isteriku melahirkan anak sulungku. Di sinilah bermulanya episod membawa anak bersiar di tepian pantai. Aku tidak salahkan anak-anak jika mereka merasa kesunyian tanpa lawatan ke pantai dan bersantai. Hampir 9 tahun aku di Kuantan dan melihat perubahan pantai-pantainya.

Kemudian, aku berpindah ke Kuala Terengganu dan masih berhampiran dengan pantai serta masih berkesempatan membawa anak-anak ke Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Batu Buruk. Malahan kekadang ke Sekayu.

Kini sudah hampir 2 tahun berkhidmat di UK (Ulu Kelantan) kampung halaman ku, anak-anak kerap protes. Sebagai mengambil hati anak-anak, sebulan lepas, sambil aku mencari Mesin Pengisar Simen untuk tugas sambilan sempatku bawa anak-anak ke Pantai Sri Tujuh. Sebenarnya, di usia 43 tahun ini, belum pernah aku menjejakkan kakiku di sini. Harapanku untuk mengembirakan anak-anakku. Malangnya, ia tidak seindah apa yang aku bayangkan. Kotor dengan sampah sarap dan nampak macam tidak terurus. Harapanku kepada pihak yang bertanggungjawab, indahkanlah pantai-pantai di negeri kita. Satu lagi, kepada para pengunjung cintailah khazanah kita. Wallahu 'alam.

Wednesday, April 15, 2009

Alkisah 10 YB


Sejak akhir-akhir ini, YB asyik terima ugutan bunuh saja.

Apabila bekas YB Bukit Selambau, V. Arumugam terima ugutan bunuh, demi keselamatan diri dan ahli keluarganya maka beliau meletak jawatan kerana beliau tahu kapasitinya sebagai wakil rakyat wajib bekerja walaupun nyawa terancam serta memastikan aspirasi rakyat di kawasannya tidak tergendala. Malahan beliau yakin negara kita ada undang-undang serta ada penguatkuasa undang-undang.

Sebaliknya, berbeza dengan 10 orang YB di Terengganu apabila diugut bunuh terus 'tuang kerja', takut nyawa tergadai katanya. Apabila diarahkan oleh bos besar mereka baru masuk, itupun hari terakhir persidangan. Aspirasi rakyat macam mana? Sumpah semasa memegang title YB bagaimana? Apakah sudah hilang kepercayaan kepada penguatkuasaan undang-undang? Sebagai YB, semestinya hak rakyat didahulukan walaupun dalam keadaan terpaksa. Jika rasa tidak berani memperjuangkan hak rakyat maka ... pilihan sepertimana yang telah diambil oleh bekas YB Bukit Selambau itu adalah pilihan yang bijak.

Monday, April 13, 2009

Buktikan kebolehan kita!







Suatu petang, semasa pulang dari sekolah, anak lelakiku memberitahu, "Abah! abang ada buku mainan kecil" sambil menunjukkan kepadaku.

"Oh! tu bukan buku mainan, tu buku tiga lima"

"Bukan Buku tiga lima bah tapi buku 555" jelas anak lelakiku lagi yang baru empat bulan di Tahun Satu. Nasib baik kakaknya yang berada di Tahun 3 tiada kerana masih mengikuti kelas KAFA. Kalau tidak kuat huraiannya nanti...

"Tengok...tengok...bah, abang tulis perkataan sinonim. Pah tu kan bah, Cikgu Bahasa Melayu kata, bagus awak Ahmad Mustaqim...awak baca kamus..."

"Padahalkan bah, abang tak baca kamus tapi abang tengok apa yang tertulis di dinding..." Tambahnya lagi.

Aku hanya tersenyum. Cikgu Bahasa Melayunya mula bersikap baik terhadapnya bahkan mula memujinya. Padahal, beberapa bulan yang lalu, anak lelakiku diceritakan oleh kakaknya ditolak kepalanya oleh gurunya ini kerana menulis lambat dan cepat mengalirkan air mata apabila gurunya memadamkan tulisannya yang comot dan menyebabkan bukunya terkoyak. Mungkin kerana Ahmad Mustaqim terpilih menjadi 'qari' mewakili Tahun Satu bagi membaca beberapa potong ayat al-Quran semasa Majlis Maulidurrasul di sekolahnya dan turut menang kuiz agama semasa majlis tersebut yang telah mengubah persepsi guru tersebut. Atau mungkin juga kerana Ahmad Mustaqim mendapat markah tinggi dalam ujian penggal pertama di kelas. Apa-apapun, terima kasih cikgu.

