Saturday, July 31, 2010

Sila Pandang Belakang...


Terkejut juga Pak Muda bila mendapat berita anak saudara perempuan berusia 4 tahun hilang hampir sejam di sebuah pasar raya. Terus Pak Muda telefon ibunya, adik perempuan bongsu Pak Muda. Bla...bla...
Semalam, asyik Pak Muda,isteri dan anak-anak mencuci rumah adik yang belum siap maka setelah hari hampir maghrib tambahan pula hujan masih turun, sekonyong-konyong seorang anak perempuan kelima Pak Muda yang berusia 3 tahun tiada. Puas dicari dan dipanggil, tiada. Hati mula berdebar...
"Kakak... abang pergi tengok rumah nenek..." arah Pak Muda.
Di rumah nenek, Mak Long bercerita semasa dia berlari-lari anak balik dari rumah adik itu, dia terpandang ke belakang dan melihat anak perempuan Pak Muda berlari-lari mengejarnya dalam hujan. " Hush...nasib baik aku pandang belakang"...dengus kakak Pak Muda.
Pak Muda bersyukur sangat...

Tuesday, July 27, 2010

Politik dan Guru


KSN telah beri lampu hijau kepada guru-guru gred DG41 hingga DG48 untuk menyertai parti politik. Berbagai maklum balas diberikan oleh orang ramai. Ada yang pro dan tidak kurang juga yang kontra.
Bagi saya,guru-guru yang pro BN sahaja yang akan nampak aktif dan ini akan membuka peluang untuk mereka memancing 'pengundi muda'. Apa tidaknya, jika ada yang aktif dalam parti pembangkang dalam konteks persekutuan,berbagai kekangan menunggu dan berbagai kesulitan dalam kerjaya mungkin terpaksa dihadapi. Ini kerana tandusnya etika profesional.
Saya pernah diberitahu oleh seorang kawan yang juga merupakan seorang kontraktor,
Katanya: "saya pernah disenarai hitamkan selama setahun oleh sekolah**** kerana saya didapati memegang jawatan di peringkat cawangan dalam parti pembangkang"
Katanya lagi:"...sekarang ni yang lebih berkuasa orang-orang bawahan di sekolah tu bukan pengetua. Sungguhpun mereka ni hanya Pekerja Am, Pekerja Awam Pejabat di sekolah tetapi mereka berjawatan dalam parti di bahagian masing-masing.Mereka nilah yang selalu memain peranan".

Itu masalah kontraktor berpolitik yang bukan penjawat awam. Cuba bayangkan jika guru-guru yang juga penjawat awam ini berpolitik di pihak pembangkang.

Jikalau golongan ini sudah berpengaruh dalam membuat keputusan jadi bagaimana agaknya nanti peranan gred 41-48. Senario ini yang mungkin akan menjadikan sekolah sebagai gelanggang politik lebih-lebih lagi sebelum kebenaran inipun sudah penuh benda parti politik di pagar-pagar sekolah. Bagi saya,guru-guru dahulu berpolitik untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah. Jadi peranan politik guru sekarang ke arah mana? Tepuk belakang murid...tanya ayah awak undi mana...?

Saturday, July 24, 2010

Bila Sudah Di Puncak


Mengikut kata-kata orang tua dulu-dulu, keladi jika selalu dilangkah makin kuat gatalnya. Rebus macam manapun gatalnya masih terasa. Itulah agaknya ada peribahasa "tua-tua keladi" dan lagi " seperti mencurahkan air ke daun keladi". Mungkin anda ada banyak lagi informasi mengenai keladi.
Apa yang hendak saya fokuskan tentang manusia yang ada tabiatnya lebih kurang keladi ini. Bukan "miang-miang keladi" tetapi asyik suka mencelah dan gatal-gatal mulut. Yang itu tidak benar, yang ini tidak betul. Lantas dirinya sahaja yang sempurna dan layak menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan faham. Wallahu 'alam.
Tetapi awas, yang di puncak itu akan jatuh juga ke bumi.

Saturday, July 17, 2010

Carilah Alasan Lain...


Berubahkah budaya pemakanan rakyat Malaysia? Semakin sihat agaknya rakyat Malaysia selepas harga gula dinaikkan.
Kita lihat harga rokok setiap tahun naik begitu tinggi, berubahkah dan semakin menurunkah kadar perokok? Bahkan perokok di kalangan remaja yang masih bersekolah masih tidak dapat dibendung. Wallahu 'alam.

Monday, July 12, 2010

Tekan Menekan


PRU ke-13 semakin hampir maka bermulalah upacara tekan-menekan. Serang mati-matian dengan pelbagai senjata sama ada yang tajam ataupun yang tumpul. Senjata disasar ke merata tempat dan ceruk melalui pelbagai medium. Akal mula tumpul akibat didominasi oleh nafsu yang mula mengasah dan menajamkan fitnah dan keaiban insan. Matlamatnya, mahukan musuh rebah dan tersungkur kalah. Itulah keletah manusia di alam ini yang telah diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini. Retoriknya pula berbagai, berapi-api menyambar dan membakar setiap yang alpa. Inilah yang terjadi bila akal hilang warasnya... Wallahu 'alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...