Sunday, April 12, 2009

Jiwa Remaja




























Di sini, inginku ceritakan sedikit tentang dua orang anak bujang kak longku yang baru lepas menerima keputusan SPM masing-masing. Perbezaan umur dua beradik ini hanya setahun sahaja, jadi apabila si abang terpaksa menghabiskan masa setahun untuk kelas peralihan di SMA, kedua-duanya masuk Tingkatan satu di tahun yang sama dan mengambil SPMpun di tahun sama. Kedua-duanya mempunyai kelebihan yang berbeza serta kemachoan juga berbeza.
Adik perempuanku yang menetap di Muar, Johor sibuk menSMS aku minta nasihat si abang ini supaya naik tingkatan enam dahulu sementara menunggu tawaran ke IPTA kerana keputusan SPMnya tidaklah secemerlang si adik. Masing-masing 'cool' sahaja dan aku turut 'cool' juga. Doaku moga-moga mereka berjaya ke menara gading dan menggapai impian mereka.
Walaupun begitu, aku kagum dengan komitmen mereka yang tidak mahu hanya menunggu tawaran IPTA begitu sahaja tetapi memanfaatkan masa dengan berniaga. Dalam diam aku perhatikan, mereka sememangnya cekap berniaga dan ada kesungguhan. Apa-apapun, pelajaran adalah yang utama anak saudaraku.







Saturday, April 11, 2009

Islam Hak Semua Kaum


Sebenarnya, sudah lama orang bukan Islam boleh membaca dan menterjemah ayat-ayat al-quran. Malahan turut pandai mentafsirnya. Semasa saya di bangku sekolah, seorang cina yang sekelas dengan sahabat saya berjaya mendapat pangkat "A" cemerlang dalam Pengetahuan Agama Islam baik di peringkat SRP mahupun SPM. Itu dulu, sekarang mungkin hebat lagi. Semasa saya berkhidmat di Kuala Lumpur, seorang kawan saya di pejabat yang berbangsa India bukan beragama Islam boleh membaca ayat-ayat quran, malahan mampu bercerita tentang kelebihan ayat-ayat al-quran yang pada saya berkemungkinan orang melayu yang beragama Islampun belum tentu tahu. Saya tahu tentang simbol bulan bintang yang ada menggunakan angka 786 pun daripada beliau.

Seorang Ahli Parlimen PKR yang berbangsa India yang semasa belum menjadi Ahli Parlimen lagi kerap menggunakan petikan ayat-ayat al-quran dalam ceramahnya. Tegasnya, sudah lama orang-orang bukan muslim celik al-quran cuma belum terbuka hatinya untuk sama-sama mendokong al-quran yang suci ini sebagai cara hidup dan anutannya sahaja.

Saya sayang dan cintakan agama saya, iaitu Islam dan sekurang-kurangnya setiap kali saya solat saya berikrar.

Bukankah apa yang selalu disebut oleh seseorang itu akan selalu diingatinya dan yang selalu disayanginya. Jadi, apa salahnya jika kita turut berdoa semoga apa yang selalu disebut dan dibaca oleh Setiausaha DAP Perak itu akan menjadi pegangan hidupnya. Saya sokong kenyataan Dr. Badrul Amin, jangan kita lihat dari sudut negatif. Cuba berfikiran positif. Saya tidak nampak penghinaan yang dinyatakan daripada bacaan quran itu. Tapi, saya nampak penghinaan yang dilakukan oleh orang-orang yang menolak cadangan perlaksanaan Hukum Hudud.

Tuesday, April 7, 2009

Kerja Itu Ibadat







Apa-apa kerja sekalipun jika kasadnya kerana Allah tentulah merupakan suatu ibadat. Maknanya, status ia sama dengan ibadat-ibadat lain. Lantaran itu, fokus kita tentulah untuk mendapat keredhaan-Nya. Jadi, keikhlasan kita amat dituntut maka kemungkaran seperti penipuan dalam bekerja atau apa-apa muamalat lain dapat dibendung.

Monday, April 6, 2009

Allah Itu Esa

Suatu petang, saya dikunjungi oleh seorang sahabat lama. Sahabat semasa remaja dan kini dia berstatus guru. Kunjungannya kerana ingin meminjam Perisian SPSS saya bagi memudahkannya membuat analisis untuk tesis/ kajian ilmiahnya. Dia sedang menuntut di OUM dan sememangnya kaum guru selain UPSI, di sinilah mereka 'upgrade' status mereka. Saya, walaupun telah 5 tahun upgrade di UUM namun masih belum berpeluang merasai karier seorang siswazah. Apatah lagi merasai gajinya. Apa-apapun, saya bersyukur...
Berbalik kepada sahabat saya tadi, di antara bahan bualannya ialah tentang permasalahan dalam amalan yang bersifat ubudiah. Merujuk kepada apa yang diceritakannya itu, saya dapati masih terdapat perbezaan pemahaman dan masih wujud keegoan dalam proses menyampaikan ilmu agama. Ini dapat dilihat melalui pelabelan "kaum muda" dan entah apa-apa lagi yang labelnya. Satu pihak menghujah bagi menegakkan pemahamannya dan satu pihak yang lain turut berhujah bagi menegakkan pemahamannya. Yang terpinga-pinga, pendengar atau pelajar dari golongan yang dahagakan ilmu agama. Bilakah permasalahan ini akan selesai?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...